Topik diikuti
Pergi ke BHkuLevi bahan api mulai 1 Jan 2027 bagi pembelian tiket penerbangan dari 1 Okt
Levi kargo udara ditangguh setahun bagi mantapkan mekanisme pungutan bayaran
Orang ramai yang menempah tiket penerbangan keluar dari Singapura harus membayar levi bahan api jet hijau mulai 1 Januari 2027, jika mereka membeli tiket dari 1 Oktober.
Levi bagi penghantaran kargo udara pula akan ditangguhkan selama setahun.
Ia akan dikenakan kepada perkhidmatan yang dijual dari 1 Oktober 2027 bagi penerbangan yang berlepas dari Singapura mulai 1 Januari 2028.
Dalam satu kenyataan pada 3 September, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata levi kargo udara ditangguhkan kerana ciri industri kargo udara yang lebih kompleks, serta bilangan perniagaan dan agensi yang terlibat, berbanding penerbangan penumpang.
Ini termasuk syarikat penerbangan, pengangkut dan penghantar barangan.
Pihak berkuasa itu berkata: “Mengambil kira maklum balas industri, penangguhan setahun ini akan memberi lebih masa kepada CAAS untuk bekerjasama dengan mereka, bagi membangun dan melaksanakan mekanisme pungutan levi bahan api penerbangan mampan yang mantap bagi penghantaran kargo pada penerbangan yang berlepas.”
Encik Gabriel Lam yang merupakan Pengerusi SAAA@Singapore – dahulunya dikenali sebagai Persatuan Ejen Kargo Udara Singapura – menyambut baik langkah itu.
Beliau berkata percubaan menggunakan pendekatan “satu saiz untuk semua” bagi industri itu semasa memungut levi boleh menimbulkan percanggahan.
Dengan memanjangkan tempoh persediaan pelaksanaan, pemain industri dapat mengharungi peralihan ini dengan cara yang “lebih terancang dan mampan,” tambahnya.
Tempoh tambahan itu, katanya, dapat membantu firma-firma merancang lebih awal serta berkomunikasi dengan pelanggan dan rakan niaga sebelum bayaran berkuat kuasa.
Levi bahan api jet hijau, yang akan disalurkan untuk pembelian bahan api penerbangan mampan, sepatutnya berkuat kuasa bagi penumpang yang berlepas dari Singapura pada Oktober, dengan tiket yang dibeli mulai 1 April.
Namun, ia ditangguhkan ke 1 Januari 2027, ekoran krisis tenaga sejagat yang dicetuskan oleh perang di Timur Tengah, menyaksikan penutupan Selat Hormuz, laluan yang membawa seperlima daripada bekalan minyak dan tenaga global.
Penumpang kelas ekonomi atau ekonomi premium akan membayar levi antara $1 dengan $10.40, bergantung pada destinasi mereka, manakala penumpang kelas bisnes atau kelas pertama akan membayar antara $4 dengan $41.60.
Ini berdasarkan norma industri dalam mengira pelepasan karbon bagi penumpang di kelas kabin yang berbeza.
Memandangkan penerbangan yang lebih jauh menggunakan lebih banyak bahan api, penumpang yang menuju destinasi lebih jauh akan membayar levi yang lebih tinggi.
Bayaran itu akan disenaraikan secara berasingan dalam perincian tambang.
Bagi melaksanakan levi tersebut, destinasi di seluruh dunia dibahagikan kepada empat jalur mengikut kawasan.
Semakin jauh jalur itu, semakin tinggi levi yang dikenakan, berdasarkan jarak perjalanan.
Jalur tersebut ialah Asia Tenggara (Jalur 1); Asia Timur Laut, Asia Selatan, Australia dan Papua New Guinea (Jalur 2); Afrika, Asia Tengah dan Barat, Eropah, Timur Tengah, Kepulauan Pasifik dan New Zealand (Jalur 3); dan benua Amerika (Jalur 4).
Bagi penerbangan dengan persinggahan, levi akan dikira berdasarkan destinasi terdekat selepas berlepas dari Singapura.
