Sebagai lulusan kursus operasi restoran dan masakan dari Politeknik Republic (RP), Cik Selina Sapii tidak janggal dengan pertandingan WorldSkills (WSC).
Beliau, yang pernah memenangi pingat emas dan anugerah Best in Nation dalam WSC Australia pada awal 2024, mewakili Singapura dalam kategori perkhidmatan restoran dalam WSC di Lyon, Perancis, yang berlangsung pada 10 hingga 15 September dan meraih pingat perak untuk Singapura.
“Ia sangat menggerunkan. Terdapat banyak kesukaran yang saya hadapi, tetapi berkat latihan dan usaha yang saya lakukan, saya gembira dapat membuat semua orang berasa bangga,” jelas Cik Selina, yang tamatkan pengajian di RP pada Mei lalu.
Cik Selina, 22 tahun, berkongsi bahawa pengalaman beliau menjadi pekerja sambilan sebagai pelayan di restoran mewah telah membantunya mengasah kemahiran dalam bidang layanan pelanggan.
Untuk persiapkan dirinya bagi WSC di Lyon, beliau menjalani latihan selama dua tahun, termasuk luangkan masa di RP selepas tamat pengajian dari 9 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja.
Sepanjang pertandingan, Cik Selina telah menyediakan perkhidmatan makanan dan minuman kepada tetamu di hotel dan restoran serta menunjukkan keprihatinan dan pemahaman tentang keperluan dan jangkaan mereka.
Ini termasuk pamerkan pengetahuan tentang semua jenis masakan dan hidangan, serta kaedah penyediaan dan hidangan, bersama dengan alat yang digunakan, menurut laporan The Straits Times.
Beliau merupakan antara 19 pemenang dalam pasukan Singapura yang terdiri daripada 35 peserta dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan SBS Transit, yang mengambil bahagian dalam WSC 2024.
Berbekal pengalaman sebagai lulusan Nitec dalam bidang Pastri dan Membuat Kek dari ITE Kolej Barat dan kemudian Operasi Restoran dan Masakan dari RP, beliau menimba kemahiran langsung dengan pelanggan.
Bimbingan yang diperolehinya telah melengkapkan dirinya dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
Beliau berharap dapat menyertai institut memasak terkenal Le Cordon Bleu di Perancis dan bercita-cita membuka kafe pada suatu hari nanti.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg