Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura tubuh pasukan petugas bagi tangani kesan tarif AS

Tarif Amerika akan jejas ekonomi, perniagaan dan pekerja; pertumbuhan negara turut terjejas
Apr 8, 2025 | 6:21 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan sebuah pasukan petugas baru akan ditubuhkan bagi membantu perniagaan dan pekerja menangani ketidaktentuan, mengukuhkan daya tahan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi baru dengan lebih baik.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan sebuah pasukan petugas baru akan ditubuhkan bagi membantu perniagaan dan pekerja menangani ketidaktentuan, mengukuhkan daya tahan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi baru dengan lebih baik. - Foto MDDI

Singapura akan menubuhkan sebuah pasukan petugas baru bagi membantu perniagaan dan pekerja menangani ketidaktentuan, mengukuhkan daya tahan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi baru dengan lebih baik.

Dalam Kenyataan Menterinya di Parlimen pada 8 April, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong berkata pasukan petugas ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.

Ia akan merangkumi perwakilan daripada Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Mengumumkan demikian, Encik Wong berkata tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat akan menjejas ekonomi, perniagaan dan pekerja Singapura, dan pertumbuhan Singapura akan turut terjejas.

Namun, beliau memberi jaminan langkah-langkah daripada Belanjawan 2025 akan terus memberikan sokongan jangka pendek dan pemerintah akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi jika dan apabila perlu.

“Singapura mesti menggandakan usaha untuk kekal sebagai nod utama dalam aliran global dan hab perniagaan yang dipercayai. Kita akan menjalin hubungan lebih rapat dengan rakan kongsi yang berfikiran sama, yang berkongsi komitmen kita untuk perdagangan terbuka dan bebas.

“Kita akan mengenal pasti rakan kongsi lain untuk bersama kami dan berusaha mengatasi ini bagi memastikan daya tahan dan mengekalkan bahagian kritikal sistem pelbagai hala,” kata Encik Wong.

Menjawab soalan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, mengenai butiran pasukan petugas itu, Encik Gan berkata komposisi dan tugas terperinci masih diusahakan tetapi satu fokus utama adalah dari segi komunikasi dan perkongsian maklumat.

“Kami akan melibatkan sektor swasta. Ideanya adalah untuk mengumpul maklumat, memahami cabaran yang dihadapi oleh perusahaan di lapangan, dan juga membincangkan dengan mereka bagaimana kami boleh menyokong mereka.

“Prinsip panduan utama kami adalah untuk melakukan setelus mungkin. Apabila kami mengetahui sesuatu yang penting, kami akan berkongsi dengan penduduk, perniagaan, pekerja, kesatuan sekerja dan anggota dan jika kami belum tahu lagi, kami akan memberitahu anda secara jujur,” kata Encik Gan.

Tambahnya, memandangkan masih awal, pemerintah akan mengambil masa untuk mendapatkan pemahaman dan penilaian yang lebih baik tentang kesan keseluruhan tarif dan apa yang akan berlaku.

Encik Gan berkata pihak berkuasa juga perlu mengambil kira reaksi daripada negara lain, selain Amerika, yang akan menambah potensi kesan ke atas ekonomi Singapura.

Encik Wong berkata memandangkan keadaan masih berlangsung, pasukan petugas itu akan terus melibatkan perniagaan dan akhirnya menentukan langkah tambahan yang mungkin diperlukan.

Beliau menambah susulan pengumuman tarif Amerika itu, agensi ekonomi Singapura telah berhubung dengan beberapa perusahaan berbilang negara dan perniagaan tempatan.

“Kami akan meneruskan semakan dan pemantauan situasi global, dan jika ada keperluan, kami akan memberikan maklumat terkini kepada rakyat Singapura apabila kami bersedia, dan apabila ada keperluan,” katanya.

Buat masa ini, Encik Wong berkata langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 akan memberikan sokongan untuk sebarang tekanan jangka pendek.

Ini termasuk baucar CDC, baucar SG60 dan rebat U-Save yang membantu dengan kebimbangan kos sara hidup, manakala langkah yang disasarkan seperti peningkatan bantuan ComCare akan menyokong kumpulan yang lebih terdedah.

Pekerja juga boleh memanfaatkan SkillsFuture, manakala yang menganggur secara sukarela akan menerima bantuan untuk bangkit semula melalui Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture yang akan dilancarkan pada April nanti, kata Encik Wong.

“Kami juga telah melancarkan langkah dalam Belanjawan untuk membantu perniagaan. Terdapat langkah sokongan jangka pendek melalui rebat cukai pendapatan korporat, serta skim untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka dan untuk beralih ke pasaran baru.

“Agensi-agensi ekonomi kita juga melibatkan firma yang terjejas oleh tarif agar lebih memahami maklum balas mereka dan melihat bagaimana kami boleh menyokong mereka dan membantu mereka dengan sebarang isu khusus yang mereka hadapi,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg