Tahun 2025 menyaksikan platform media sosial Berita Harian (BH) terus menjadi wadah yang menampilkan naratif segar, bertenaga dan menyentuh hal-hal masyarakat Melayu/Islam di Singapura.
Sepanjang tahun, kandungan digital BH penuh dengan liputan antarabangsa, politik tempatan, hiburan dan gaya hidup seperti sajian juadah tempatan dan destinasi impian.
Setiap sorotan yang dihasilkan bukan sekadar tontonan, tetapi menjadi ruang dialog, refleksi dan kefahaman tentang siapa kita dalam isu nasional dan sejagat yang lebih besar.
Turut dijadikan bahan tontonan ialah kisah-kisah yang dekat dengan hati masyarakat.
Dalam mengisi kandungan yang bersifat sejagat, BH telah banyak melakukan liputan lintas sempadan.
Antara liputan yang dilakukan termasuk penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) di Johor Bahru.
Dalam video tersebut, Koresponden, Encik Anwar Saleh, telah membuat laporan khas tentang isu tersebut dan menunjukkan proses imigresen di Johor Bahru.
Melalui video yang membentangkan proses ini, ia memberi peluang kepada BH untuk menyampaikan laporan yang mencerminkan peningkatan minat masyarakat terhadap isu mobiliti merentasi negara, serta dasar rentas sempadan.
Ini juga menjelaskan bagaimana ia mungkin menjejas kehidupan mereka yang berulang-alik antara Singapura dan Malaysia setiap hari.
Satu lagi liputan dengan sorotan isu sejagat adalah siri dialog ‘Gaza: Dari Lensa Kita’ yang dianjurkan BH bersama Lianhe Zaobao.
Siri tersebut telah membuka ruang wacana mengenai empati, perikemanusiaan dan kepelbagaian pandangan warga Singapura dalam isu konflik antarabangsa.
Melalui sorotan antarabangsa seperti ini, ia membuktikan keupayaan BH untuk terus menyampaikan isu dunia kepada masyarakat kita yang kian peka tentang perihal sejagat.
Dikeluarkan dua tahun setelah konflik Palestin-Israel bermula, siri dialog yang diterbitkan itu telah menawarkan ruang perbincangan merentasi kaum, bahasa dan latar belakang di Singapura.
Perbincangan tersebut tidak berhenti saja dalam siri dialog itu, namun menjemput perbincangan di ruang dalam talian mengenai realiti geopolitik, kemanusiaan dan kepekaan terhadap agama daripada pelbagai perspektif.
Siri tersebut juga membuktikan bahwa wadah berita yang kami ada memainkan peranan penting sebagai menjadi ruang selamat untuk ramai berkongsi pandangan yang menyeluruh.
Di dalam negeri pula, liputan tentang politik juga memuncak pada pertengahan tahun dengan fokus kepada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Buat kali pertama, BH telah menyiarkan analisis secara langsung, serta temu bual eksklusif bersama tokoh-tokoh politik.
Misalnya, sepanjang GE2025, kami telah menerbitkan siri yang memperkenalkan Anggota Parlimen (AP) Melayu di Singapura.
Antara mereka yang ditampilkan termasuk AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin; AP GRC Jurong East-Bukit Batok, Cik Rahayu Mahzam; dan AP GRC Tampines, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Kami juga telah mewawancara mantan AP GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, dari Parti Pekerja (WP).
Siri tersebut bersama siaran langsung yang diadakan sepanjang tempoh GE2025 mencerminkan komitmen BH sebagai media arus perdana yang menyampaikan maklumat tepat, seimbang dan terkini sepanjang tempoh Pilihan Raya.
Selain hal politik, wadah media sosial turut mengetengahkan beberapa individu istimewa dalam masyarakat kita.
Daripada peniaga kecil seperti Maggie Kedai Runcit dan kisah ibu melahirkan anak di rumah, hingga nenek 70 tahun yang bersenam sambil mengangkat besi, mereka menjadi contoh individu yang mengingatkan kita tentang keberanian, ketabahan dan aspirasi yang wujud dalam pelbagai lapisan masyarakat.
Wadah media sosial BH turut mengeluarkan video-video yang menarik perhatian ramai dalam kandungan gaya hidup sejajar dengan ruangan yang menjadi tumpuan akhbar ini, iaitu Dunia Anak (DNA), Kaki Jalan serta Kaki Makan.
Melalui video-video yang dikeluarkan ini, ramai yang tertarik kepada video yang berkongsi panduan menyiapkan bekal anak ke sekolah, kegiatan keluarga, ekspedisi alam, serta cadangan tempat makan menarik untuk dicuba.
Populariti kandungan gaya hidup di ruang media sosial BH menunjukkan bahawa pembaca dan penonton mencari keseimbangan antara isu berat dengan santai melalui platform kami.
Melalui kandungan yang diterbitkan seperti ini, kami dapat menyampaikan kandungan informasi yang ringkas dan ringan seperti panduan, kegiatan yang memberi inspirasi serta cadangan destinasi untuk percutian pembaca dalam masa akan datang.
Kita berpeluang untuk mendidik serta menghiburkan pembaca kami melalui wadah yang berlainan.
Secara keseluruhannya, ruang alternatif di media sosial seperti Instagram, TikTok, Facebook dan YouTube menunjukkan bahawa masyarakat Melayu/Islam di Singapura kini lebih kritikal, peka dan teliti dalam menilai sumber berita.
Mereka bukan hanya ingin tahu mengapa sesuatu berlaku tetapi ingin memahami implikasinya terhadap masyarakat.
Media sosial di BH kini menjadi, ruang bagi ramai untuk berbincang dan berkongsi pendapat tentang berita yang dilaporkan.
Pada masa akan datang, kami berharap dapat terus menjadi wadah yang mengetengahkan suara masyarakat serta jadi jambatan yang menyatukan segenap lapisan masyarakat, tidak kira mereka membawa kisah kecil atau kejayaan besar bersama mereka untuk dikongsi kepada ramai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg