Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BCA siasat insiden lubang benam di Tanjong Katong

Jalan raya berkenaan akan diturap semula selepas ujian LTA.
Jul 28, 2025 | 2:53 PM
Tanah jerlus di tempat kejadian telah ditimbus semula, dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan menjalankan beberapa ujian sebelum jalan raya yang runtuh itu diturap semula.
Tanah jerlus di tempat kejadian telah ditimbus semula, dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan menjalankan beberapa ujian sebelum jalan raya yang runtuh itu diturap semula. - Foto ST

Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) sedang menjalankan siasatan bebas terhadap kejadian tanah jerlus di Tanjong Katong Road South di bawah Akta Kawalan Bangunan, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada 28 Julai.

“Siasatan tersebut akan memeriksa keadaan yang telah menyebabkan lubang benam itu berlaku, mengenal pasti puncanya, dan mengambil tindakan yang perlu terhadap sebarang ketidakpatuhan di bawah Akta dan Peraturan Kawalan Bangunan,” kata Encik Chee dalam satu rakaman kenyataan melalui video yang dihantar kepada pihak media.

BCA dalam kenyataannya pada 28 Julai pula menambah bahawa siasatan mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk diselesaikan disebabkan kerumitan kejadian tersebut.

“Ia akan merangkumi analisis geoteknikal terperinci dan ujian pengesahan lain oleh BCA dan konsultan yang dilantiknya,” kata BCA.

Sementara itu, tanah jerlus di tempat kejadian telah ditimbus semula, dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan menjalankan beberapa ujian sebelum jalan raya yang runtuh itu diturap semula.

Memberikan perkembangan terkini dalam satu catatan Facebook pada 28 Julai, Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Goh Pei Ming, berkata ujian LTA tersebut termasuk kerja menggerudi tanah hingga kedalaman 20 meter bagi memastikan tiada ruang udara dalam tanah.

Ujian tersebut adalah tambahan kepada imbasan radar untuk menilai keadaan tanah di kawasan tersebut.

Sebahagian Tanjong Katong Road South runtuh pada 26 Julai, menyebabkan sebuah kereta bersama pemandunya terjatuh ke dalamnya.

Pemandu tersebut telah diselamatkan dan dibawa ke Hospital Raffles serta diletakkan dalam pemerhatian.

Beliau mengalami kesakitan otot akibat insiden tersebut.

Sejak kejadian itu, jalan raya berkenaan telah ditutup, dan trafik serta perkhidmatan bas telah dilencongkan, lapor The Straits Times (ST).

Ujian dan analisis tersebut akan mengambil sedikit masa, kata Encik Goh, yang juga Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri).

“Saya faham para penduduk ingin tahu bila jalan raya ini boleh dibuka semula.

“Namun, saya fikir adalah lebih baik kita memberi masa kepada agensi (yang terlibat) untuk memastikan jalan raya ini selamat sebelum ia dibuka semula,” ujar beliau.

Encik Goh berkata keadaan trafik adalah lancar semasa beliau melawat tapak kejadian tersebut pada pagi 28 Julai.

Beliau menambah bahawa LTA telah menghantar mesej kepada para pemandu dan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk memaklumkan ibu bapa mengenai lencongan jalan raya tersebut.

Sementara itu, BCA pula berkata pihaknya telah mengambil tindakan pantas untuk mengutamakan keselamatan awam.

Kerja-kerja binaan di tapak kejadian telah dihentikan, dan Arahan Berhenti Kerja juga telah dikeluarkan untuk memerlukan syarikat binaan dan Individu Berkelayakan (QP) penyelia melaksanakan langkah-langkah keselamatan.

“Ini termasuk mengepung kawasan yang terjejas, melaksanakan pemeriksaan bangunan berdekatan, menimbus semula lubang bersebelahan, dan melakukan tinjauan geofizikal untuk mengesan sebarang lohong bawah tanah.

“Penimbusan semula kedua-dua lubang bersebelahan dan lubang benam telah selesai pada awal pagi 28 Julai 2025. Ini menstabilkan tapak kejadian dan bangunan bersebelahan kekal selamat,” kata BCA.

Ia menambah bahawa jurutera BCA juga telah menjalankan pemantauan tapak sepanjang masa untuk memastikan bangunan, jalan raya dan infrastruktur di sekeliling kekal selamat dari segi struktur.

Sebelum ini, agensi air negara PUB, menyatakan bahawa satu struktur konkrit dalam sebuah lubang menegak atau gelung ‘caisson’, yang sedang dibina di tapak kerjanya, “mengalami kegagalan” sekitar 5.50 petang pada 26 Julai.

Pada masa sama, tanah jerlus terbentuk di jalan raya bersebelahan tapak kerja PUB.

PUB menyatakan bahawa kerja di tapak bersebelahan lubang benam itu melibatkan pembinaan gelung ‘caisson’ sedalam 16 meter untuk menghubungkan tiga saluran pembetung sedia ada.

Punca kegagalan gelung ‘caisson’ tersebut masih belum dikenal pasti, menurut PUB dalam satu kenyataan pada 27 Julai.

‘Caisson’ ialah struktur penahan kedap air yang membolehkan air dipam keluar bagi memastikan kawasan kerja kering.

Sebagai langkah berjaga-jaga, PUB mengarahkan tempoh berhenti kerja sementara untuk memeriksa dan memastikan keselamatan kerja pembinaan pembetung serupa yang sedang dijalankan di seluruh Singapura.

Lubang terbabit telah diisi tanah cair yang distabilkan untuk mengukuhkan lagi kawasan itu, sebelum kerja-kerja pemulihan dilaksanakan.

Laporan sebelum ini menyatakan PUB masih menganalisa hasil imbasan radar penembusan tanah (GPR) untuk menilai kawasan sekitar.

PUB juga menyatakan ia bekerja rapat dengan LTA dan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) bagi kerja pembaikan dan menyiasat punca kejadian lubang benam tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg