Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeselesaan dalam pengangkutan awam tanggungjawab bersama
Undang-undang tidak mampu bentuk adab masyarakat jika rasa hormat terhadap orang lain semakin terhakis
Keselesaan dalam pengangkutan awam tanggungjawab bersama
Mulai 23 September, penumpang bas awam yang memasang muzik atau video dengan kuat, meletakkan kaki di atas tempat duduk, membuang sampah atau makan dan minum di dalam bas boleh dikenakan denda sehingga $500.
Kesalahan lebih serius, termasuk mengotorkan bas atau membahayakan pengguna di pusat pertukaran bas, pula boleh membawa denda maksimum $5,000.
Peraturan baharu Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) ini menyelaraskan hukuman bagi kelakuan yang mengganggu penumpang bas dengan peraturan sedia ada bagi pengangkutan rel.
Langkah ini wajar dilihat dalam konteks lebih luas: Mengapakah perkara asas seperti menjaga kebersihan, menghormati ruang awam dan tidak membuat bising sehingga mengganggu penumpang lain memerlukan campur tangan undang-undang?
Bukankah semua ini sepatutnya menjadi sebahagian daripada adab kita sebagai anggota masyarakat?
Masalah yang bukan baharu
Kelakuan tidak bertimbang rasa dalam pengangkutan awam bukan fenomena baharu di Singapura.
Pada September 2023, akhbar ini melaporkan beberapa kejadian penumpang meletakkan kaki di atas tempat duduk bas, termasuk seorang lelaki yang mendakwa diserang selepas mengambil gambar penumpang lain yang berbuat demikian.
Laporan-laporan media yang menyusul selepas itu mendedahkan masalah yang meruncing. Penumpang bas mendedahkan pelbagai masalah yang dihadapi, daripada individu yang memainkan muzik dengan kuat dan bercakap di telefon tanpa mempedulikan orang sekeliling, kepada mereka yang menghalang laluan atau enggan memberi ruang kepada penumpang lain.
Malah, seorang kapten bas yang ditemu bual dalam salah satu laporan media tersebut menceritakan pengalaman berdepan penumpang yang memotong kuku di dalam bas.
Justeru, jelas ini bukan sekadar kisah terpencil tentang penumpang yang kurang sopan. Ia mencerminkan masalah yang berulang dan menjejaskan pengalaman mereka yang bergantung pada pengangkutan awam setiap hari.
Namun, kita juga harus berhati-hati daripada membuat kesimpulan bahawa seluruh masyarakat Singapura semakin kurang beradab hanya berdasarkan video tular atau aduan di media sosial.
Apa yang jelas, masalah ini cukup serius untuk mendorong pihak berkuasa memperkenalkan langkah penguatkuasaan tambahan.
Apabila kebebasan peribadi mengganggu orang lain
Perkembangan teknologi telah mengubah cara kita menghabiskan masa dalam perjalanan.
Telefon bimbit membolehkan kita menonton drama, mendengar muzik, mengikuti siaran langsung atau membuat panggilan video di mana-mana sahaja.
Namun, kemudahan peribadi tidak bermakna seseorang mempunyai hak untuk memaksa orang lain mendengar apa yang sedang ditontonnya.
Seorang pekerja yang baru selesai syif panjang mungkin hanya mahu berehat sepanjang perjalanan pulang. Begitu juga warga emas, ibu bapa bersama anak kecil atau pelajar yang memerlukan sedikit ketenangan.
Apabila seorang penumpang memasang video dengan kuat, beliau sebenarnya sedang mengambil sebahagian daripada keselesaan orang lain tanpa meminta izin.
Prinsip yang sama terpakai apabila seseorang meletakkan beg atau kaki di tempat duduk kosong, atau berdiri di hadapan pintu sehingga menyukarkan penumpang lain keluar masuk.
Pengangkutan awam bukan lanjutan ruang tamu rumah sendiri.
Kita berkongsi ruang yang terhad dengan orang yang mempunyai keperluan, keadaan kesihatan dan tahap toleransi berbeza.
Oleh itu, kebebasan individu perlu disertai kesedaran bahawa setiap tindakan mempunyai kesan terhadap orang sekeliling.
Denda sahaja tidak mencukupi
Tinjauan kepuasan pengangkutan awam 2025 yang dibentangkan Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Julai lalu mendapati 87 peratus penumpang berpuas hati dengan sistem pengangkutan awam Singapura.
Namun, kelakuan tidak bertimbang rasa, termasuk memasang muzik dengan kuat dan enggan memberikan tempat duduk kepada mereka yang memerlukan, dikenal pasti antara kebimbangan utama penumpang.
Ini menunjukkan bahawa mutu pengangkutan awam tidak boleh diukur berdasarkan kecekapan perkhidmatan atau kecanggihan prasarana semata-mata.
Bas yang tiba tepat pada masanya tetap boleh memberikan pengalaman buruk sekiranya penumpang terpaksa berdepan kelakuan yang mengganggu.
Denda boleh menjadi langkah pencegahan, tetapi penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berhemah.
Keadaan individu yang mempunyai masalah kesihatan fizikal atau mental, misalnya, memerlukan pertimbangan sewajarnya.
Pada masa yang sama, penumpang tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri dengan merakam atau memalukan individu lain di media sosial sehingga mencetuskan pertengkaran.
Tanggungjawab menangani kelakuan yang mengganggu perlu diserahkan kepada petugas yang diberi kuasa.
Membina budaya saling menghormati
Akhirnya, persoalan lebih besar bukanlah berapa ramai penumpang yang akan dikenakan denda, tetapi sama ada kita mampu membina masyarakat yang beradab tanpa perlu sentiasa diawasi.
Pendidikan tentang adab di ruang awam perlu bermula di rumah dan diperkukuh di sekolah serta tempat kerja.
Ibu bapa boleh menunjukkan teladan dengan merendahkan suara ketika menggunakan telefon, memberikan tempat duduk kepada mereka yang memerlukan dan mengajar anak-anak menghormati ruang orang lain.
Kempen kesedaran pula harus melangkaui poster peringatan dengan menekankan kesan sebenar kelakuan seseorang terhadap penumpang lain.
Singapura telah membuat pelaburab besar untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap dan mudah diakses.
Namun, kecanggihan sistem itu perlu diimbangi dengan kematangan sikap masyarakat yang menggunakannya.
Kejayaan sebenar peraturan baharu ini bukan apabila semakin ramai penumpang didenda, tetapi apabila semakin sedikit yang perlu dikenakan tindakan.
Kerana adab yang lahir daripada rasa hormat jauh lebih bermakna daripada adab yang hanya muncul kerana takut didenda.