Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerjalanan lebih pendek bagi 10,000 penumpang apabila tiga stesen Laluan Circle beroperasi 12 Jul
Perjalanan lebih pendek bagi 10,000 penumpang apabila tiga stesen Laluan Circle beroperasi 12 Jul
Pembukaan stesen Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road lengkapkan bulatan Laluan Circle, sekali gus buka ruang bagi perumahan dan komersial baharu
Perjalanan lebih pendek bagi 10,000 penumpang apabila tiga stesen Laluan Circle beroperasi 12 Jul
Lebih 10,000 penumpang boleh menjangkakan perjalanan kereta api yang lebih singkat apabila tiga stesen baharu Laluan Circle dibuka pada 12 Julai.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata pembukaan stesen Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road itu akan memberikan akses langsung kepada rangkaian MRT bagi para penduduk di kawasan sekitar.
Selain itu, ia juga membuka ruang bagi pembinaan perumahan, pekerjaan dan ruang masyarakat pada masa kelak.
“Manfaat sebenarnya ialah tiga stesen ini akan membuka lembaran baharu bagi bandar kita, termasuk Greater Southern Waterfront dan Teluk Marina,” kata Encik Siow.
Kawasan Greater Southern Waterfront yang diumumkan pada 2013 merentasi kawasan dari Pasir Panjang hingga ke Marina East.
Terdapat perancangan membina kawasan perumahan baru di situ, serta pelbagai pilihan komersial, riadah dan hiburan.
Menurut Encik Siow, tahap keenam Laluan Circle (CCL6) merupakan satu projek yang telah lama dirancang.
“Walaupun ia ada dalam lakaran asal beberapa tahun lalu, kami tidak memulakan projek CCL6 sehingga tanah yang diperlukan boleh didapatkan,” kata beliau.
Ini termasuk tapak Stesen Kereta Api Tanjong Pagar dan landasannya yang hanya dipulangkan kepada Singapura pada 2011, serta terminal pelabuhan di kawasan bandar, jelasnya.
Pemulangan tanah itu berlaku selepas perancangan untuk memindahkan terminal terbabit ke Tuas dimuktamadkan.
“Akhirnya hari ini, orang ramai boleh berhenti bertanya kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengapa Laluan Circle (yang bermakna bulatan) tidak berbentuk bulatan,” tambah Encik Siow, berseloroh.
Lebih 500,000 perjalanan telah dicatatkan di Laluan Circle, setiap hari biasa pada 2025.
Dengan lengkapnya laluan bulatan itu, keseluruhan rangkaiannya akan mempunyai 87 kereta api yang beroperasi, dengan lebih 70 daripadanya digunakan setiap hari.
Bermula 12 Julai, ia akan mengendalikan tiga perkhidmatan: ikut arah jam, lawan arah jam, dan perkhidmatan ulang-alik dari stesen Dhoby Ghaut.
Sementara itu, di acara previu pada 4 Julai, penumpang menikmati perjalanan percuma antara tiga stesen baru dan diberi maklumat tentang cara stesen itu dibina.
Mereka juga boleh membeli cenderahati khas yang dijual di Stesen Cantonment.
Encik Siow menarik perhatian bahawa pembinaan stesen-stesen baru di pusat bandar Singapura yang sibuk adalah antara projek kejuruteraan LTA yang paling sukar untuk diselesaikan.
“Kami terpaksa mengalihkan struktur pantai yang sebelum ini tidak diketahui di bawah terminal pelabuhan sebelum projek itu boleh dimulakan. Para jurutera kami juga terpaksa menggali terowong sedalam tujuh meter di bawah tapak Stesen Kereta Api Tanjong Pagar, tanpa merosakkan struktur berusia hampir 100 tahun itu yang mahu dipelihara,” katanya.
Mereka juga perlu membuat terowong di bawah Jejambat Keppel yang sudah beroperasi sepenuhnya.
Kerja-kerja ini memerlukan ketelitian untuk melindungi asas jambatan itu agar tidak menjejas lalu lintas jalan raya, jelas Encik Siow.
Dalam pada itu, beliau melahirkan harapan agar rakyat Singapura akan berasa bangga dengan sistem pengangkutan awam negara ini.
“Saya percaya pengangkutan awam terjalin erat dalam sejarah dan fabrik sesebuah bandar. Ia bukan sekadar prasarana; ia adalah sebahagian daripada kenangan bersama kita,” kata Encik Siow.
“Jika penduduk London boleh berbangga dengan ‘Tube’ mereka, mungkin kita juga boleh menyayangi MRT kita ini dengan lebih mendalam,” tambah beliau.
