Topik diikuti
Pergi ke BHkuKarya 36 pelukis istimewa hiasi Pek NDP 2026
Karya 36 pelukis istimewa hiasi Pek NDP 2026
Usaha tekan kepentingan individu berkeperluan khas dalam corak kisah S’pura
Karya 36 pelukis istimewa hiasi Pek NDP 2026
Di sebalik enam rekaan pada Pek Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026, terserlah pesanan bahawa setiap rakyat, termasuk individu berkeperluan khas, mempunyai tempat dan peranan dalam mencorak kisah Singapura.
Pesanan itu disampaikan menerusi hasil karya 36 pelukis berkeperluan khas antara usia enam dengan 65 tahun daripada 21 sekolah pendidikan khas (Sped), sembilan agensi khidmat sosial (SSA) serta, buat julung-julung kalinya, dua Pusat Campur Tangan Awal.
Bersandarkan tema NDP 2026, iaitu Majulah Singapura, Go Beyond!, mereka berganding bahu menghasilkan enam rekaan yang akan menghiasi beg cenderamata sempena sambutan ulang tahun Singapura yang ke-61, yang menampilkan takrifan serta aspirasi pelukis terhadap perjalanan dan masa depan Singapura.
Presiden Tharman Shanmugaratnam bertemu sebahagian pelukis itu di Stadium Negara pada 30 Jun bagi menghargai sumbangan mereka serta mendengar sendiri inspirasi di sebalik karya yang dihasilkan.
Dalam satu kenyataan, Tuan Presiden berkata setiap individu, termasuk mereka yang istimewa, memainkan peranan dalam menyatukan rakyat Singapura.
“Setiap artis berasa bangga kerana dapat menyumbang kepada rekaan Pek NDP tahun ini (2026).
“Mereka sekali lagi membuktikan individu berkeperluan khas turut memainkan peranan penting dalam menghubungkan kita semua sebagai rakyat Singapura,” katanya.
Tahun ini (2026) merupakan tahun ketujuh Jawatankuasa Eksekutif (Exco) NDP bekerjasama dengan agensi yang ditubuhkan khas untuk membantu dan memperkasa golongan kurang upaya, SG Enable, bagi menghimpunkan pelukis berkeperluan khas untuk menghasilkan rekaan Pek NDP.
Karya tersebut akan dicetak pada beg jinjing yang diperbuat daripada bahan kitar semula dan diedarkan kepada pelajar yang menghadiri pertunjukan Pendidikan Nasional (NE), selain orang ramai yang menghadiri pratonton NDP dan sambutan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos nanti.
Pelajar Sekolah Persatuan Golongan Berkeperluan Khas (APSN) Tanglin, Nur Syakirah Roslan, 15 tahun, teruja apabila dua hasil lukisannya dipilih untuk menghiasi Pek NDP 2026.
Malah, beliau berasa gembira kerana hasil seninya kini dapat dikongsi bersama seluruh rakyat Singapura.
Lukisan yang dihasilkan memaparkan sebuah kampung serta meja batu di kolong blok, yang mengimbau kenangan beliau sekeluarga meluangkan masa bersama selepas sekolah.
“Saya lukis kampung kerana saya suka suasananya yang tenang.
“Meja batu itu pula mengingatkan saya kepada tempat kami sekeluarga selalu berkumpul selepas sekolah, makan buah-buahan dan berbual bersama.
“Saya ingin berkongsi kenangan yang saya simpan menerusi lukisan ini dan harap apabila orang melihat lukisan ini, mereka juga akan teringat kepada tempat yang membawa makna istimewa dalam kehidupan mereka, ” kata anak ketiga dalam lima beradik itu.
Syakirah, yang mempunyai ketidakupayaan intelektual, berkata minatnya terhadap seni mula berputik apabila bapanya menggalakkannya melukis sejak berusia sekitar lima tahun.
Guru seninya, Cik Bavanezvari JS Breonna, 29 tahun, berkata ini merupakan satu pengiktirafan bermakna buat Syakirah, sekali gus menyuntik keyakinan untuk dia terus mengembangkan bakat dalam bidang seni.
“Apabila mendapat tahu dia dipilih menyertai projek ini, dia sangat gembira. Pengiktirafan ini memberi keyakinan bahawa dia mempunyai kebolehan dalam bidang seni.
“Temanya juga dekat di hatinya kerana sebelum ini dia pernah menghasilkan lukisan bertemakan Singapura di sekolah,” kata Cik Breonna.
Pengerusi Jawatankuasa Pek NDP 2026, Leftenan Kolonel (LTC) Chong Guan Tat, berkata projek itu bukan sahaja membuka ruang kepada rakyat Singapura mengenali dan menghargai bakat individu berkeperluan khas, malah mengingatkan bahawa setiap rakyat mempunyai peranan membentuk perjalanan dan masa depan negara.
“Melalui enam karya seni unik yang dihasilkan secara bersama, para pelukis berkongsi pandangan mereka tentang perjalanan Singapura serta aspirasi mereka untuk masa depan. Kami berharap karya-karya ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat Singapura untuk terus melangkah ke hadapan sebagai satu negara,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SG Enable, Cik Lee May Gee, berkata tema Majulah Singapura, Go Beyond! menggalakkan masyarakat melihat serta mengiktiraf bakat, kreativiti dan keupayaan insan istimewa ini.
“Tema Majulah Singapura, Go Beyond! selari dengan misi SG Enable untuk menggalakkan masyarakat melihat potensi individu kurang upaya, bukan keterbatasan mereka, serta mengiktiraf bakat, kreativiti dan sumbangan yang mampu mereka berikan,” katanya.
Bagi Cik Yap Chian Li Natalie, 31 tahun, yang menghidap Sindrom Down serta mengalami masalah separa pendengaran dan pertuturan, peluang menyumbang kepada rekaan Beg NDP 2026 merupakan satu pengalaman yang amat bermakna.
Beliau, yang gemar melukis, menggunakan seni sebagai wadah meluahkan perasaan dan mengekspresikan dirinya.
Menurut ibunya, Cik Yeo Loy Khim, 61 tahun, Cik Yap amat menikmati bengkel tersebut kerana beliau sudah biasa menyertai aktiviti seni secara berkumpulan dan berpeluang berinteraksi dengan peserta lain.
“Saya rasa beliau sangat menikmati pengalaman itu kerana beliau memang biasa melakukan aktiviti bersama orang lain. Beliau juga gembira dapat duduk dan berkarya bersama peserta lain sambil mencuba perkara baharu,” kata Cik Yeo.
Karya Cik Yap yang dipenuhi warna-warna ceria dan pelbagai elemen kreatif mencerminkan gaya seninya yang tersendiri.
Bagi Cik Yeo, Hari Kebangsaan menjadi wadah meraikan sebuah Singapura yang terangkum dan bersatu, di mana setiap individu berpeluang menyumbang kepada masyarakat tanpa mengira keupayaan masing-masing.
“Saya berharap Singapura akan terus menjadi masyarakat yang lebih terangkum dan penyayang terhadap mereka yang mungkin jarang kita temui atau berinteraksi. Mereka juga berhak meraikan Hari Kebangsaan bersama-sama.
“Pengalaman ini amat istimewa dan saya berasa sangat bangga dapat menjadi sebahagian daripada usaha ini,” katanya.
