Kedai makan Abu Mubarak Mandi Rice yang berdaftar di bawah syarikat Abu Mubarak Pte Ltd, didenda $4,700 oleh Mahkamah Negara pada 10 Julai atas beberapa kesalahan keselamatan makanan yang dilakukan di bawah peraturan Kesihatan Awam Alam Sekitar (Kebersihan Makanan).
Dalam kenyataan media Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 10 Julai, SFA berkata Kementerian Kesihatan (MOH) dan pihaknya menerima laporan gastroenteritis radang perut dan usus pada April 2023.
Lazimnya pesakit akan mengalami gejala seperti sakit perut, muntah atau cirit-birit.
Terdapat 12 kes mereka yang terjejas selepas memakan hidangan yang disediakan di kedai makan yang terletak di 300 Tampines Avenue 5 – bertentangan Our Tampines Hub itu.
Dua dimasukkan ke hospital dan kemudian dibenarkan keluar.
MOH dan SFA telah menjalankan siasatan bersama di premis pemegang lesen dan mendapati banyak kesilapan melibatkan keselamatan makanan.
Ia termasuk serangan lipas pada kawasan penyediaan makanan, dan memiliki makanan yang tidak bersih untuk dijual.
SFA menekankan keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama, Ini kerana makanan boleh tercemar di mana-mana saja sepanjang rantaian penyediaan.
Menurut SFA, sedang ia kekal berwaspada dan berusaha bagi memastikan langkah kawal selia telah disediakan dan dikuatkuasakan dengan betul, industri dan pengguna juga diminta memainkan peranan mereka.
Antara langkah yang sepatutnya dilakukan oleh pengusaha makanan termasuk memastikan premis mereka bersih dan diselenggara dengan baik, serta mematuhi keperluan kebersihan makanan dan keselamatan makanan yang betul.
SFA memberi amaran akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha makanan yang didapati melanggar Akta Kesihatan Awam Alam Sekitar.
Jika disabitkan, pesalah akan didenda tidak melebihi $2,000 dan, dalam kes kesalahan berulang, didenda selanjutnya tidak melebihi $100 bagi setiap hari atau sebahagian daripadanya selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan tersebut.
Orang awam yang mengalami atau ternampak amalan kurang baik dan pegerai tidak menjaga kebersihan atau menyalahi undang-undang di mana-mana tempat penyedia makanan, dinasihatkan agar tidak melangganinya.
Mereka boleh memberi maklum balas melalui borang maklum balas dalam talian SFA (www.sfa.gov.sg/feedback) dengan butiran untuk siasatan susulan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg