Topik diikuti
Pergi ke BHkuLetupan maut di Tuas: Syarikat didenda $500,000, pengarah dijel lebih 18 bulan
Letupan maut di Tuas: Syarikat didenda $500,000, pengarah dijel lebih 18 bulan
Letupan maut di Tuas: Syarikat didenda $500,000, pengarah dijel lebih 18 bulan
Sebuah syarikat yang terlibat dalam pemasangan sistem perlindungan kebakaran serta pengarahnya telah dijatuhi hukuman pada 25 Jun susulan kejadian letupan maut di tapak kerja Tuas pada 2021.
Letupan di Tuas Avenue 11 pada 24 Februari 2021 itu telah mengorbankan tiga pekerja manakala tujuh yang lain mengalami kecederaan.
Syarikat berkenaan, Stars Engrg, dikenakan denda sebanyak $500,000, manakala pengarah tunggalnya, Chua Xing Da, 42 tahun, yang menyelia operasi di tapak kerja tersebut, dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan dan seminggu.
Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Tan Jen Tse berkata pelanggaran peraturan berkaitan operasi mesin pembancuh berkenaan telah berlarutan bagi tempoh masa agak lama.
Beliau menambah, Stars mempunyai masa mencukupi untuk memperbetulkan pelanggaran peraturan tersebut.
Sebagai pengarah Stars, Chua mempunyai kawalan penuh dan mutlak terhadap cara mesin pembancuh itu digunakan.
Namun, dia mengeluarkan arahan salah kepada pekerja tentang cara menggunakan mesin berkenaan.
Susulan perbicaraan selama 21 hari, Chua dan Stars didapati bersalah pada 26 Mei atas dua tuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA) berhubung kecuaian keselamatan.
Chua dan syarikat berkenaan gagal memastikan mesin pembancuh tersebut selamat digunakan.
Mereka juga gagal memastikan pekerja mereka menerima latihan dan penyeliaan mencukupi untuk mengendalikan peralatan berkenaan.
Kecuaian keselamatan itu mengakibatkan letupan yang mengorbankan tiga pekerja – warga Bangladesh, Encik Shohel Md, 23 tahun; Encik Anisuzzaman Md, 29 tahun; serta warga India, Encik Subbaiyan Marimuthu, 38 tahun.
Ketiga-tiga mangsa maut akibat kelecuran teruk meliputi 90 peratus bahagian badan.
Sementara itu, pengurus pengeluaran Stars, Lwin Moe Tun, 36 tahun, disabitkan kesalahan atas dua tuduhan mengganggu proses keadilan kerana memadam mesej antara dirinya dengan Subbaiyan.
Pengurus warga Myanmar berkenaan dijatuhi hukuman penjara selama enam minggu.
Chua pula didapati bersalah kerana menghasut Lwin Moe Tun untuk memadam mesej berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Timotheus Koh, Cik Grace Chua, dan Encik Mohamed Riasudeen, memohon hukuman denda antara $600,000 dengan $800,000 bagi Stars, serta hukuman penjara antara 20 dengan 24 bulan dan tambahan dua hingga empat minggu terhadap Chua.
Pihak pendakwaan berkata tindakan Stars telah mengakibatkan kematian, kecederaan parah beberapa pekerja, serta kerosakan harta benda yang serius.
Mereka menambah, semua perkara itu boleh dielakkan jika Stars dan Chua mengambil berat tentang operasi mesin tersebut secara lebih serius.
“Stars melakukan pelbagai kegagalan serius kerana tidak mengambil langkah munasabah yang praktikal bagi memastikan mesin pembancuh tersebut selamat digunakan, dan memastikan pekerja mengendalikan mesin berkenaan dalam persekitaran yang selamat,” tambah pihak DPP.
Menurut pihak DPP, memandangkan Chua adalah pengarah tunggal Stars, dia merupakan individu yang bertanggungjawab atas amalan kerja tidak selamat itu.
Ini kerana semua keputusan penting yang membawa kepada kegagalan syarikat berkenaan dibuat olehnya.
Mengenai tuduhan mengganggu proses keadilan, pihak pendakwaan mengambil maklum bahawa Chua hanya memberitahu polis mengenai mesej yang dipadam itu pada April 2021, iaitu hampir dua bulan selepas ia dipadamkan.
Bagi Lwin Moe Tun pula, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara antara enam dengan lapan minggu.
Chua dan Lwin Moe Tun akan mula menjalani hukuman penjara mereka pada 23 Julai.
