Muat turun buku skrap pelancongan percuma untuk kanak-kanak yang dihasilkan oleh ST Smart Parenting, reka kulit buku tersebut dan anda berpeluang memenangi tiket ke Perth.
Disasarkan kepada murid sekolah rendah, buku skrap ‘Let’s Go To... Western Australia’ itu mempunyai 13 muka surat yang mengandungi pelbagai kegiatan untuk kanak-kanak.
Ini akan membantu mereka mengenali keindahan tempat, sejarah, budaya dan orang tempatan di Perth.
Contohnya, mereka boleh mengenal pasti istilah Australia seperti chook, maccas dan chockey.
Terdapat juga satu bahagian yang menggalakkan kanak-kanak mempelajari fakta menarik tentang quokka, wombat dan haiwan lain yang terdapat di Australia Barat.
Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah boleh mereka bentuk kulit buku skrap dan menyertakannya dalam satu pertandingan.
Peserta dengan reka bentuk terbaik akan memenangi dua tiket penerbangan pergi balik ke Perth.
Ibu bapa juga boleh mengunjungi Green Roof di Marina Barrage pada Sabtu dan Ahad ini untuk menyaksikan satu pesta layang-layang yang dianjurkan oleh Cartoon Network.
Ia akan bermula dari 10 pagi dan 200 peserta pertama setiap hari berpeluang menghadiri bengkel membuat layang-layang secara percuma.
Acara itu diilhamkan daripada episod sulung siri, Tom And Jerry, Sky’s The Limit.
Rancangan tujuh bahagian itu akan memaparkan gelagat kedua-dua watak kucing dan tikus kegemaran ramai tersebut berlatarbelakangkan blok-blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), pusat peranginan bersepadu Marina Bay Sands dan kawasan ikonik lain.
Anda boleh menonton rancangan kartun ini di Cartoon Network (StarHub TV Channel 316 atau Singtel TV Channel 226), saluran YouTube Cartoon Network Asia dan HBO Go.
Ibu bapa juga boleh membawa anak mereka membaca buku The 13-Storey Treehouse, satu siri kanak-kanak oleh pasangan pengarang-pelukis warga Australia, Andy Griffiths dan Terry Denton, edisi terakhir The 169-Storey Treehouse di kedai-kedai buku.
Buku The 13-Storey Treehouse itu dikeluarkan pada 2011. Sekuelnya, yang dikeluarkan setiap tahun sejak itu, akan menambah 13 tingkat baharu pada rumah pokok itu setiap kali.
Edisi ke-13 atau tingkat ke-169, adalah tahap tertinggi bagi buku tersebut.
“Selepas 13 pengembaraan bertemakan rumah pokok yang menarik, kami berasa sudah tiba masanya kami berehat dan beriadah sebentar,” kata Griffiths.
Watak utama ceritanya Andy, Terry dan Jill akan menghadapi tiga cabaran utama. Ini termasuk pertemuan bersama kembar jahat mereka, Anti-Andy, Terrible Terry dan Junkyard Jill.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg