Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Lima AP kemuka usul Parlimen bagi tingkat sokongan kesihatan mental

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lima AP kemuka usul Parlimen bagi tingkat sokongan kesihatan mental

Feb 02, 2024 | 11:59 AM



Isu kesihatan mental akan mendapat sorotan Parlimen apabila lima Anggota Parlimen (AP) ahli Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kesihatan mengemukakan sebuah usul berkaitannya semasa Dewan bersidang pada 6 Februari.

Bertajuk ‘Memajukan Kesihatan Mental’, usul itu bertujuan mendapatkan sokongan Parlimen untuk mengiktiraf kepentingan kesihatan mental sebagai isu kesihatan, sosial dan ekonomi, sambil menyeru pemerintah supaya melaksanakan strategi nasional bagi meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan penduduk Singapura.

Semasa ditanya Berita Harian, salah seorang daripada mereka, AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, berkata usul tersebut juga bertujuan mendapatkan sokongan Parlimen untuk mengesahkan peri pentingnya Singapura membina ekosistem kesihatan mental negara kukuh.


“Tahun lepas, Pasukan Petugas Antara Agensi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan mengeluarkan Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Kebangsaan untuk meningkatkan dan menambah baik perkhidmatan bagi isu kesihatan mental.

“Anggota GPC ini telah berkumpul untuk meneliti strategi tersebut, mendapatkan pandangan masyarakat dan pihak berkepentingan, dan kini kami bersedia memfailkan usul ini bagi mengemukakan kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, selain mengajukan soalan berkaitan kesihatan mental di Parlimen, Dr Wan Rizal memfailkan dua usul penangguhan pada 2020 dan 2021 untuk menyeru pemerintah supaya meningkatkan perkhidmatan dan sokongan bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan warga Singapura.

Ditanya mengapa kali ini anggota GPC itu memilih untuk mengemukakan usul anggota persendirian, Dr Wan Rizal berkata ada perbezaan antara dua pendekatan itu.

“Dalam usul penangguhan, kami mempunyai sedikit masa untuk bercakap. Apabila saya mengemukakan usul penangguhan pada 2020 dan 2021, saya seorang sahaja yang berucap dan ia dijawab oleh kementerian.

“Untuk usul kali ini, lebih ramai orang boleh menyertai perbahasan dan kami mempunyai lebih banyak masa untuk bercakap. Pada akhir perbahasan, Parlimen perlu mengundi untuk usul itu diluluskan,” kata Dr Wan Rizal.

AP lain dalam GPC Kesihatan yang bakal berucap di Parlimen tentang topik itu ialah Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang), Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang), Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong) dan Encik Edward Chia (GRC Holland-Bukit Timah).

Menurut Dr Wan Rizal, sejak beberapa bulan lalu anggota GPC itu mengadakan pertemuan dan dialog bersama beberapa aktivis kesihatan mental dan badan masyarakat untuk mendapatkan pandangan mereka.

Antara isu yang diketengahkan peserta ialah stigma dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam apabila seseorang individu mendekati keluarga dan orang terdekat untuk bercakap tentang masalah seperti kemurungan.

“Sesetengah daripada mereka berkongsi betapa sukarnya untuk mereka memberitahu keluarga atau orang terdekat bahawa mereka menghadapi kemurungan. Mereka diberitahu ia bukan isu kesihatan mental, sebaliknya ada kaitan dengan kerohanian atau agama mereka.

“Kerohanian memang memainkan peranan tetapi ia bukan satu-satunya jawapan. Apa yang mereka perlukan sebenarnya ialah berjumpa dengan pakar perubatan yang boleh memberi mereka bimbingan yang sepatutnya.

“Apa yang ingin kami tekankan ialah anda boleh mendapatkan kedua-dua pandangan, dari segi agama dan juga dari segi perubatan, kerana ia saling melengkapi, dan saya fikir ini akan memberikan perspektif yang lebih baik,” kata Dr Wan Rizal.

Sejak dipilih sebagai AP pada Julai 2020, Dr Wan Rizal giat mengetengahkan soalan di Parlimen dan mendekati aktivis dan badan masyarakat berkaitan isu kesihatan mental.


Pada 2021, beliau menerajui kempen #452TooMany yang melibatkan 18 AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk mempertingkat kesedaran tentang isu kesihatan mental.


Kempen #452TooMany merujuk kepada bilangan kes bunuh diri pada 2020 menurut Samaritans of Singapore (SOS), dan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang jumlah kes bunuh diri yang terlalu tinggi di Singapura.


Sejumlah 476 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di sini pada 2022, jumlah tertinggi dalam lebih 20 tahun, menurut SOS pada 1 Julai 2023.


Pada 2022, Dr Wan Rizal bersama Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, dan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Cik Sun Xueling, menerajui kempen #BetterTogether bagi meningkatkan kesedaran dan merangsang tindakan bersama berkaitan kesihatan mental.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >