Lion Group bakal memindahkan operasinya ke Terminal 4 Lapangan Terbang Changi dan melancarkan penerbangan harian ke Subang, Ipoh dan Pulau Pinang.
Kumpulan syarikat penerbangan itu merangkumi Batik Air Indonesia, Batik Air Malaysia dan Thai Lion Air.
Ia kini beroperasi di Terminal 3 dan akan berpindah ke Terminal 4 pada November 2025.
Penerbangan barunya akan bermula pada Disember, lapor The Business Times.
Kumpulan syarikat penerbangan tersebut pada 22 September berkata pemindahan ke Terminal 4 itu bertujuan “menampung pertumbuhan masa depan Lion Group dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik susulan permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat di rantau ini”.
Dengan pemindahan tersebut, akan terdapat 10 syarikat penerbangan dengan khidmat penuh dan 10 syarikat penerbangan tambang rendah beroperasi di Terminal 4.
Pelancaran penerbangan ke Subang oleh syarikat penerbangan penuh Batik Air Malaysia menyusuli penerbangan sedia ada yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang rendah, Scoot dan Firefly.
Lapangan Terbang Subang terletak lebih hampir dengan pusat bandar Kuala Lumpur berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) – sekitar 25 kilometer berbanding 60 kilometer bagi KLIA.
Menurut data wadah analitik penerbangan, OAG, laluan udara Kuala Lumpur-Singapura merupakan laluan antarabangsa keempat tersibuk di dunia pada 2024 dan yang tersibuk pada 2023.
Buat masa ini, Firefly menerbangkan pesawat jenis bebaling turbo atau ‘turboprop’ dari Subang ke Lapangan Terbang Seletar Singapura.
Pada Ogos, ia menamatkan operasi pesawat jet di Subang dan memilih untuk mengendalikan laluan hariannya ke Lapangan Terbang Changi dari KLIA.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Scoot, Encik Leslie Thng, memberitahu New Straits Times pada awal September bahawa syarikat penerbangannya “berminat” menambah penerbangan ke Subang sekiranya dibenarkan oleh pihak berkuasa Malaysia.
Batik Air Malaysia kini mengendalikan empat penerbangan harian antara KLIA dengan Lapangan Terbang Changi.
Secara keseluruhan, Lion Group kini mempunyai 88 penerbangan mingguan yang menghubungkan Singapura ke Jakarta, Bali, Medan, Kuala Lumpur dan Bangkok.
Pengembangan selanjutnya dari Thailand juga sedang dalam perancangan, dengan Thai Lion Air berkata ia akan menambah laluan penerbangan ke Singapura dari bandar lain di Thailand selain Bangkok.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg