KUALA LUMPUR: Oxford English Dictionary (OED) sekali lagi mengiktiraf pengaruh bahasa Malaysia dan Singapura dengan kemasukan beberapa perkataan baru dalam kemas kini terbarunya.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Oxford University Press, salah satu penambahan menarik ialah perkataan ‘alamak’, iaitu interjeksi (kata seru) popular yang digunakan untuk menyatakan kejutan, kekecewaan atau rasa terkejut.
Perkataan itu berasal daripada bahasa Melayu dan dipercayai ada kaitan dengan istilah Arab seperti ‘ala’ (bermaksud ‘tertinggi’) atau Allah, serta mungkin dipengaruhi frasa Portugis seperti Mãe de Deus (Mother of God).
Selain itu, beberapa istilah makanan tempatan turut mendapat tempat dalam OED. Antaranya, ketupat (1886), otak-otak (1929), nasi lemak (1935) dan kaya toast, atau roti bakar kaya (1989).
Semua hidangan itu terkenal di Malaysia, Singapura dan rantau Asia Tenggara.
Uniknya, ada juga nama makanan yang diInggeriskan, seperti fish head curry (kari kepala ikan – 1972) dan steamboat (makanan yang direbus dan dipanggang – 1960).
Budaya Malaysia turut diwakili oleh istilah seperti ‘mat rempit’ (2004), yang merujuk kepada pelumba motosikal haram dan sering melakukan aksi berbahaya.
Sementara itu, perkataan ‘tapau’ (1997), yang bermaksud ‘bungkus makanan untuk dibawa pulang’, juga kini diiktiraf secara rasmi dalam bahasa Inggeris.
Satu lagi perkataan menarik ialah terror, yang dalam konteks bahasa Inggeris Malaysia dan Singapura boleh bermaksud hebat atau cemerlang.
Dengan penambahan itu, jelas bahawa bahasa tempatan khususnya di Malaysia dan Singapura terus memberi impak global.
Sebelum ini sejak beberapa tahun lalu, banyak perkataan dan istilah daripada bahasa Melayu yang popular digunakan di Malaysia dan Singapura telah dimasukkan ke dalam OED. Antaranya perkataan lepak, mamak, aiyah, aiyoh, ang pow, kopitiam, bodoh dan balut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg