Pertubuhan bukan pemerintah (NGO) tempatan, Love Aid Singapore (LAS), tidak akan meneruskan cadangan kerjasamanya dengan pertubuhan kesihatan Palestin, Hospital Al-Awda, bagi mengendalikan Poliklinik Love Singapore di Gaza.

Pengasas LAS, Encik Gilbert Goh, dalam satu kenyataan pada 23 September berkata, keputusan itu diambil susulan kebimbangan mengenai dakwaan pertalian politik yang dikaitkan dengan organisasi kesihatan Palestin tersebut.

“Berdasarkan kebimbangan yang telah ditimbulkan kini, pasukan Gaza kami tidak akan meneruskan cadangan kerjasama dengan Al-Awda.

“Kami ingin mengelakkan sebarang kekaburan mengenai kebebasan, sifat berkecuali, dan tujuan kemanusiaan operasi LAS,” kata Encik Goh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan LAS.

Menurut Encik Goh, sejak penubuhannya, Poliklinik Love Singapore telah diuruskan oleh pasukan yang dipilih secara langsung oleh LAS dan beroperasi secara bebas selama hampir setahun.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza kemudian meminta agar klinik tersebut beroperasi melalui satu aturan perkongsian.

Selepas menolak kerjasama langsung dengan kementerian tersebut, LAS telah dinasihatkan untuk bekerja melalui pertubuhan kesihatan Palestin yang berdaftar di peringkat tempatan.

Hospital Al-Awda kemudiannya disyorkan sebagai salah satu organisasi penjagaan kesihatan yang mapan dengan kapasiti operasi yang besar di Gaza.

Meskipun LAS dan Hospital Al-Awda sama-sama menganggotai Kelompok Kesihatan Gaza yang diselaraskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Encik Goh menjelaskan bahawa kumpulannya tidak berada dalam kedudukan untuk mengesahkan secara bebas mengenai dakwaan pertalian politik Al-Awda.

Beliau menambah bahawa LAS sentiasa beroperasi berlandaskan prinsip kemanusiaan antarabangsa, termasuk ketelusan, kesaksamaan, dan kebebasan daripada semua pihak yang berkonflik.

Pasukan LAS kini akan meneroka pengaturan alternatif bagi membolehkan Poliklinik Love Singapore dibuka semula di bawah struktur yang sesuai dan mematuhi peraturan, tambahnya.

“Keutamaan kami kekal untuk LAS mengekalkan kepimpinan dan pengawasan langsung ke atas klinik tersebut.

“Walaupun terdapat cabaran operasi yang besar di Gaza, ini adalah kemudahan perubatan penting dengan kapasiti besar untuk berkhidmat kepada penduduk tempatan, dan ia membawa nama Singapura.

“Oleh itu, kami mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kerja kemanusiaannya kekal jelas bebas, bertanggungjawab dan tertumpu semata-mata untuk berkhidmat kepada orang awam,” kata Encik Goh.

Ini selepas beliau mengadakan pertemuan bersama Pejabat Pesuruhjaya Pertubuhan-Pertubuhan Amal (COC) pada 21 September untuk membincangkan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Encik Goh.

Antara lain, pertemuan itu turut menyentuh hasrat Love Aid Singapore untuk menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Hospital Al-Awda yang terletak di Jaluran Gaza.

Pejabat Pesuruhjaya Pertubuhan-Pertubuhan Amal (COC) menjelaskan bahawa keputusan memeterai MOU tersebut adalah hak Love Aid Singapore sendiri, namun menggesa badan itu supaya melaksanakan proses penilaian yang wajar ke atas rakan kerjasamanya.

“Penguasa Palestin (PA) telah memaklumkan bahawa Al-Awda tidak bersekutu dengan PA, dan pihak PA tidak mempunyai sebarang peranan dalam pengurusan hospital berkenaan,” ujar kenyataan bersama itu.

Dalam pertemuan itu, Encik Goh juga telah memohon sokongan rasmi daripada MFA bagi membolehkan pertubuhannya untuk mendaftar sebagai NGO di Gaza.

Dalam kenyataan bersamanya, MFA, MHA dan MCCY menjelaskan bahawa badan-badan yang ingin menjalankan operasi kemanusiaan di Tebing Barat dan Gaza tidak memerlukan sebarang pengesahan daripada pemerintah Singapura untuk tujuan pendaftaran tersebut.

Namun, mereka tetap perlu mendaftar dengan Kementerian Dalam Negeri PA.