Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA anugerah kontrak $530j bagi stesen Turf City Laluan Rentas Pulau

Pembinaan stesen bawah tanah akan dimula suku ketiga 2024, perkhidmatan penumpang bermula 2032
May 27, 2024 | 8:46 PM
Perkhidmatan penumpang di stesen MRT Turf City di Laluan Rentas Pulau dijangka dimulakan pada 2032.
Perkhidmatan penumpang di stesen MRT Turf City di Laluan Rentas Pulau dijangka dimulakan pada 2032. - Foto LTA

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menganugerahkan kontrak bernilai $530 juta bagi reka bentuk dan pembinaan stesen MRT Turf City di Bukit Timah di bawah Fasa 2 Laluan Rentas Pulau (CRL).

Kontrak itu diberikan kepada usaha sama antara Shanghai Tunnel Engineering Co (Singapore) dan Obayashi Corporation, kata LTA dalam satu kenyataan pada 27 Mei.

Pembinaan stesen bawah tanah itu, yang akan terletak di Turf Club Road, akan dimulakan pada suku ketiga 2024, dengan perkhidmatan penumpang akan dimulakan pada 2032.

Apabila stesen itu sudah siap, perjalanan ulang-alik antara Turf City dengan Pasir Ris Central akan mengambil masa hanya 35 minit menaiki CRL, bukannya satu jam perjalanan melalui laluan Downtown (DTL) dan Timur-Barat (EWL).

Perjalanan ke Daerah Tasik Jurong dari Turf City akan mengambil masa 20 minit dan bukannya 40 minit dengan menaiki bas dan perjalanan MRT di EWL.

LTA berkata usaha sama dan kededua syarikat itu secara individu mempunyai rekod baik dalam projek rel setempat.

Usaha sama itu sebelum ini telah dianugerahkan kontrak bagi terowong antara Fairways Drive dan Sin Ming Walk di bawah CRL Fasa 2 pada Disember 2022, lapor The Straits Times (ST).

Shanghai Tunnel Engineering juga kini hampir menyiapkan stesen Katong Park dan Bayshore di Laluan Thomson-East Coast (TEL), setelah menyiapkan stesen TEL Shenton Way pada November 2022, kata LTA.

Obayashi Corporation sebelum ini membina stesen Dhoby Ghaut di Laluan Timur Laut (NEL), tambah LTA.

Pada 23 Mei, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, melancarkan rancangan untuk Turf City di Bukit Timah, mengumumkan pembinaan unit perumahan awam pertama di Bukit Timah dalam 40 tahun.

Estet yang akan datang termasuk rancangan membangunkan 15,000 hingga 20,000 rumah baru dalam dua atau tiga dekad akan datang.

Oleh kerana Turf City merupakan stesen bawah tanah, LTA berkata kerja-kerja pembinaan dijangka mencabar akibat daripada keadaan tanah yang berbeza di kawasan itu, terutama keadaan tanah yang lebih keras daripada pembentukan granit Bukit Timah, yang memerlukan teknik khusus untuk menjalankan penggalian dengan selamat.

Sebelum kerja-kerja penggalian dan pembinaan dimulakan, struktur penahan dan penstabilan tanah akan dipasang untuk memastikan keselamatan dan kestabilan tanah, kata LTA.

LTA sebelum ini menjalankan penilaian kesan alam sekitar untuk kerja-kerja berhampiran Hutan Eng Neo.

Penilaian itu menyeru kumpulan alam semula jadi supaya mengenal pasti flora dan fauna di persekitaran tapak tersebut dan untuk membangunkan langkah-langkah mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Salah satu langkahnya adalah pemasangan adangan di sepanjang jalan untuk menghalang haiwan daripada berkeliaran di jalan raya dan untuk membimbing mereka ke arah tompok hutan.

Satu lagi langkah yang akan dilaksanakan adalah pemasangan bonggol mengurangkan kelajuan dan papan tanda had laju di jalan masuk tapak pembinaan semasa pembinaan untuk mengingatkan pemandu supaya memperlahankan kenderaan dan berwaspada terhadap haiwan yang berkeliaran.

LTA berkata ia akan terus melibatkan kumpulan alam semula jadi dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan mereka dimaklumkan tentang kemajuan pembinaan dan langkah mitigasi, sebagai sebahagian rancangan pemantauan dan pengurusan alam sekitar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg