Jika bukan kerana sejarah, sukar untuk saya percaya bahawa Aceh pernah dilanda tsunami yang begitu dahsyat sekali.
Namun, pembangunan selepas tragedi itu menunjukkan kebangkitan semula wilayah itu.
Sebagai sebahagian daripada liputan khas Berita Minggu (BM) sempena ulang tahun ke-20 bencana tersebut, saya bersama beberapa rakan lain berpeluang meninjau wilayah Indonesia yang teruk dibadai tsunami itu dari 5 hingga 9 Disember.
Tatkala menjejakkan kaki di Aceh, saya terkejut melihat suasana kedamaian yang menyelubungi Aceh.
Keceriaan yang terpancar pada wajah penduduk dan keramahan mereka seakan menyembunyikan kesedihan, kekosongan dan keperitan yang pernah mereka lalui.
Sebelum ini, gambaran saya tentang Aceh dibentuk oleh liputan berita di kaca televisyen yang penuh dengan imej mengerikan ketika saya berusia 14 tahun.
Dua dekad selepas tragedi itu, Aceh telah bangkit semula dan berubah. Wilayah itu kini berdiri di hadapan mata saya, penuh dengan kehidupan dan harapan.
Antara pengalaman yang paling menyentuh hati adalah ketika saya melawat Muzium Pembangkit Listrik Tenaga Diesal (PLTD) Apung, sebuah kapal besar yang pernah dihanyutkan jauh ke daratan oleh tsunami.
Di sana, saya dan teman-teman kesempatan bertemu seorang mangsa tsunami dan pemandu pelancong PLTD Apung, Cik Nora Safrina Zulkifli, 33 tahun.
Dengan suara penuh sebak dan tidak dapat menahan air mata, Cik Nora menceritakan semua yang dekat dengannya termasuk ayah dan saudara-maranya telah diragut tsunami dengan sekelip mata.
Meskipun sudah dua dekad, kesedihan itu masih dirasai – seperti luka lama yang tidak pernah sembuh.
Melalui lensa kamera, saya merakam setiap detik perbualan itu – tangisan yang penuh makna dan kepedihan yang tidak terucap.
Saat itu, saya tersentuh. Saya dapat merasakan betapa beratnya beban emosi yang dipikul warga Aceh seperti Cik Nora selama ini.
Ketika tsunami melanda Aceh, saya masih terlalu muda untuk memahami sepenuhnya betapa besar kesannya terhadap wilayah itu.
Kini, setelah berada di sini, pandangan saya berubah. Saya melihat bagaimana masyarakat Aceh telah bangkit dengan kekuatan dan kecekalan yang luar biasa.
Satu lagi lokasi saya lawati ialah Kuburan Massal Tsunami – sebuah kawasan pemakaman yang menjadi tempat persemadian ribuan mangsa tsunami, mencerminkan skala tragedi yang pernah berlaku di sini.
Terletak di Gampong Siron, Kecamatan Ingin Jaya, Aceh Besar, kawasan itu menjadi tempat persemadian bagi lebih 46,000 mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut.
Terdetik beberapa persoalan ketika berdiri di padang itu.
Bagaimana rasanya jika jasad orang tersayang dicari namun tidak pernah ditemui atau sukar dikenal pasti?
Lebih memilukan, ramai yang tiada tanda nama atau batu nisan untuk disentuh dan dikenang sambil melangitkan doa.
Hanya tanah seluas dua hektar itu yang menjadi simbol kehilangan bagi anggota keluarga mereka yang masih hidup.
Kini, saya sedar bahawa perjalanan ini bukan sekadar tugasan sebagai wartawan video.
Peranan saya adalah untuk merakam kisah Aceh dan menjadi wadah bagi peringatan kepada semua tentang fitrah kehidupan – setiap sesuatu yang hidup pasti akan pergi, setiap yang jatuh akan bangkit semula.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg