Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lima menteri terajui Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi S’pura

Tumpu pada perhubungan berterusan, tangani cabaran semasa, bangun strategi jangka panjang
Apr 16, 2025 | 8:44 PM
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (tiga dari kanan) mengumumkan tiga teras utama Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura pada 16 April. Bersamanya adalah (dari kiri) Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Encik Tan Hee Teck; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng; timbalan pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Mark Lee; dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (tiga dari kanan) mengumumkan tiga teras utama Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura pada 16 April. Bersamanya adalah (dari kiri) Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Encik Tan Hee Teck; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng; timbalan pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Mark Lee; dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Lima menteri akan mengetuai satu pasukan petugas baru – Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura – bagi membantu perniagaan dan pekerja tempatan mengharungi ketidaktentuan yang tercetus oleh tarif meluas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Ia akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama – perhubungan berterusan, menangani cabaran semasa dan membangunkan strategi jangka panjang, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.

Bercakap pada media selepas mengadakan mesyuarat pertama pasukan tersebut pada 16 April, Encik Gan berkata pemerintah telah berhubung dengan pegawai dari Amerika untuk memahami kebimbangan mereka dan bekerja secara konstruktif bagi menangani sebarang isu dengan cara yang dipersetujui bersama.

“Kita sedang menghadapi cabaran paling serius terhadap aturan ekonomi berasaskan peraturan sejagat. Kita mesti bersedia menghadapi era yang lebih bersifat pelindungan, tidak stabil dan berpecah-belah pada masa hadapan.

“Menerusi kerjasama dengan kesatuan sekerja dan perniagaan, pemerintah akan membantu syarikat dan pekerja mengharungi cabaran-cabaran yang akan datang… dan mencari peluang baru untuk berkembang maju dalam landskap ekonomi baru,” kata Encik Gan.

Pasukan petugas baru yang dipengerusikan oleh Encik Gan itu, akan merangkumi Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; dan Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat.

Anggota lain termasuk pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Lim Ming Yan, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng dan presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Encik Tan Hee Teck.

Penubuhan pasukan petugas itu pertama kali diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada 8 April, berikutan tarif asas 10 peratus yang dikenakan oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump pada 2 April ke atas semua barangan Singapura yang memasuki Amerika.

Tarif tersebut dijangka membebankan ekonomi Singapura, memberi kesan kepada pekerjaan dan gaji domestik. Pada 14 April, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menurunkan unjuran pertumbuhan Singapura kepada antara sifar dengan dua peratus pada 2025.

Tumpuan pertama pasukan petugas akan memberi tumpuan kepada mewujudkan komunikasi “tiga hala” berterusan antara pemerintah, perniagaan dan pekerja, dan akan memberi kemas kini tentang perkembangan dan penilaian terkini tentang kesan tarif tersebut.

Cik Teo, yang mengetuai bersama tumpuan kerja pertama itu bersama Encik Lim, menyatakan bahawa “tahap kekeliruan” dijangka berlaku memandangkan betapa cepatnya keadaan tarif berubah.

“Penawar kepada kekeliruan ialah dengan menerusi memahami landskap dengan teliti. Ini bermakna kita mesti cuba menjadikan semua kebimbangan yang kami dapat menjadi sebuah cerapan. Dan daripada cerapan ini, kita boleh mencuba mencari haluan bagi mengharungi ketidakpastian ini,” katanya.

Tumpuan kedua pasukan adalah untuk mengenal pasti masalah dan cabaran segera yang dihadapi oleh perniagaan dan pekerja.

Ini termasuk menyemak dan mempertingkatkan langkah-langkah sokongan pemerintah dan melaksanakannya mengikut keperluan.

Ketua Buruh NTUC, Encik Ng yang mengetuai bersama aliran kerja kedua itu, berkata:

“Dalam ketidaktentuan yang akan datang, kami berharap syarikat boleh mengambil pendekatan yang lebih fleksibel selain daripada pemberhentian pekerja untuk mengekalkan bakat dan mengukuhkan keupayaan masa depan.”

Mengetuai bersama aliran kerja kedua itu adalah presiden Snef, Encik Tan, yang menekankan kepentingan komuniti perniagaan yang lebih luas dalam menggalakkan pengambilan dan latihan pekerja yang berterusan, walaupun dalam landskap yang berhati-hati.

“Adalah penting untuk terus melabur dalam tenaga kerja kita dan kemahiran yang relevan supaya kita berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi cabaran di hadapan,” katanya.

Tumpuan kerja ketiga pasukan itu adalah untuk membangunkan strategi jangka sederhana hingga lebih lama untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi Singapura.

Ini termasuk meneroka cara baru dan inovatif bagi memasuki dan berkembang dalam pasaran baru, serta mengukuhkan status Singapura sebagai hab global bagi udara, laut, perdagangan dan kewangan.

Encik Lee, yang mengetuai bersama aliran kerja ketiga itu bersama Encik Chee, menyatakan bahawa daya tahan ekonomi bukan sahaja tentang menghadapi kesukaran, tetapi juga mengubahnya dan berkembang maju.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg