Badan-badan yang ingin menjalankan operasi kemanusiaan di Tebing Barat dan Gaza perlu mendaftar dengan Kementerian Dalam Negeri Penguasa Palestin (PA), dan tidak memerlukan sebarang pengesahan daripada pemerintah Singapura untuk tujuan pendaftaran tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan bersama pada 22 September.

Penjelasan itu dibuat susulan pertemuan pengasas Love Aid Singapore, Encik Gilbert Goh, bersama Pejabat Pesuruhjaya Pertubuhan-Pertubuhan Amal (COC) pada 21 September untuk membincangkan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Encik Goh.

Dalam pertemuan itu, antara lain, Encik Goh telah memohon sokongan rasmi daripada MFA bagi membolehkan pertubuhannya untuk mendaftar sebagai Pertubuhan Bukan Pemerintah (NGO) di Gaza.

“MFA telah mendapatkan penjelasan daripada PA yang memaklumkan bahawa organisasi yang menjalankan operasi kemanusiaan di Tebing Barat dan Gaza perlu mendaftar dengan Kementerian Dalam Negeri PA.

“PA selanjutnya menasihatkan bahawa organisasi sedemikian tidak perlu mendapatkan pengesahan daripada pemerintah masing-masing bagi tujuan pendaftaran,” kata jurucakap MFA, MHA dan COC.

Selain isu pendaftaran, pertemuan itu turut menyentuh hasrat Love Aid Singapore untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Hospital Al-Awda (AAH) yang terletak di Jaluran Gaza.

Pihak COC menjelaskan bahawa keputusan memeterai MOU tersebut adalah hak Love Aid Singapore sendiri, namun menggesa badan itu supaya melaksanakan proses penilaian yang wajar ke atas rakan kerjasamanya.

“PA telah memaklumkan bahawa AAH tidak bersekutu dengan PA, dan pihak PA tidak mempunyai sebarang peranan dalam pengurusan hospital berkenaan,” ujar kenyataan bersama itu.

Dalam pada itu, pemerintah Singapura turut menggalak rakyat Singapura agar terus menyokong usaha kemanusiaan bagi Gaza melalui saluran yang berwibawa, tambah kenyataan bersama itu.

Ia termasuk menerusi badan seperti PA, Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Program Makanan Sedunia (WFP), Palang Merah Singapura (SRC) dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 23 September, Encik Goh berkata pertemuannya dengan COC berlangsung “dalam suasana mesra dan rasmi seperti biasa” seperti pertemuan mereka secara kerap sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun demikian, beliau mendakwa maklumat yang diperolehnya secara peribadi sewaktu kunjungannya ke Kementerian Ehwal Dalam Negeri di Ramallah dan pertemuannya dengan Duta Palestin di Jakarta tiga bulan lalu adalah berbeza.

“Memandangkan kebimbangan yang telah dibangkitkan, pasukan kami di Gaza tidak akan meneruskan cadangan kerjasama dengan AAH,” kata Encik Goh dalam satu kenyataan.

“Kami ingin mengelakkan sebarang kekaburan mengenai aspek kebebasan, keberkecualian, dan tujuan kemanusiaan operasi Love Aid Singapore.

“Oleh itu, kami akan meneliti aturan alternatif yang membolehkan Klinik Poliklinik Singapore Love dibuka semula di bawah struktur yang sesuai, telus, dan mematuhi peraturan,” jelas beliau.

Encik Goh berkata beliau kekal berpendirian bahawa Love Aid Singapore wajar mengekalkan kepimpinan dan pengawasan secara langsung terhadap klinik tersebut.

Walaupun menghadapi cabaran operasi yang hebat di Gaza, beliau berkata klinik itu merupakan kemudahan perubatan penting yang mempunyai kapasiti besar untuk berkhidmat kepada penduduk tempatan.

“Oleh itu, kami memikul tanggungjawab untuk memastikan usaha kemanusiaannya kekal benar-benar bebas, mempunyai akauntabiliti, dan tertumpu sepenuhnya kepada usaha membantu orang awam,” tambahnya.