Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lions Befrienders perkasa 13,000 warga emas dengan aplikasi mudah alih baru

Aplikasi ‘Our Kampung’ tangani cabaran kecekapan digital, rasa terasing warga emas
Dec 12, 2024 | 4:40 PM
Aplikasi ‘Our Kampung’ merupakan aplikasi mudah alih mesra warga emas pertama seumpamanya yang dibangunkan oleh pasukan teknologi dan inovasi Lions Befrienders (LB) dengan kerjasama Pusat Penuaan Aktif (AAC) LB serta relawan warga emasnya.
Aplikasi ‘Our Kampung’ merupakan aplikasi mudah alih mesra warga emas pertama seumpamanya yang dibangunkan oleh pasukan teknologi dan inovasi Lions Befrienders (LB) dengan kerjasama Pusat Penuaan Aktif (AAC) LB serta relawan warga emasnya. - Foto ST

Satu aplikasi mudah alih mesra warga emas yang baru berpotensi merapatkan jurang digital antara warga emas dengan generasi muda, memberi manfaat kepada seramai 13,000 warga emas di bawah jagaan Lions Befrienders.

Meskipun usia semakin lanjut, warga emas kini dapat menjadi sebahagian daripada masyarakat digital hari ini menyusuli pelancaran ‘Our Kampung’ – aplikasi yang direka bentuk untuk meningkatkan kemahiran digital, memperkukuh hubungan sosial khusus untuk masyarakat berusia.  

Dibangunkan oleh Lions Befrienders (LB) dengan kerjasama Pusat Penuaan Aktif (AAC) LB serta sukarelawan warga emasnya, aplikasi semua-dalam-satu itu mengandungi ciri-ciri seperti gamifikasi dan peluang rangkaian. 

Aplikasi itu dilancarkan Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, di ACC LB di Blok 150, Mei Ling Street, pada 12 Disember. 

LB dalam kenyataannya pada 12 Disember berkata: “(‘Our Kampung’) memperkasakan warga emas di seluruh Singapura dalam menyeberangi jurang digital dan mempersiapkan mereka menghadapi masyarakat digital.

“Pada terasnya, ‘Our Kampung’ bertujuan menangani cabaran penting seperti kecekapan digital yang rendah, rasa tidak mahu mempelajari penggunaan telefon pintar, dan perasaan terasing yang menyebabkan warga emas terpinggir dalam jurang digital.

“Ini sekali gus menghalang mereka daripada menyertai masyarakat yang semakin dipacu teknologi.”

Disesuaikan bagi memenuhi keperluan warga emas, aplikasi tersebut direka dengan ciri mesra warga emas seperti skrin sentuh yang mudah dikemudi dan fon bersaiz besar.

Ia juga mempunyai palet warna dengan kontras tinggi dan penggunaan audio sebagai bentuk mesej bagi menyokong mereka yang menghadapi masalah penglihatan, cabaran pergerakan atau kehilangan daya ingatan.

Antara ciri ialah permainan ‘Avatar Haiwan’ – satu unsur gamifikasi – yang bukan sahaja menggalakkan penyertaan aktif malah menyemai rasa pencapaian dan kebersamaan.

Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua (dua dari kiri), cuba menggunakan aplikasi baru yang dihasilkan untuk warga emas, ‘Our Kampung’, semasa majlis pelancaran di Pusat Penuaan Aktif (AAC) Lions Befrienders (LB) di Blok 150, Mei Ling Street, pada 12 Disember. Bersama beliau ialah pengerusi LB, Encik Alex Lim (tiga dari kiri); pengarah eksekutif LB, Cik Karen Wee (tiga dari kanan); Timbalan Pengarah, Komunikasi, Singapore Pools, Cik Lee Sin Yee (dua dari kanan); dan Penolong Naib Presiden (Penglibatan Masyarakat) PSA, Encik Daniel Lim (kanan).
Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua (dua dari kiri), cuba menggunakan aplikasi baru yang dihasilkan untuk warga emas, ‘Our Kampung’, semasa majlis pelancaran di Pusat Penuaan Aktif (AAC) Lions Befrienders (LB) di Blok 150, Mei Ling Street, pada 12 Disember. Bersama beliau ialah pengerusi LB, Encik Alex Lim (tiga dari kiri); pengarah eksekutif LB, Cik Karen Wee (tiga dari kanan); Timbalan Pengarah, Komunikasi, Singapore Pools, Cik Lee Sin Yee (dua dari kanan); dan Penolong Naib Presiden (Penglibatan Masyarakat) PSA, Encik Daniel Lim (kanan). - Foto ST

Ia juga merupakan aplikasi mudah alih mesra warga emas pertama seumpama itu yang dibangunkan oleh pasukan teknologi dan inovasi LB. 

Aplikasi itu juga menyepadukan rangkaian teknologi LB ke dalam satu wadah, memastikan komunikasi lancar antara warga emas dengan perkhidmatan sokongan sambil menggalakkan penglibatan aktif dalam masyarakat. 

Sebelum pelancaran, aplikasi itu telah menjalani ujian percubaan sejak Oktober.

Syed Abdul Rahman Syed Mohamed, 67 tahun, adalah antara 30 warga emas yang telah menyertai dan mencubanya.

Menurutnya, aplikasi tersebut amat berguna bagi warga emas sepertinya.

Selama lebih lima tahun bersama LB, beliau kekal aktif dengan kegiatan berkebun dan sentiasa berkongsi ilmu tentang baja, cara menanam tanaman yang baru.

“Kini, kita ada kumpulan berkebun di aplikasi itu dan saya serta warga emas lain boleh menggunakan wadah itu untuk berbincang tentang berkebun, tanaman dan sebagainya, tidak kira di mana-mana kami berada,” ujarnya.

Beliau menambah, ia juga lebih mempermudahkan dirinya mendaftar bagi kegiatan di AAC menerusi aplikasi tersebut.

Aplikasi yang tersedia dalam empat bahasa rasmi Singapura itu turut membolehkan pengguna menjaga kesihatan mereka dengan kakitangan LB dimaklumkan dengan maklumat yang dikemas kini mengenai tekanan darah dan kadar denyutan jantung warga emas yang diambil di pusat LB.

Selain itu, aplikasi itu turut menawarkan peluang kepada warga emas meluaskan rangkaian dengan mendaftar kerja sambilan atau sukarela, mengikuti kursus peningkatan diri dan menyertai perbincangan kumpulan.

LB merupakan agensi perkhidmatan sosial pertama yang mencipta aplikasi mudah alih untuk benefisiarinya, kata Pengerusi LB, Encik Alex Lim.

Beliau menambah bahawa LB juga sedang dalam usaha berterusan melatih warga emas cara menggunakan peranti harian mereka, termasuk telefon bimbit.

Usaha demikian disokong Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg