Menyokong penuaan sihat dan memperbaiki kadar pemeriksaan kesihatan adalah antara lima tonggak keutamaan yang telah dikenal pasti M Kuasa Tiga (M³) dalam usahanya meningkatkan kesihatan masyarakat Melayu/Islam.
Tonggak keutamaan itu, yang juga termasuk mengamalkan gaya hidup sihat, mengurangkan bilangan perokok dan memperbaiki kesejahteraan mental, turut selaras dengan daya usaha nasional seperti SG Lebih Sihat atau Healthier SG.
Demikian dinyatakan Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam, yang menerajui bidang tumpuan kelima (FA5) M³ tentang kesihatan masyarakat itu semasa wawancara mengongsi perkembangan masyarakat Melayu/Islam sepanjang 2023 pada 29 November.
FA5 ditubuhkan pada Mac dan bertujuan mengajak masyarakat Melayu/Islam mempromosikan gaya hidup sihat serta memperkasa mereka untuk menganjur dan memperluaskan inisiatif yang dipimpin masyarakat.
Cik Rahayu menerangkan, tonggak menyokong penuaan sihat dan memperbaiki kadar pemeriksaan kesihatan dijalankan sejajar dengan daya usaha SG Lebih Sihat.
“Pertama, kita ingin menjurus kepada warga tua dan ini seiring dengan usaha SG Lebih Sihat untuk kita mulakan dengan memasukkan golongan lebih tua ke dalam skim itu dahulu. Fokusnya selari dan saya rasa ini akan membantu usaha di peringkat nasional untuk menaikkan jumlah yang dapat masuk ke dalam usaha itu.
“Kedua, jumlah (anggota masyarakat Melayu) yang pergi mendapatkan pemeriksaan kesihatan adalah rendah berbanding masyarakat lain. Ini juga sejajar dengan SG Lebih Sihat kerana daya usaha itu adalah mengenai kesihatan pencegahan, maknanya, kita melihat lebih awal apa yang perlu kita lakukan,” jelas Cik Rahayu.
Bagi tonggak mengamalkan gaya hidup sihat, beliau berkata peratusan masyarakat Melayu/Islam yang melakukan kegiatan senaman agak tinggi tetapi masih ramai yang kurang faham cara memastikan gaya hidup sihat secara keseluruhan.
“Kadang-kadang selepas bersenam, mereka makan perata beramai-ramai. Jadi bagaimana dapat kita tingkatkan kesedaran dan pemahaman? Kita ada usaha di peringkat nasional seperti (panduan) memilih makanan yang lebih sihat, bagaimana kita mengurangkan garam dan gula dan sebagainya. Jadi ini semua dapat membantu dan kita juga selaraskan usaha itu,” katanya.
Program utama FA5, Saham Kesihatan, telah pun disertai kesemua 11 M³@Bandar, membawa sesi kegiatan fizikal seperti zumba dan ceramah kesihatan lebih dekat kepada penduduk.
Program itu bertujuan menggalak masyarakat Melayu/Islam mengamalkan gaya hidup lebih sihat melalui pembentukan kumpulan minat yang diterajui masyarakat untuk menganjurkan aktiviti gaya hidup sihat untuk penduduk.
Di bawah tonggak memperbaiki kesejahteraan mental, FA5 akan memperhalusi model Bangkit Bersama, sebuah kumpulan sokongan untuk belia, yang dilaksanakan di M³@Jalan Besar untuk dijalankan di M³@Bandar lain.
“Kesihatan mental juga adalah sesuatu yang mendapat keprihatinan di peringkat nasional. Kita ada Strategi Kesihatan dan Kesejahteraan Mental Nasional jadi itu juga dapat membantu kita dalam memperluaskan usaha dalam masyarakat kita,” katanya.
Bagi tonggak terakhir iaitu mengurangkan bilangan perokok dalam kalangan penduduk Melayu/Islam, FA5 akan melibatkan rakan kongsi masyarakat untuk menggalak program berhenti merokok dan meningkatkan kesedaran tentang trend yang merisaukan seperti menghisap vape.
Cik Rahayu berkata merokok adalah antara isu yang dikenal pasti FA5 sebagai satu masalah masyarakat untuk ditangani.
Menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NHPS) yang dikeluarkan pada September, dalam kalangan rakyat Singapura yang berusia 18-74 tahun, peratusan bagi orang Melayu merokok lebih tinggi (19.5 peratus) berbanding kaum Cina (7.9 peratus) dan India (5.9 peratus). Peratusan nasional pula 9.2 peratus.
“Kami bekerjasama rapat dengan MOH (Kementerian Kesihatan) dan HPB (Lembaga Penggalakan Kesihatan) untuk memberi kami sumber dan sokongan yang diperlukan. Buat masa ini sudah ada strategi untuk menjangkau dan disasarkan oleh usaha nasional. Kami akan manfaatkannya. Kami sedang cuba mengenal pasti saluran tertentu untuk kami menjangkau kepada masyarakat,” kata Cik Rahayu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg