Cik Nurmayani Bensarong, 24 tahun, membaca Al-Quran di Panti Asuhan Muhammadiyah, Aceh, pada 8 Disember 2024. Sebagai penghuni panti asuhan itu sejak 2015, beliau berasa terhutang budi kepada Muhammadiyah yang telah memberikannya tempat berlindung dan pendidikan. Rasa syukur ini mendorongnya mengajar Al-Quran di Sekolah Berasrama Muhammadiyah sambil terus menetap di panti asuhan itu untuk membimbing penghuni baru, memastikan mereka mendapat sokongan dan peluang seperti yang pernah dinikmatinya. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
Dua dekad selepas tsunami 2004 yang meragut sekitar 170,000 nyawa di Aceh, wilayah itu menjalani proses pembangunan semula, meskipun terus dibayangi memori pahit bencana itu.
Semasa di Aceh, Wartawan Foto Berita Minggu (BM), Shafiq Apandi, berpeluang merakamkan kehidupan harian yang mencerminkan sebuah wilayah yang pernah mengalami kemusnahan, namun diperkukuh dengan kecekalan dan ketabahan.
Di sebalik parut fizikal dan emosi yang dialami, kesan akibat bencana tsunami yang melanda pada Disember 2004 itu dijadikan pengajaran dan dimanfaatkan masyarakatnya bagi membina masa depan yang lebih baik.
Berikut antara paparan yang dirakam semasa tinjauan pasukan BM ke Aceh baru-baru ini.
Meulaboh, sebuah bandar di pantai barat Aceh, Indonesia, kekal sebagai simbol kepada kemusnahan tsunami Lautan Hindi 2004. Bandar ini mengalami kemusnahan terbesar akibat bencana tersebut, meninggalkan kesan mendalam kepada penduduknya. Kini, selepas dua dekad, Meulaboh bangkit dengan infrastruktur yang dibina semula, kawasan perumahan yang pulih, dan semangat daya tahan masyarakat yang terus diperbaharui. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
Sekumpulan nelayan sedang memasukkan jala ke dalam bot di Pantai Ujung Karang, Meulaboh. Lautan yang pernah membawa bencana itu kini terus membuka sumber rezeki, menjadi harapan dalam kehidupan masyarakat nelayan yang bangkit semula selepas tsunami pada 26 Disember 2004. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
Jemaah solat Jumaat di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh. Masjid yang dibina semula selepas tsunami 2004 ini terus menjadi tempat utama bagi warga Banda Aceh untuk berkumpul, berdoa dan mempererat hubungan sesama mereka. Sebagai pusat keagamaan yang penting, masjid ini juga memainkan peranan besar dalam memupuk perpaduan dan kebangkitan penduduk setempat. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
Kanak-kanak seronok bermain ombak di Pantai Lhoknga, Aceh, pada 7 Disember 2024. Keharmonian mereka bersama laut menjadi kontras yang mendalam dengan pengalaman penuh trauma yang dialami masyarakat itu semasa dipukul tsunami 2004. Generasi masa kini menikmati laut sebagai tempat untuk bergembira, jauh daripada bayangan tragedi yang pernah melanda sekitar dua dekad lalu. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
Ustaz Wildanum Mukhalladun, 23 tahun, seorang guru Al-Quran, gigih membimbing murid di Sekolah Berasrama Fajar Hidayah, Aceh Besar, pada 6 Disember 2024. Fajar Hidayah ditubuhkan selepas tsunami 2004 untuk menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak di Aceh yang terjejas oleh bencana tersebut. Sekolah itu kini menjadi tempat pembelajaran bagi pelajar pelbagai latar belakang, menggabungkan pendidikan akademik dengan agama dalam usaha membangunkan generasi masa depan. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
Pelawat di Muzium PLTD Apung, Banda Aceh, pada 6 Disember 2024. Muzium PLTD Apung mempamerkan kapal janakuasa terapung yang dibawa arus deras akibat tsunami 2004 dan terdampar di kawasan darat. Selain menjadi tarikan pelancong, muzium ini berharap dapat mendidik masyarakat dan generasi muda tentang sejarah bencana, pemulihan serta ketahanan penduduk Aceh selepas tsunami. Sebagai pusat pembelajaran, muzium ini juga mengingatkan tentang pentingnya proses bersiap sedia dalam menghadapi bencana alam. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
Sebuah bot nelayan yang terdampar di atas sebuah rumah dua tingkat di Kampung Lampulo akibat dibawa tsunami masih dikekalkan. Kampung ini terletak sekitar 15 minit dari pusat Banda Aceh. Bot seberat 20 tan itu yang asalnya berlabuh di jeti Sungai Krueng Aceh telah dihanyutkan ombak gergasi tsunami pada 6 Disember 2004 sehingga terdampar di atas bumbung rumah tersebut. Bot itu juga dilaporkan membawa sekitar 50 orang yang terselamat, menjadi simbol kekuatan masyarakat di sana dalam menghadapi bencana. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
Sebuah bangunan pemindahan di Aceh ini adalah sebahagian daripada usaha mitigasi bencana di sana. Ia menawarkan tempat berteduh semasa amaran tsunami dan membantu penduduk pantai naik ke tingkat lebih tinggi jika bencana serupa berulang lagi. Dibina dengan berbilang tiang, reka bentuknya meningkatkan keupayaan bangunan itu menangani gegaran seismik dan serpihan akibat tsunami. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI