Mulai 28 Oktober, perpustakaan library@orchard di pusat beli-belah Orchard Gateway akan ditutup untuk proses pengubahsuaian yang akan dilakukan secara bertahap-tahap hingga ke 2026, menurut satu kenyataan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 6 September.
Pengubahsuaian ini adalah sebahagian daripada usaha jangka masa panjang NLB untuk memperbaharui perpustakaannya dan menawarkan perkhidmatan, ruang serta pengalaman baru untuk para pengunjung.
Setelah 10 tahun menghuni di Orchard Gateway, perpustakaan libary@orchard akan “dirombak dan dibangun semula untuk membolehkan pengunjung membaca, belajar, dan meneroka dengan cara yang lebih menyegarkan”, kata NLB.
Demi meningkatkan pembelajaran dan penemuan baru, perpustakaan bakal mempunyai bahagian kanak-kanak serta ruang interaktif dan imersif yang didukung dengan teknologi setelah pengubahsuaian.
Unsur baru ini akan diperkenalkan secara berperingkat setelah pembukaan rasmi perpustakaan yang dijangka akan sedia pada separuh kedua 2026.
Maklumat lanjut mengenai pengubahsuaian perpustakaan akan dikongsi dalam masa terdekat.
Sementara projek pengubahsuaian itu dijalankan, koleksi dari library@Orchard akan dipindahkan ke Pusat Perpustakaan Seni, yang akan dibuka menjelang akhir 2024. Ia akan menempatkan di sebahagian besar tingkat lima di Bangunan Perpustakaan Nasional.
Mulai awal 2025, sebahagian daripada koleksi tersebut akan ditempatkan ke Pusat Reka Bentuk Nasional hasil kerjasama Universiti Seni Singapura.
Langkah ini adalah antara usaha NLB untuk menyatukan sumber seni bagi menjamin perkhidmatan yang lebih baik bagi para pengunjung seperti pelajar, penyelidik dan pengamal dari institusi dan masyarakat dalam jaluran daerah seni dan warisan.
Sebelum ditutup untuk pengubahsuaian, library@Orchard akan menjalankan sebuah program selama tiga minggu dalam menelusuri perjalanannya, mempromosikan seni dan reka bentuk.
Program yang dinamakan Design Is For Everyone: A Decade Of Design, Arts And Community, akan berlangsung dari 8 hingga 27 Oktober sambil menampilkan pameran serta dinding masyarakat di mana orang ramai boleh berkongsi kenangan mereka selama berada di perpustakaan ini.
Pada 26 dan 27 Oktober, para pengunjung boleh mencipta kenangan mereka sendiri di gerai aktiviti.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapatkan melalui halaman Facebook LearnX Arts serta library@Orchard di platform penjualan tiket Eventbrite.
“Perpustakaan ini telah menjadi tempat persinggahan bagi ramai pengunjung berkat lokasinya yang strategik, rangkaian sumber yang unik, program kreatif, dan tentunya, ruang yang mesra Instagram.” kata Ketua Pegawai Eksekutif NLB, Encik Ng Cher Pong.
Beliau juga berkata, selepas beroperasi selama 10 tahun, sekarang masanya untuk membayangkan semula perkara-perkara yang boleh dilakukan dalam ruangan ini.
“Pengubahsuaian ini akan membuka halaman baru yang menarik bagi perpustakaan ini dan orang ramai di tengah Orchard Road” tambahnya.
Selaras dengan Pelan Tindakan Perpustakaan dan Arkib 2025, NLB berkata ia akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi dan masyarakat umum untuk merombak semula perpustakaan dan arkibnya.
Perpustakaan lain yang turut dirancang untuk menjalankan pengubahsuaian termasuk di Ang Mo Kio, Queenstown dan Toa Payoh.
Di Toa Payoh, NLB bekerjasama dengan rakan kongsi dan masyarakat untuk membina perpustakaan yang lebih besar dan dilengkapkan dengan kemudahan sukan, kesihatan dan taman di pusat integrasi yang akan datang di kawasan tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg