Mod pengangkutan awam baharu – Bas Gerak Cepat (BRT) – kini sedang dikaji sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesambungan di Tuas South, umum Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.

Bercakap di Pusat Ujian Rel Singapura pada 31 Julai, Encik Siow, yang juga Menteri Kedua Kewangan, berkata sistem BRT mungkin dilaksanakan dalam bentuk bas berkapasiti tinggi atau trem tanpa landasan yang bergerak di laluan khas.

Sistem ini bakal diberi keutamaan di persimpangan lalu lintas, selain dilengkapi stesen yang direka bagi membolehkan penumpang naik dan turun dengan pantas.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata sistem ini akan menyediakan keterhubungan lebih pantas dan lebih andal bagi pekerja antara tempat kerja mereka dengan stesen-stesen MRT sedia ada dan akan datang.

Tuas South dipilih bagi kajian berkenaan kerana ia merupakan lokasi kepada pembangunan utama seperti Pelabuhan Tuas dan dijangka menyaksikan pembangunan lebih pesat.

Seiring dengan pertambahan perniagaan dan pekerjaan, bilangan penumpang dan permintaan perjalanan dijangka meningkat, kata LTA.

LTA menambah bahawa BRT boleh melengkapi perkhidmatan MRT dan bas konvensional dengan menyediakan pilihan pengangkutan berkapasiti sederhana.

Dengan beroperasi di laluan khas serta mendapat keutamaan di persimpangan lalu lintas, kenderaan BRT mampu bergerak lebih pantas dan andal berbanding bas konvensional, di samping membawa lebih ramai penumpang, terutamanya pada waktu sibuk.

Berbanding sistem MRT dan LRT, BRT memerlukan kurang prasarana khas serta menawarkan fleksibiliti lebih tinggi untuk membuat perubahan pada laluan. 

Ini menjadikannya penyelesaian berkemungkinan lebih cekap kos dan boleh diperluas bagi kawasan dengan kepadatan sederhana seperti Tuas South, kata LTA.

Prospek pelaksanaan sistem BRT di Singapura pernah dibangkitkan dalam Pelan Induk Pengangkutan Darat 2008.

Pelan tindakan itu menyatakan bahawa LTA akan mengkaji manfaat sistem sedemikian, sambil mengambil kira bahawa ia menggabungkan keandalan sistem gerak cepat dengan fleksibiliti yang ditawarkan bas.

Oleh kerana ia akan mengambil satu lorong secara kekal daripada kenderaan lain, kesannya terhadap trafik secara keseluruhan perlu dikaji dengan teliti, menurut pelan tersebut.

Sistem BRT secara umumnya terbahagi kepada dua kategori, iaitu BRT konvensional dan BRT seakan trem.

Sistem BRT seakan trem (tram-like BRT) di Yibin, China.
Sistem BRT seakan trem (tram-like BRT) di Yibin, China. - Foto LTA, SLA

Sistem konvensional menggunakan bas yang merangkumi bas tunggal, bas bersambung sendi dua bahagian dan tiga bahagian.

Sistem seakan-akan trem pula menggunakan kenderaan lebih panjang – kadangkala dilengkapi kabin pemandu di kedua-dua penghujung kenderaan – serta mungkin menyepadukan panduan maya dan sistem automasi.

Kedua-dua jenis sistem BRT ini lazimnya beroperasi di laluan khas dengan keutamaan di persimpangan lalu lintas.

Sistem ini juga boleh dilengkapi kemudahan pembayaran tambang di stesen serta platform rata dengan paras lantai kenderaan, bagi mempercepatkan proses naik bas dan mengurangkan masa menunggu di stesen.

LTA akan menilai pelbagai pilihan BRT untuk Tuas South, termasuk kos dan manfaatnya, serta mengkaji sama ada sistem tersebut sesuai bagi pelaksanaan jangka panjang. 

Butiran lanjut akan diumumkan apabila tersedia, kata LTA.

Encik Siow berkata pihak berkuasa akan memberi perkembangan terkini mengenai kajian BRT berkenaan “mungkin menjelang tahun depan”.

“Sekiranya sesuai dilaksanakan di Tuas, sistem BRT boleh menjadi mod pengangkutan yang mempunyai prospek baik dan jimat kos bagi kawasan lain di Singapura, (mengisi ruang) di antara perkhidmatan bas dengan kereta api,” kata Encik Siow.