Bagi memastikan bekalan perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) yang stabil di Singapura, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan memberi lesen sementara selama setahun kepada Trans-cab Services dan Geo Lah untuk menyediakan e-panggilan khidmat pengangkutan atau ride-hailing services mulai 1 Januari 2025.
Pelantikan kedua-dua pengendali itu akan melengkapkan lagi tawaran pengendali e-panggilan khidmat pengangkutan sedia ada seperti GrabCar, Ryde, Tada, Gojek dan CDG Zig, yang lesen masing-masing juga telah diperbaharui untuk tempoh tiga tahun lagi bermula 1 Januari 2025.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 23 Disember, LTA berkata lesen sementara itu akan membolehkan Trans-cab Services dan Geo Lah “memperhalusi keupayaan operasi mereka untuk memenuhi piawaian kawal selia LTA untuk penyediaan keselamatan dan perkhidmatan”, sebelum mereka dipertimbangkan untuk lesen penuh.
Untuk meningkatkan daya tahan perkhidmatan P2P dan mengurangkan kesan gangguan perkhidmatan ke atas penumpang dan pemandu, LTA juga telah mengemas kini syarat pelesenan untuk semua teksi dan kereta sewa privet.
Sebagai sebahagian daripada keperluan pelesenan yang disemak itu, pengendali perlu menyediakan rancangan ambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran keselamatan maklumat tepat pada masanya.
Mereka juga perlu memastikan terdapat rancangan luar jangka untuk menguruskan insiden yang akan menjejas atau mengganggu operasi perkhidmatan e-panggilan khidmat pengangkutan demi mengurangkan kesan gangguan tersebut terhadap pemandu dan penumpang.
“Pengendali yang berhasrat berundur daripada pasaran juga mesti menyediakan LTA dengan pelan keluar yang harus merangkumi butiran mengenai pengaturan peralihan untuk pemandu terjejas dan penyelesaian pembayaran kewangan tertunggak kepada pemandu dan penumpang.
“Pelan keluar mesti dikemukakan dengan tempoh notis minimum 120 hari kalendar, dua kali ganda tempoh notis semasa 60 hari kalendar,” kata LTA.
Keperluan pelesenan lain termasuk mewajibkan pengendali memastikan penumpang mempunyai pilihan sekiranya mereka memerlukan kenderaan yang mampu memuatkan kerusi roda berlipat, atau yang dilengkapi dengan tempat duduk kanak-kanak.
Pengendali juga mesti memaklumkan penumpang jika kenderaan yang dipadankan tidak dapat menampung keperluan ini, untuk membolehkan penumpang membatalkan dan menempah semula dalam tempoh tangguh jika mereka terlupa untuk menyatakan keperluan mereka.
Mereka juga akan dikehendaki untuk memaparkan set maklumat perjalanan piawai kepada pemandu untuk meningkatkan ketelusan permintaan perjalanan, dan membolehkan pemandu membandingkan perjalanan yang ditawarkan dengan lebih mudah merentasi pelbagai platform.
“Langkah-langkah baru ini bertujuan menstabilkan bekalan teksi, meningkatkan daya tahan perkhidmatan P2P untuk mengurangkan kesan sebarang gangguan perkhidmatan ke atas penumpang dan pemandu, dan memastikan perkhidmatan P2P mampu memenuhi pelbagai keperluan yang lebih luas.
“Syarat pelesenan yang dikemas kini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 bersempena dengan lesen yang diberikan,” kata LTA.
Dalam kenyataan tersebut, LTA berkata ia juga telah memperbaharui lesen CityCab, Comfort, Prime, Strides Premier dan Trans-cab Services untuk menyediakan khidmat menahan teksi di tepi jalan atau street-hail untuk tempoh 10 tahun.
Ia juga telah memperbaharui lesen GrabCar dan Ryde untuk menyediakan khidmat kongsi kereta atau carpool selama 3 tahun lagi.
Pengumuman itu dibuat berikutan penyelesaian penilaian pembaharuan dan permohonan lesen pengendali pengangkutan P2P oleh LTA.
LTA juga akan memperkemas kurikulum latihan dan mengurangkan yuran kursus untuk Lesen Vokasional Pemandu Teksi (TDVL), yang akan berkuat kuasa mulai 24 Februari 2025.
Perubahan utama kepada latihan TDVL termasuk mengurangkan durasi latihan daripada 16 jam kepada 12 jam dan mengurangkan durasi latihan yang diperlukan untuk menukar Lesen Vokasional Pemandu Kereta Sewa Privet (PDVL) kepada TDVL daripada 8 jam kepada 5 jam.
Kos untuk mendapatkan TDVL juga akan dikurangkan daripada $275 kepada $250 sebelum GST, dan kos untuk menukar PDVL kepada TDVL akan dikurangkan daripada $145 kepada $132.50 sebelum GST.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg