Pemerintah terus kumpul maklum balas bagi perkukuh khidmat teksi rentas sempadan
Pemerintah terus kumpul maklum balas bagi perkukuh khidmat teksi rentas sempadan
Pemerintah akan terus mendapatkan maklum balas dan saranan bagi menambah baik kemudahan serta kecekapan dalam mengatur perjalanan rentas sempadan bagi penumpang serta pemandu, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling.
Dalam satu hantaran di Instagram pada 9 Mac, beliau berkata pemerintah juga sedang mencapai kemajuan yang baik dalam perbincangan dengan rakan sejawat di Malaysia, dan berharap dapat berkongsi “berita baik mengenai penambahbaikan perkhidmatan rentas sempadan dapat dikongsi dalam masa terdekat”.
“Sepanjang hujung minggu lalu, saya mengadakan perbincangan yang membina dengan wakil daripada Persatuan Teksi Nasional (NTA) dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA).
“Mereka berkongsi maklum balas dan cadangan tentang bagaimana kita boleh menambah baik kemudahan dan kecekapan perjalanan rentas sempadan untuk penumpang dan pemandu, dan menerima baik pertambahan bekalan teksi rentas sempadan dari setiap negara.
“Kami akan terus dapatkan maklum balas daripada rakan tiga pihak, sedang kami berbincang dengan rakan sejawat bagi memperbaiki pilihan pengangkutan ini, serta memenuhi permintaan,” ujarnya.
Cik Sun berkata pihaknya sedar betapa pentingnya perjalanan rentas sempadan bagi kebanyakan pengguna – sama ada untuk bekerja, melawat keluarga atau beriadah.
“Kami komited untuk memastikan anda mempunyai pilihan perjalanan yang selamat sambil melindungi mata pencarian pemandu tempatan kami daripada perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan haram,” tambah Cik Sun.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang juga Penasihat NTA serta NPHVA, Cik Yeo Wan Ling, turut berkata melalui Facebooknya pada 9 Mac bahawa pihaknya rasa “gembira kerana maklum balas mereka telah didengar” semasa perbincangan tersebut.
Menurut beliau, NTA telah aktif berunding dengan pemandu dan pihak berkuasa untuk menguatkuasakan perkhidmatan rentas sempadan haram, memudahkan penumpang mengenal pasti teksi rentas sempadan yang sah, menyediakan ruang menunggu yang selamat, menyemak tambang, dan meluaskan peluang pendapatan pemandu.
“Walaupun butiran akan dikongsi oleh pihak berkuasa dalam masa terdekat, kami rasa senang kerana maklum balas kami telah didengari.
“NTA dan NPHVA akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) semasa penambahbaikan ini dilaksanakan, dengan tujuan untuk menambah baik operasi dan meluaskan peluang pendapatan untuk pemandu kami,” tambahnya.
Hantaran tersebut merupakan perkembangan susulan perbincangan beberapa bulan antara LTA dengan pihak berkuasa Malaysia.
Menurut Cik Sun, pada September 2025, pihaknya sedang berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia untuk mengemukakan cadangan bagi menambah lebih banyak lokasi naik dan turun penumpang, serta menggalakkan lebih banyak teksi dan pelbagai jenis kenderaan menyediakan perkhidmatan rentas sempadan yang sah.
Buat masa ini, hanya teksi berdaftar Singapura dibenarkan menghantar penumpang ke mana-mana destinasi di republik itu, manakala teksi Malaysia hanya dibenarkan menghantar penumpang dari Terminal Larkin ke hentian teksi Ban San Street di seberang Tambak Johor.
Menurut undang-undang sedia ada, mana-mana individu yang menawarkan perkhidmatan rentas sempadan tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL) yang sah boleh dikenakan denda sehingga $3,000 atau hukuman penjara sehingga enam bulan.
Pada Oktober 2025 pula, MOT dan LTA dilaporkan sedang dalam perbincangan dengan Malaysia untuk melonggarkan sekatan ke atas Skim Teksi Rentas Sempadan (CBTS).
Ia termasuk membenarkan teksi Malaysia untuk menurunkan penumpang di beberapa kawasan di Singapura, bukan sekadar di tempat yang ditetapkan.
Begitu juga dengan teksi Singapura yang juga dibenarkan melakukan perkara yang sama di Johor Bahru.

