Singapura bakal menjadi masyarakat ‘super-aged’ atau sangat menua dalam tempoh dua tahun akan datang. Menjelang 2030, satu daripada empat warga dijangka berumur 65 tahun ke atas – meningkat daripada satu daripada enam sekarang – dan dianggarkan sekitar 122,000 warga emas akan tinggal bersendirian, iaitu hampir 60 peratus lebih tinggi daripada perangkaan tahun lalu.
Warga emas yang hidup bersendirian berisiko menghadapi pengasingan sosial, dan ini boleh menjejas kesihatan fizikal dan emosi mereka, kata pakar.
Justeru, pakar dan penyedia khidmat mengggesa lebih banyak sokongan diberi kepada warga emas yang hidup sebatang kara, serta mengatasi prasangka terhadap golongan tersebut.
Ini memerlukan perubahan dalam pemikiran masyarakat, iaitu menghargai empati berbanding penghakiman, penglibatan dan pengasingan.
Pakar geriatrik, Dr Nur Farhan Alami, berkata dengan lebih ramai warga emas hidup bersendirian, risiko pengasingan sosial menjadi semakin ketara.
“Bagi warga emas yang tinggal bersendirian, kesedaran untuk menjaga kesihatan diri adalah kunci, kerana tanpa sokongan harian, mereka lebih terdedah kepada risiko,” kata Dr Nur Farhan kepada Berita Minggu.
“Mereka juga perlu lebih peka terhadap keselamatan diri, seperti memastikan pengambilan ubat secara teratur dan menghubungi rakan atau jiran untuk sokongan berterusan,” tambah beliau.
Pada 2023, statistik penduduk Singapura berusia 65 tahun dan ke atas ialah 17.3 peratus dan dijangka meningkat menjelang 2030.
Menjelang 2030, satu daripada empat warga dijangka berumur 65 tahun ke atas.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah negara dianggap sangat menua apabila 21 peratus penduduknya berumur 65 tahun ke atas.
Menurut Jabatan Perangkaan (Singstat) pada September 2024, jumlah warga tua berusia 65 tahun ke atas yang tinggal bersendirian mencecah sekitar 78,000.
Dianggarkan sekitar 122,000 warga emas akan tinggal bersendirian menjelang 2030, iaitu hampir 60 peratus lebih tinggi daripada perangkaan 2023.
Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan khidmat jagaan warga emas, Lions Befrienders, adalah antara badan perkhidmatan yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menyokong warga emas yang tinggal bersendirian di Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AIC, Encik Dinesh Vasu Dash, menegaskan kepentingan menangani cabaran masyarakat sangat menua: “Masyarakat yang semakin menua ini akan memberi tekanan yang besar terhadap ekonomi dan masyarakat negara.”
Pengarah eksekutif Lions Befrienders, Cik Karen Wee, menjelaskan betapa pentingnya sokongan terhadap warga emas yang tinggal bersendirian.
“Kita perlu memahami situasi individu tersebut. Adakah mereka terpinggir dan keseorangan kerana kekangan fizikal, masalah memori ataupun mungkin kerana tidak selesa tinggal bersama orang lain.
“Sokongan yang diberikan harus mengutamakan sokongan yang disesuaikan bagi mereka,” jelas Cik Wee.
Beliau berkata setiap kisah warga emas unik dan dengan memahami sebab-sebab mereka terasing penting dalam mencipta struktur sokongan yang berkesan.
Pengasingan sering kali bertambah teruk dengan prasangka negatif masyarakat, kata Cik Wee sambil menekankan pentingnya empati berbanding penghakiman.
“Rasa bersalah yang dirasakan seseorang, serta penghakiman yang mereka terima daripada masyarakat, sering kali lebih membebankan daripada kesilapan itu sendiri. Apabila kita menghukum mereka, kita dengan tidak sengaja menolak mereka lebih jauh ke arah pengasingan,” ujarnya.
Stigma ini mengakibatkan kesunyian, menyebabkan warga emas berasa terpinggir dan tidak dihargai.
Lantas, memenuhi keperluan warga emas yang terpinggir – sama ada disebabkan kekangan fizikal, isu kesihatan mental, atau kekurangan hubungan sosial – perlukan pendekatan yang menyeluruh, kata pakar.
Dalam masyarakat yang berperikemanusiaan, Cik Wee menggesa agar masyarakat berhenti menghukum dan mula menerima satu sama lain, tanpa memberi tumpuan pada bebanan yang ditanggung seseorang.
Menggalakkan penglibatan masyarakat adalah kunci untuk memberikan warga emas rasa hidup bertujuan.
Bagi ramai warga emas, penglibatan masyarakat membawa jalinan persahabatan dan makna dalam hidup mereka.
Pakar geriatrik, Dr Nur Farhan Alami, berkata apabila ada orang datang melawat atau membuat kawan, warga emas berasa kurang terpinggir dan kehadiran ini meningkatkan kesihatan mental mereka.
“Interaksi secara berkala bukan sahaja mengurangkan kesunyian, malah mengurangkan risiko kemurungan dan kegelisahan,” kata beliau.
Sependapat, Cik Wee menekankan keperluan kesedaran dalam masyarakat mendampingi warga emas yang tinggal bersendirian.
“Ia bukan sekadar menyediakan khidmat tetapi kita juga harus mengenali mereka. Sama ada anda jiran atau pemilik kedai, kita boleh cuba melayan mereka dengan ramah, bukan sekadar interaksi dengan pelanggan.”
Dengan membina jaringan sokongan antara jiran, rakan, dan perniagaan tempatan, warga emas yang terpinggir boleh berasa hubungan kemanusiaan yang sangat diperlukan.
Antara lain, melibatkan warga emas dalam aktiviti yang memberi makna, dan rutin harian yang dapat meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal mereka.
“Melibatkan diri dalam aktiviti atau mengikuti rutin harian dapat membaiki mood mereka dan memberi mereka rasa hidup bertujuan, membantu mereka mengekalkan pandangan positif,” kata Dr Nur Farhan.
Ini merujuk kepada kegiatan seperti berkebun, membaca, atau memberi bimbingan kepada orang lain memberikan struktur, tujuan, dan rangsangan mental yang kritikal bagi menjaga kesihatan kognitif.
Selain itu, Cik Wee mengatakan bahawa ramai warga emas mempunyai pengalaman hidup yang luas dan kemahiran yang boleh dikongsi dengan orang lain.
“Menjadi sukarelawan atau mentor dalam masyarakat boleh memberi peluang kepada warga emas menyampaikan ilmu, memberi panduan dan meninggalkan kesan yang berkekalan,” jelas beliau.
Dengan menghargai sumbangan warga emas, masyarakat dapat mewujudkan rasa tujuan dalam hidup mereka, sambil memupuk sokongan antara generasi.
Sebagai sebahagian daripada misinya, AIC bekerjasama dengan pelbagai kementerian melalui program Age Well SG, yang bertujuan membantu warga emas menikmati kehidupan di rumah dan dalam masyarakat.
Encik Dinesh menyatakan bahawa peranan AIC adalah untuk menggalakkan dan membolehkan warga emas kekal aktif, membina hubungan sosial yang baik, dan menikmati kehidupan yang bermakna.
“Ini dilakukan melalui menyediakan peluang untuk mereka berhubung dan menyumbang kepada masyarakat mereka,” kata beliau.
Pengembangan pusat penuaan aktif (AAC) dan inisiatif seperti lawatan dari rumah ke rumah oleh Duta Generasi Warga Emas adalah cara penting dalam membina hubungan sosial bagi warga emas, tambah Encik Dinesh.
Namun, pilihan perumahan yang mampu milik dan mudah diakses untuk warga emas juga penting untuk penuaan yang berdikari dan tenang.
Dr Nur Farhan menyarankan agar pembangunan perumahan mampu milik khusus untuk warga emas berdekatan dengan kemudahan dan penjagaan kesihatan.
“Ini akan membantu mereka hidup berdikari dalam persekitaran yang lengkap dan menyokong.
“Mewujudkan persekitaran dengan warga emas dapat kekal aktif, baik dari segi fizikal dan sosial, akan membolehkan mereka mengekalkan rasa berdikari sambil mengurangkan rasa pengasingan,” kata Dr Nur Farhan.
“
“Kita perlu memahami situasi individu tersebut. Adakah mereka terpinggir dan keseorangan kerana kekangan fizikal, masalah memori ataupun mungkin kerana tidak selesa tinggal bersama orang lain. Sokongan yang diberikan harus mengutamakan sokongan yang disesuaikan bagi mereka.”“
“Melibatkan diri dalam aktiviti atau mengikuti rutin harian dapat membaiki mood mereka dan memberi mereka rasa hidup bertujuan, membantu mereka mengekalkan pandangan positif.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg