Topik diikuti
Pergi ke BHkuLTA lancar siri animasi 3D tentang pengangkutan awam S’pura bagi kanak-kanak
LTA lancar siri animasi 3D tentang pengangkutan awam S’pura bagi kanak-kanak
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah melancarkan satu siri animasi 3D enam episod bagi memperkenalkan sistem pengangkutan awam Singapura kepada kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun.
Bertajuk Ride & Seek With Jay & Ella (Menjelajah Bersama Jay & Ella), siri YouTube itu bertujuan mencetuskan rasa ingin tahu mengenai menaiki bas dan kereta api, serta menanamkan kemahiran perjalanan praktikal dan amalan penggunaan pengangkutan awam yang bertimbang rasa.
Siri itu dilancarkan pada 24 November oleh Menteri Negara Kanan Pengangkutan, Cik Sun Xueling, di stesen Sungei Bedok.
Watak utama dalam siri animasi baharu LTA itu, Jay dan Ella, masing-masing direka berdasarkan sebuah tren MRT dan bas awam hijau Singapura.
Enam episodnya mengikuti pengembaraan empat kanak-kanak menerusi rangkaian pengangkutan awam Singapura.
Sepanjang perjalanan, kanak-kanak tersebut akan belajar cara menggunakan pengangkutan awam dengan betul, beradab dan bertimbang rasa terhadap penumpang lain, selain memahami cara bas dan kereta api beroperasi.
Mereka turut mempelajari bagaimana pengangkutan awam menyediakan kemudahan bagi penumpang dengan keperluan mobiliti yang berbeza, serta mendapat gambaran mengenai kerja yang terlibat dalam penyelenggaraan bas dan kereta api awam.
Tiga episod pertama Ride & Seek With Jay & Ella akan tersedia di saluran YouTube LTA mulai 24 November, manakala baki tiga episod akan dimuat naik pada Disember.
“Ibu bapa digalakkan untuk menonton siri ini bersama anak-anak mereka dan mengukuhkan pengajaran ini sepanjang perjalanan harian mereka menggunakan pengangkutan awam,” kata LTA.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran itu, sekitar 200 kanak-kanak bersama ibu bapa mereka menikmati pratonton istimewa stesen baharu Bedok South dan Sungei Bedok di Laluan Thomson-East Coast (TEL), sebelum pembukaan rasminya pada 26 Disember.
Cik Sun berkata perkhidmatan penumpang di stesen-stesen tersebut, serta stesen Xilin yang akan datang di Laluan Downtown (DTL), akan bermula pada tengah hari 26 Disember.
“Saya berharap pengalaman hari ini akan memberi inspirasi kepada penumpang muda kita untuk meneroka lebih banyak lagi kawasan di Singapura menerusi sambungan rel baharu ini,” tambah beliau.