Seramai 14 pemandu ditangkap kerana menyediakan perkhidmatan e-hailing (menempah kenderaan secara dalam talian) rentas sempadan secara haram pada 25 Mei, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan), Cik Sun Xueling, dalam hantaran Facebook pada hari yang sama.

Tangkapan itu berlaku di pusat pemeriksaan darat Singapura, hasil operasi penguatkuasaan bersepadu dan tegas oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Cik Sun menulis: “Sepanjang beberapa minggu lalu, LTA telah menjalankan operasi di seluruh Singapura, di lokasi seperti Lapangan Terbang Changi dan Gardens by the Bay, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menjaga keselamatan penumpang dan melindungi mata pencarian pemandu tempatan daripada perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan haram.

“Sejak Julai 2025, lebih 3,900 kenderaan telah diperiksa dan 199 kenderaan dirampas.”

Dalam hantaran Facebook berasingan, LTA berkata ia bertindak berdasarkan maklumat daripada Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Teksi Nasional (NTA).

Semua kenderaan yang terlibat telah dirampas, tambahnya.

LTA menegaskan, pemandu yang didapati menawarkan perkhidmatan e-hailing haram berdepan hukuman berat – denda sehingga $3,000, penjara enam bulan dan kenderaan mereka mungkin dirampas.

Dalam meniti musim cuti sekolah yang semakin dekat, Cik Sun menyeru orang ramai agar mengutamakan keselamatan dengan hanya menggunakan penyedia pengangkutan rentas sempadan yang sah.

“Kami akan sentiasa bekerjasama rapat dengan rakan sejawat di Malaysia bagi memperhalusi dan memperlancar urusan perjalanan rentas sempadan,” tambahnya.

Tindakan penguatkuasaan itu muncul sejajar dengan penambahbaikan yang baru-baru ini dilaksanakan ke atas perkhidmatan teksi rentas sempadan Singapura-Malaysia.

Mulai 4 Mei, pengguna Grab di Singapura kini boleh menempah perjalanan rentas sempadan ke destinasi utama di Johor, termasuk Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai, dari mana-mana lokasi di Singapura, dengan tempahan seawal 12 jam.

Kemudahan diperluas dengan pengenalan tiga titik pengambilan khusus baru di setiap negara melalui aplikasi e-hailing, melengkapi terminal sedia ada di Terminal Ban San Street dan Terminal Larkin.