Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M1, Singtel, Starhub akan henti khidmat 3G mulai 1 Ogos

Jul 24, 2024 | 3:17 PM
Setelah rangkaian ditutup, mereka yang masih menggunakan peranti 3G tidak akan menerima perkhidmatan suara, pemesejan dan data lagi.
Setelah rangkaian ditutup, mereka yang masih menggunakan peranti 3G tidak akan menerima perkhidmatan suara, pemesejan dan data lagi. - Foto ST

Mulai 1 Ogos, pengendali rangkaian mudah alih tempatan akan mula mengucapkan selamat tinggal kepada khidmat telekomunikasi 3G – atau teknologi tanpa wayar generasi ketiga yang membantu memperkenalkan telefon pintar moden.

M1 akan menjadi yang pertama menamatkan keseluruhan rangkaian 3G-nya kerana semua pelanggan 3G-nya telah melanggan perkhidmatan 4G atau 5G.

Singtel dan StarHub akan memberi baki pelanggan 3G mereka lebih banyak masa untuk berhijrah, dengan rancangan untuk menghentikan rangkaian itu mulai November, kata Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dalam satu kenyataan pada 24 Julai.

Setelah rangkaian itu ditutup, mereka yang masih menggunakan peranti 3G tidak akan menerima perkhidmatan suara, pemesejan dan data lagi.

Laporan kemajuan itu datang selepas para pengendali rangkaian pada Julai 2023 mengumumkan rancangan untuk menghentikan rangkaian 3G.

IMDA memerlukan pengendali untuk memastikan mereka yang menggunakan 3G dipindahkan dengan lancar ke rangkaian 4G atau 5G, dan berkata syarikat-syarikat tersebut boleh menutup perkhidmatan itu selepas 31 Julai.

Diperkenalkan lebih dua dekad lalu, rangkaian 3G telah memulakan era telefon pintar dengan membolehkan penggunaan Internet mudah alih yang meluas dan mengubah telefon pintar seperti iPhone 3G dan peranti awal Samsung Galaxy S menjadi komputer mini.

IMDA berkata kurang 0.1 peratus pelanggan mudah alih di sini, atau kurang 9,000 talian pada Jun, masih menggunakan 3G, dan menambah, pemberhentiannya akan membantu syarikat telekomunikasi mengutamakan pelaburan dalam rangkaian 5G untuk menyokong pelan transformasi digital bagi perusahaan.

5G menandakan standard terkini dalam rangkaian selular, yang menawarkan penstriman berkualiti tinggi dan sokongan untuk aplikasi intensif data.

IMDA berkata langganan untuk 5G telah meningkat sejak ia diperkenalkan pada 2022, menyumbang 20 peratus daripada pelanggan, yang dijangka meningkat.

Pengendali rangkaian dikehendaki menyediakan rangkaian pelan perkhidmatan 4G dan 5G pada titik harga yang berbeza dan beberapa pilihan telefon mudah alih untuk membantu pengguna 3G membuat pertukaran, kata IMDA, sambil menambah, firma-firma itu telah menyediakan bantuan khusus kepada kumpulan-kumpulan seperti pelanggan lanjut usia atau mereka yang mempunyai masalah bergerak.

Sejak Februari, IMDA juga telah menghentikan import dan penjualan peranti mudah alih 3G di Singapura.

M1, Singtel dan StarHub dalam kenyataan berasingan berkata, mereka membantu pengguna yang masih menggunakan khidmat 3G untuk beralih sepenuhnya, sambil menambah, langkah itu akan membantu mereka meningkatkan perkhidmatan 5G, yang menyokong kelajuan, keselamatan dan aplikasi lebih baik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg