Dalam perjalanan menaiki bas, kedengaran perbualan yang jarang saya dengari.
“Ngah, nanti belikan roti di pasar raya ya,” ujar seorang lelaki dalam lingkungan 20-an tahun di telefon bimbitnya.
Beliau meneruskan perbualan tersebut dengan memanggil dirinya sebagai ‘Long’ dan barangkali adiknya sebagai ‘Ngah’.
Perbualan mereka itu mengejutkan saya, kerana panggilan tersebut sudah jarang didengari di sini, apatah lagi antara anak muda.
Persoalan kemudian timbul di benak fikiran saya, adakah panggilan ini masih lagi relevan pada masa sekarang?
Bagaimana kita boleh memastikan warisan ini tidak lenyap ditelan zaman?
Bahasa ialah warisan budaya. Tanpanya, identiti kita bakal lenyap.
Sapaan dalam masyarakat Melayu telah berubah mengikut peredaran masa.
Dahulu, panggilan seperti ‘Pak Long, Pak Ngah, Pak Busu’ sering kedengaran.
Kini, panggilan yang lebih umum seperti ‘Cik’ lebih banyak digunakan. Malah, ramai anak muda lebih cenderung memanggil ‘Uncle’ dan ‘Auntie’.
Walau maknanya masih membawa rasa hormat, kita mungkin terlepas peluang untuk menghayati inti pati sapaan tradisional.
Dengan musim kunjung-mengunjung kini, ini adalah masa yang sesuai untuk kita merenung bagaimana bentuk sapaan telah berubah dalam masyarakat kita.
Di Singapura, masyarakat Melayu terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang pelbagai, termasuk Melayu Johor-Riau, Jawa, Bugis, Bawean, dan Banjar.
Setiap kelompok ini bukan sahaja mempunyai dialek, adat, dan tradisi yang berbeza, malah sapaan khas yang mencerminkan identiti serta budaya mereka.
Antaranya, panggilan untuk datuk berbeza mengikut etnik – orang Melayu Johor-Riau memanggilnya ‘Tok’, Bugis menyebutnya ‘Aji Botting’, Jawa dengan ‘Yai’, Bawean sebagai ‘Atok’, dan Banjar sebagai ‘Kai’.
Dalam etnik Melayu Johor-Riau, setiap adik-beradik juga mempunyai panggilan khusus.
Dalam perbualan saya bersama Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim, beliau berkata sapaan ini menunjukkan tanda hormat serta mengenali hierarki keluarga.
Namun, panggilan yang lebih umum pada zaman sekarang tidak mampu membezakan tahap senioriti, katanya.
Panggilan adik-beradik bagi etnik Melayu Johor-Riau tradisional mengikut urutan, bermula daripada Long, Ngah, Uda, sehingga Busu.
Beliau menambah sapaan ini juga merupakan cara mengenali setiap ahli keluarga dengan lebih akrab kerana setiap daripada mereka mempunyai tempat dan kedudukan tersendiri.
Hal itu turut dipersetujui pengasas Bugis Temasek, Encik Sarafian Salleh, yang menambah sapaan ini mampu mengekalkan warisan budaya, memperkukuh rasa hormat, dan membezakan kedudukan sosial.
Menurutnya, penggunaan sapaan yang tepat menunjukkan kesopanan dan penghormatan, selari dengan nilai Melayu yang menitikberatkan budi bahasa dan adab.
Lantas, untuk mengekalkan warisan sapaan ini, saya percaya ia boleh dipelihara melalui pelbagai usaha, antaranya, penggunaan dalam keluarga, pendidikan di sekolah serta media sosial.
Keluarga memainkan peranan utama untuk memupuk sapaan ini dalam komunikasi harian mereka.
Jika anak muda tidak terdedah kepada sapaan tersebut dari usia kecil, mereka akan kurang memahami kepentingannya.
Menurut Penasihat untuk Persatuan Bawean Singapura, Encik Morni Sulaiman, dialek Bawean jarang digunakan di rumah.
Namun, ia hanya digunakan apabila dua individu Bawean bertemu, sambil menambah masyarakat Bawean di Singapura merangkumi sekitar 20 peratus daripada penduduk Melayu di Singapura.
Sekolah dan organisasi budaya juga boleh mengadakan program khas untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bahasa dan adat warisan.
Media sosial turut boleh dijadikan wadah mempromosikan penggunaannya.
Kandungan dalam bentuk video, artikel, atau catatan yang memperkenalkan sapaan tradisional boleh menarik perhatian golongan muda.
Sapaan tradisional bukan sekadar sebutan dan soal bahasa, malah, sebahagian daripada identiti dan warisan kita.
Pemeliharaannya mampu mengekalkan jati diri dan identiti sebuah kaum.
Dengan memahami dan mengamalkan sapaan warisan ini, kita bukan sahaja menghormati nenek moyang kita, bahkan juga memastikan warisan budaya ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg