Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lima rumah kampung Pulau Ubin akan dibaik pulih demi kekalkan warisan

NParks juga akan laksana usaha pemulihan spesies, lancar inisiatif Sekolah Ubin sebagai sebahagian fasa seterusnya pada Projek Ubin
Jun 22, 2024 | 5:01 PM
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan fasa seterusnya bagi Projek Ubin pada 22 Jun sempena meraikan Hari Ubin.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan fasa seterusnya bagi Projek Ubin pada 22 Jun sempena meraikan Hari Ubin. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Lima rumah bukan kediaman di Pulau Ubin akan dibaik pulih dan dibangunkan semula oleh Lembaga Taman Negara (NParks) bagi kegunaan masyarakat dan komersial sebagai sebahagian daripada Program Membaik Pulih Rumah Kampung.

Berucap kepada para pelajar dan sukarelawan di Pulau Ubin sempena meraikan acara Hari Ubin, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata usaha ini merupakan sebahagian daripada rangkaian seterusnya Projek Ubin, untuk memastikan Pulau Ubin kekal sebagai pulau desa yang boleh dinikmati rakyat Singapura.

“Kita akan melaksanakan program baik pulih khusus untuk rumah kampung ini bagi mengekalkan warisan budaya Ubin yang kaya.

“Kemudiannya, kita akan melihat bagaimana rumah-rumah kampung kosong ini dapat digunakan semula.

“Saya menggalak masyarakat supaya berkongsi idea untuk kegunaan baru bagi rumah-rumah ini, dengan cara yang akan menyumbang secara bermakna kepada Projek Ubin,” kata Encik Lee.

Beliau menambah individu atau kumpulan yang berminat boleh mengemukakan cadangan untuk menggunakan semula rumah kampung ini dengan syarat ia dapat mengekalkan kepentingan budaya mereka kepada pulau itu.

Empat daripada rumah bukan kediaman itu telah diperuntukkan untuk pembangunan semula, manakala rumah kampung yang kelima akan dikenal pasti dalam masa terdekat.

Ketika Berita Minggu (BM) melawat Pulau Ubin pada 22 Jun, tiga daripada rumah itu sudah pun dirobohkan atas sebab keselamatan dan sedang menunggu pembangunan semula, manakala rumah keempat masih berdiri dan sedang menunggu rancangan untuk dibaik pulih.

Program Membaik Pulih Rumah Kampung adalah sebahagian daripada beberapa inisiatif seterusnya di bawah Projek Ubin, yang telah dibangunkan oleh Friends of Ubin Network (Fun) bersama Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan NParks.

Projek Ubin, yang dilancarkan pada 2014, terdiri daripada lima bidang tumpuan, termasuk pemuliharaan biodiversiti; masyarakat, warisan dan sejarah; pendidikan dan penyelidikan; reka bentuk dan amalan kemampanan; dan rekreasi berasaskan alam semula jadi.

Cadangan lain sebagai sebahagian daripada fasa seterusnya Projek Ubin termasuk melaksanakan lebih banyak usaha pemulihan spesies dan melancarkan daya utama Sekolah Ubin.

“Sebagai sebahagian daripada Program Pemulihan Spesies NParks, kami akan memperkenalkan Cinnamon Bush Frog, spesies malam yang terkenal dengan tompok-tompok pada badannya yang berwarna coklat kemerahan, kepada habitat yang sesuai di Ubin.

“Pada 2017 dan 2018, kita berjaya memperkenalkan Cinnamon Bush Frog, spesies asli tetapi terdedah di Singapura ke dalam hutan hujan Kebun Bunga Singapura. Usaha ini akan membantu mengembangkan habitat semula jadi spesies yang terdedah ini,” kata Encik Lee.

Encik Lee menambah NParks juga akan menjalankan tinjauan biodiversiti mendalam yang baru di pelbagai habitat bakau di Pulau Ubin.

Disokong oleh OCBC, beliau menambah penemuan daripada tinjauan itu akan membantu memaklumkan usaha pemuliharaan biodiversiti masa depan di pulau tersebut dan di tempat lain.

Di bawah daya utama Sekolah Ubin pula, NParks akan bekerjasama dengan Outward Bound Singapore (OBS) dan pelbagai sekolah rendah dan menengah untuk membangunkan dan melancarkan rangkaian program untuk meraikan kekayaan warisan semula jadi dan budaya Pulau Ubin.

“Melalui program-program itu, kami berharap dapat mempromosikan penjagaan alam sekitar dalam kalangan anak muda Singapura melalui pembelajaran pelbagai disiplin dan pengalaman, dan memupuk masyarakat pendidik untuk berkongsi sumber dan rancangan pengajaran yang mengutamakan Ubin,” kata Encik Lee.

Beliau juga berkata NParks akan bekerjasama dengan Fun untuk meneroka bagaimana penduduk kampung boleh terlibat dalam inisiatif Sekolah Ubin, seperti menyediakan peluang untuk mereka berkongsi pengetahuan dan kemahiran mereka bersama anak muda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg