ST Engineering telah membuka kemudahan baru bagi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin pesawat, selaras dengan usaha Singapura untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab aeroangkasa.
Kemudahan baru bernilai berjuta dolar itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pada 15 September.
Terletak dalam kawasan perniagaan aeroangkasa ST Engineering di Paya Lebar, kemudahan itu meliputi ruang dengan keluasan sekitar 10,000 meter persegi.
Kemudahan itu turut dilengkapi teknologi canggih termasuk robot berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan sistem automatik yang dijangka meningkatkan kecekapan operasi MRO.
ST Engineering berkata peluasan itu secara berperingkat-peringkat akan menggandakan kemampuan syarikat itu untuk menyelenggara lebih 300 enjin jenis CFM56 dan Leap setahun menjelang 2027.
Enjin-enjin itu lazimnya digunakan dalam pesawat seperti Airbus A320 dan Boeing 737 Next Generation, lapor The Straits Times.
Kemampuan syarikat itu dijangka meningkat kepada penyelenggaraan lebih 400 enjin setahun, dengan gabungan kemudahan MRO enjin ST Engineering di Xiamen, China.
ST Engineering menambah bahawa kemudahan baru itu dijangka mewujudkan lebih 300 pekerjaan bernilai tinggi untuk operasi MRO di Singapura.
Juruteknik dan jurutera juga akan dilatih untuk menggunakan teknologi baru yang direka bagi menjadikan kerja mereka lebih selamat dan cekap.
Sebagai contoh, juruteknik kini hanya perlu menggunakan lengan robotik untuk menanggalkan dan menggantikan komponen penutup kipas enjin dengan mudah.
Tugas itu sebelum ini dilakukan secara manual dan mengambil masa kira-kira tujuh hari serta melibatkan pengendalian habuk berbahaya.
Kemudahan baru itu turut dilengkapi satu lagi teknologi berasaskan AI yang dapat memendekkan proses untuk mengenal pasti dan mengasingkan nombor bahagian serta komponen enjin, daripada 32 jam kepada lapan jam.
Presiden Aeroangkasa Komersial ST Engineering, Encik Jeffrey Lam, berkata peluasan itu mencerminkan komitmen syarikat itu untuk terus memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat, serta mengekalkan piawaian tertinggi dalam operasi MRO enjin.
“Dengan peluasan dan pembaharuan rangkaian pesawat syarikat penerbangan serta penggunaan lebih banyak enjin Leap generasi baru, kemudahan baru dan tenaga kerja kami yang disokong teknologi akan meletakkan kami pada kedudukan yang baik untuk menyokong pelanggan dan pengendali sektor penerbangan di seluruh dunia,” kata Encik Lam.
Perniagaan MRO ST Engineering bermula pada 1975 ketika ia hanya menyediakan perkhidmatan untuk enjin ketenteraan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
Portfolio syarikat itu telah berkembang sepanjang beberapa dekad lalu, dan kini, perniagaan MRO enjin syarikat itu memberi khidmat kepada sekitar 50 syarikat penerbangan.
“Peluasan kegiatan MRO enjin pesawat ST Engineering, bersama penggunaan AI dan automasi dalam kemudahan mereka, akan terus memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab aeroangkasa terkemuka di Asia,” kata Pengarah Urusan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Encik Jermaine Loy.
Beliau menambah, kerjasama ST Engineering dengan perusahaan setempat dalam operasi MRO menunjukkan cara “pemimpin industri boleh memanfaatkan ekosistem aeroangkasa Singapura yang dinamik serta berkembang bagi memacu inovasi dan meningkatkan daya tahan dan daya saing perniagaan mereka”.
Kini, Singapura menyumbang 10 peratus daripada keluaran MRO sejagat, dengan satu daripada 10 pesawat dan satu daripada lima enjin di seluruh dunia diselenggara di sini.
Sektor MRO juga merupakan bahagian penting dalam visi Perkilangan 2030 Singapura (M2030) yang menyasarkan pertumbuhan nilai tambah perkilangan sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
Pada Ogos, EDB melaporkan bahawa sektor aeroangkasa mencatat peningkatan 22.7 peratus dalam keluaran perkilangan pada Julai, dipacu oleh pengeluaran bahagian pesawat lebih tinggi serta operasi MRO yang berterusan daripada syarikat penerbangan komersial.
Di Asia, sektor MRO dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun 3.5 peratus antara 2025 dengan 2035.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg