Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang bekerjasama dengan rakan institusi luar negara untuk membolehkan lulusan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) melanjutkan pengajian ke peringkat possiswazah di institusi tersebut.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata peluang sedemikian dapat disediakan hasil kerjasama institut tempatan dan luar negara.
Berkongsi perkembangan SCIS semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) berhubung ehwal masyarakat Islam di Parlimen pada 10 Mac, Encik Masagos berkata:
“SCIS akan bergabung tenaga dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) untuk laluan sains sosial bersama institusi-institusi Islam terkemuka seperti Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan dan Al-Qarawiyyin di Maghribi bagi laluan pengajian Islam.
“Barisan rakan kerjasama yang tersohor ini membuktikan bahawa visi kita untuk menubuhkan SCIS dihargai dan disambut baik di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama erat yang terjalin dengan institusi Islam bertaraf dunia bakal memastikan SCIS relevan di peringkat global, dan pada masa yang sama responsif kepada konteks Singapura.”
Penubuhan SCIS, bagi memupuk dan melahirkan pemimpin Islam tempatan pada masa depan, diumumkan kali pertama oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan beliau dalam bahasa Melayu pada 18 Ogos 2024.
Kolej itu akan menerima kumpulan pertama 60 pelajar pada 2028 bagi pengajian sepenuh masa program sarjana muda pengajian Islam atau sains kemasyarakatan.
Kampusnya akan terletak di Bencoolen Street, dekat Masjid Bencoolen.
Penuntut boleh menyertai program penyerapan pembelajaran gunaan dalam pengkhususan merentasi kurikulum antara disiplin, seperti pengajian fatwa, pengajian Al-Quran, kerja sosial dan kaunseling.
Ini membolehkan mereka memperoleh kemahiran praktikal supaya lebih berupaya menyumbang kepada pelbagai aspek kehidupan sosioagama di Singapura, kata Encik Masagos.
SCIS sedang dalam proses menjalin Memorandum Persefahaman (MOU) dengan SUSS, Dar al-Ifta, Universiti Jordan dan Universiti Al-Qarawiyyin bagi memastikan kurikulum kukuh dan relevan.
Dalam satu kenyataan, Muis berkata satu semakan perundangan sedang dirancang untuk memperkukuh tadbir urus SCIS.
Semakan itu bertujuan mewujudkan rangka kerja perundangan kukuh yang akan menyokong operasi kolej tersebut dan memastikan kemampanan jangka panjangnya.
Lembaga pengelola SCIS akan dipengerusikan mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, yang juga mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Lembaga pengelola itu akan meneliti perihal gaji, kos, yuran dan urusan pentadbiran lain yang diperlukan dalam mengendalikan sebuah kolej.
Pengajian agama di SCIS akan disokong sepenuhnya oleh masyarakat Melayu/Islam Singapura, dengan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) sebagai sumber dana utamanya.
Panel penasihat kolej itu – dipengerusikan Encik Masagos – akan bersidang buat kali pertama pada Jun sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) di sini.
Anggotanya akan terdiri daripada pemimpin institusi rakan kerjasama kolej itu bersama universiti terkemuka lain, seperti Universiti Al-Azhar.
Jawatankuasa pemandu SCIS, yang diketuai Mufti, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir telah memulakan tugas merangka pelan bertindak bagi pembangunan kolej itu.
Berhubung kapasiti madrasah pula, Encik Masagos berkata madrasah di sini boleh mengambil sehingga 400 pelajar setiap tahun, dengan pihak madrasah menerima masuk seorang pelajar bagi setiap dua pemohon secara purata.
Bagaimanapun, hanya 150 daripada mereka yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di luar sistem madrasah.
Encik Masagos berkata jumlah 400 pelajar setahun itu adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan masyarakat dan jumlah asatizah yang diperlukan dalam tahun-tahun akan datang.
Beliau berkata demikian dalam menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap (GRC Aljunied), tentang apakah Muis akan bekerjasama dengan madrasah untuk meningkatkan kapasiti pelajar madrasah.
Encik Masagos menambah bahawa pemerintah bertanggungjawab atas perjalanan pendidikan pelajar, demi memastikan setelah mereka meninggalkan sistem madrasah, pelajar tersebut mempunyai kerjaya dan mata pencarian yang bermakna.
“Buat masa ini, jumlah 400 pelajar itu mencukupi. Itu yang kami perlu. Jika kami perlukan lebih ramai pada masa hadapan, kami akan meningkatkannya.
“Tetapi, ia harus tertumpu pada kepentingan keperluan masyarakat, serta memastikan setiap anak yang memasuki sistem madrasah kita dapat menjadi warga negara yang menyumbang kepada Singapura,” kata beliau.
“
“SCIS akan bergabung tenaga dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) untuk laluan sains sosial bersama institusi-institusi Islam terkemuka seperti Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan dan Al-Qarawiyyin di Maghribi bagi laluan pengajian Islam. Barisan rakan kerjasama yang tersohor ini membuktikan bahawa visi kita untuk menubuhkan SCIS dihargai dan disambut baik di peringkat antarabangsa. Kerjasama erat yang terjalin dengan institusi Islam bertaraf dunia bakal memastikan SCIS relevan di peringkat global, dan pada masa yang sama responsif kepada konteks Singapura.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg