Sebuah syarikat pembinaan dan tiga lelaki menghadapi sejumlah 11 pertuduhan pada 21 November berhubung dakwaan kecuaian yang dikaitkan dengan kejadian lubang benam pada November 2022.
Insiden itu menyebabkan sebahagian Farrer Road runtuh semasa kerja pembinaan terowong dijalankan.
Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, jalan tersebut terpaksa ditutup kepada lalu lintas selama kira-kira seminggu.
Siasatan oleh Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) kemudian mendapati sebuah jentera penggali terowong (TBM) sedang menjalani kerja penyelenggaraan di kawasan itu apabila tanah di hadapannya menjadi tidak stabil.
Keadaan itu menyebabkan kejadian lubang benam di jalan susur dari Holland Road menuju ke Farrer Road pada 15 November 2022.
Mesin itu sedang menjalankan kerja-kerja mengorek terowong untuk Projek Sistem Pembetungan Terowong Dalam (DTSS) Fasa 2 milik agensi air negara, PUB, di kawasan tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Projek tersebut dikendalikan oleh syarikat pembinaan Jepun, Nishimatsu Construction, yang dihadapkan dengan enam pertuduhan di bawah Akta Kawalan Bangunan pada 21 November.
Salah seorang individu yang didakwa, Kho Chza Main, 55 tahun, berdepan dua pertuduhan di bawah akta tersebut dan satu pertuduhan di bawah Peraturan Kawalan Bangunan.
Individu kedua, Kam Mun Wai, 58 tahun, dihadapkan dengan satu pertuduhan di bawah Peraturan Kawalan Bangunan.
Manakala individu ketiga, Ko Luan Bock, 67 tahun, dihadapkan dengan satu pertuduhan di bawah akta tersebut.
Syarikat tersebut dan ketiga-tiga lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada atau sekitar November 2022.
Nishimatsu dituduh gagal melakukan pemantauan dan semakan berterusan terhadap parameter operasi terowong utama.
Menurut dokumen mahkamah, syarikat itu telah melantik Kho sebagai individu bertauliah untuk menyelia aspek geoteknik kerja-kerja projek berkenaan.
Aspek geoteknik merujuk kepada kajian dan pengurusan tanah di tapak projek untuk memastikan keselamatan dan kestabilan struktur.
Kho didakwa melakukan kesalahan termasuk gagal menilai dengan teliti keadaan tanah di tapak projek.
Nishimatsu juga melantik Kam sebagai individu bertauliah untuk menyediakan pelan berkaitan aspek geoteknik projek tersebut.
Kam didakwa gagal menilai keputusan pemantauan dan keadaan tapak di lokasi-lokasi sekitar Farrer Road.
Ko juga dilantik sebagai individu bertauliah oleh syarikat berkenaan, dan dia bertanggungjawab menyelia kerja-kerja penstrukturan bagi terowong berkaitan dengan projek itu.
Ko, yang menghadapi satu pertuduhan, didakwa gagal mematuhi beberapa syarat, sekali gus mengakibatkan pemendapan tanah berlebihan dan jalan mendap di kawasan berkenaan.
Kes yang melibatkan ketiga-tiga lelaki itu serta Nishimatsu telah ditangguhkan ke Januari 2026.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg