Topik diikuti
Pergi ke BHkuLukisan kenangan bersama keluarga hiasi Pek NDP 2026
Pelajar APSN Tanglin kongsi pengalaman di kampung, kolong blok melalui lukisan
Sebaik diminta menghasilkan lukisan untuk Pek Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026, fikiran Nur Syakirah Roslan terus mengingati dua tempat yang paling dekat di hatinya, iaitu perumahan kampung dan meja batu yang sering dilihat di kolong blok.
Bagi pelajar Sekolah Persatuan Golongan Berkeperluan Khas (APSN) Tanglin berusia 15 tahun itu, kedua-duanya menyimpan kenangan yang tidak pernah luput bersama keluarga tersayang.
Meskipun mempunyai ketidakupayaan intelektual yang menyebabkan dia sering berdepan kesukaran mempelajari atau mengingati perkara baharu, kenangan itu kekal segar dalam ingatannya.
Memori itu diterjemahkan ke dalam dua karya seni yang kini dipilih menghiasi Pek NDP 2026.
“Saya telah melukis sebuah kampung kerana gemar suasananya ketika melawat Pulau Ubin bersama keluarga.
“Suasana seperti itu sangat menarik kerana ia berbeza daripada apa yang biasa saya lihat (di bandar Singapura),” kata anak ketiga dalam lima beradik itu.
Nur Syakirah juga berharap agar mereka yang melihat lukisannya akan teringat akan tempat yang mempunyai makna istimewa dalam kehidupan masing-masing.
Dia merupakan antara 36 pelukis kurang upaya berusia antara enam dengan 65 tahun yang dipilih menghasilkan enam rekaan Beg Pek NDP 2026.
Mereka terdiri daripada wakil 21 sekolah pendidikan khas (Sped), sembilan agensi khidmat sosial (SSA) serta, buat julung kalinya, dua Pusat Campur Tangan Awal.
Melalui tema NDP 2026, iaitu Majulah Singapura, Go Beyond!, mereka telah menghasilkan enam rekaan yang menghiasi beg cenderamata sempena sambutan ulang tahun Singapura yang ke-61.
Ia menampilkan takrifan serta aspirasi pelukis terhadap perjalanan dan masa depan Singapura.
Melalui satu kenyataan, Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata setiap individu, termasuk mereka yang kurang upaya, memainkan peranan dalam menyatukan rakyat Singapura.
“Setiap artis berasa bangga kerana dapat menyumbang kepada rekaan Beg NDP tahun ini (2026).
“Mereka sekali lagi membuktikan bahawa individu kurang upaya turut memainkan peranan penting dalam menghubungkan kita semua sebagai rakyat Singapura,” kata Tuan Presiden.
Bagi Nur Syakirah, peluang itu bukan sekadar membolehkan karya seninya dipaparkan kepada ratusan ribu rakyat Singapura, malah menjadi pengiktirafan terhadap bakat dan minatnya terhadap seni yang dipupuk sejak kecil.
Guru seni di APSN Tanglin, Cik Bavanezvari JS Breonna, berkata penyertaan dalam projek itu telah meningkatkan keyakinan Nur Syakirah terhadap kebolehannya sebagai seorang pelukis.
“Apabila mendapat tahu dia dipilih menyertai projek ini, dia sangat gembira. Pengiktirafan ini memberi keyakinan bahawa dia mempunyai kebolehan dalam bidang seni.
“Temanya juga dekat di hatinya kerana sebelum ini dia pernah menghasilkan lukisan bertemakan Singapura di sekolah,” kata guru berusia 29 tahun itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pek NDP 2026, Leftenan Kolonel (LTC) Chong Guan Tat, berkata kerjasama bersama SG Enable bukan sahaja mengetengahkan bakat individu kurang upaya, malah mengingatkan bahawa setiap rakyat mempunyai peranan dalam membentuk masa depan Singapura.
“Melalui enam karya seni unik yang dihasilkan secara bersama, para pelukis berkongsi pandangan mereka tentang perjalanan Singapura serta aspirasi mereka untuk masa depan. Kami berharap karya-karya ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat Singapura untuk terus melangkah ke hadapan sebagai satu negara,” katanya.
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026
