Sesi dialog harus menyediakan ruang yang berani, bukan sekadar ruang selamat, yang membolehkan peserta menyuarakan pendapat dan mengemukakan soalan mereka dengan hormat, kata Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Menurut beliau, hal ini bukan hanya tertakluk kepada konflik di Gaza sahaja, bahkan kepada isu lain yang timbul dan paling dekat dengan hati.
“Sebenarnya saya tidak suka istilah ‘ruang selamat’. Saya rasa kita perlu mempunyai ruang berani di mana anda boleh menyuarakan pendapat dan mengemukakan soalan dengan hormat, dan memastikan anda memahami satu sama lain.
“Jika anda membiarkan perkara ini untuk ditangani dalam cara ‘selamat’, maka ia akan semakin terpendam, ketakutan akan bertambah dan rasa kesangsian akan timbul seiring,” kongsi beliau, yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026.
Encik Zhulkarnain berkongsi demikian semasa sesi tayangan dan dialog, Gaza: Dari Lensa Kita, hasil kerjasama akhbar Berita Harian (BH) dan Lianhe Zaobao (ZB), yang diadakan di bilik berita BH pada 16 Oktober.
Sesi tersebut, yang menghimpunkan seramai 38 orang, memberi ruang untuk merenung konflik di Gaza dan bertukar pandangan mengenai pendekatan Singapura terhadap konflik tersebut.
Sesi tersebut dibuka dengan tayangan video selama 20 minit yang menampilkan enam rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang berkongsi pandangan mereka mengenai Gaza, serta kesan terhadap masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.
Rakaman video tersebut boleh ditonton di laman web BH dan menerusi akaun YouTube rasmi.
Menyentuh tentang usaha dialog tersebut, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar berkata, isu Gaza adalah isu kemanusiaan sejagat, melangkaui batas bahasa, kaum, dan sempadan.
“Melalui kolaborasi ‘Gaza: Dari Lensa Kita’ ini, BH dan ZB berusaha menjadi jambatan pada perbezaan tersebut.
“Ini disampaikan bukan hanya menerusi kandungan video dan laporan berita, malah menerusi sebuah dialog yang menyatukan belia dari kededua masyarakat Melayu/Islam dan Cina, dengan tujuan menyediakan ruang selamat untuk mengadakan perbincangan, meskipun adakalanya kita berbeza pendapat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Encik Zhulkarnain berkata dialog sebegini berperanan sebagai “tindakan sivik” yang menggalakkan rakyat Singapura agar mendengar, memahami perspektif berbeza, dan merapatkan jurang budaya melalui empati dan rasa hormat.
Mentelah lagi, ia memberi peluang kepada golongan yang selama ini terlalu takut untuk bersuara agar meluahkan pandangan mereka, dan pada masa yang sama saling mendengar perspektif berlainan.
“Secara utamanya, ini merupakan cara baru untuk kami berinteraksi, bereskperimen dalam dialog bagi merapatkan jurang geografi dan budaya.
“Kerjasama antara BH dengan ZB ini lebih daripada sekadar kerjasama media. Ia sebenarnya merupakan tindakan sivik.
“Jika anda melakukannya dengan betul, jika anda benar-benar melibatkan semua orang yang terlalu takut untuk bersuara... anda akan tahu bahawa mereka memang wujud.
“Demi kebaikan Singapura, masyarakat kita, kita perlu menghasilkan idea bernas dan mencari cara untuk menyatukan orang ramai… kita memerlukan pembina hubungan,” jelas beliau.
Sehubungan dengan isu konflik di Gaza, Encik Zhulkarnain bertanya tentang daya maju pelan damai Gaza bagi mencapai penyelesaian dua negara – Palestin dan Israel – semasa sidang Parlimen pada 15 Oktober.
Ditanya BH mengenai soalan yang dikemukakannya itu, beliau berkata ia usahanya untuk mengetengahkan keprihatinan seluruh masyarakat Singapura terhadap isu kemanusiaan di Gaza.
Tambahnya, pelan damai yang dimeterai itu masih belum menghuraikan isu tentang kewarganegaraan Palestin dan pentadbiran di Gaza.
“Dengan saya berkongsi pendapat dan mengemukakan soalan tersebut di Parlimen, para peserta dialog memahami dan mereka memberikan saya rangsangan bahawa inilah yang mereka rasakan dan disuarakan mereka.
“Dengan saya mengajukan soalan tersebut, mereka terasa lebih terangsang untuk melakukan sesuatu demi kemanusiaan, demi perundangan antarabangsa, demi kedamaian semua untuk kepentingan Singapura,” jelas beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg