Satu inisiatif pementoran pantas atau flash mentoring yang menyasarkan sehingga 1,000 belia menerusi pembelajaran berkesan, dan jangka singkat telah dilancarkan sebagai sebahagian daripada rangka kerja M Kuasa Tiga (M³), yang disesuaikan dengan minat belia hari ini.
Diberi nama, Cool Yah Conversations, inisiatif yang dilancarkan pada 6 Julai itu disesuaikan mengikut keperluan dan jadual pelbagai golongan belia hari ini, selain memupuk kepimpinan dan kemahiran pementoran.
Inisiatif itu dilancarkan sempena penganjuran kali keenam Festival Belia M³ di Wisma Geylang Serai (WGS) oleh Jawatankuasa Kecil Belia Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Belia PA Mesra), dengan kerjasama Yayasan Mendaki.
Ia dilancarkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang disertai Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Pelancaran itu turut dihadiri Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, dan AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.
Dalam ucapannya sempena Festival Belia M³, Cik Rahayu yang juga Penasihat Belia PA Mesra berkata:
“Tema tahun ini (2024), Memupuk Bakat, Membina Masa Depan, mencerminkan misi kolektif kami untuk memupuk persekitaran yang membolehkan belia menemui minat mereka dan meneruskan aspirasi mereka, sama ada secara kreatif, akademik atau profesional.
“Kami berharap dapat meraikan bakat belia dan memperkasakan mereka untuk menguasai masa depan, untuk memimpin, berinovasi dan mengubah masyarakat kita (agar) menjadi lebih baik.”
Inisiatif Cool Yah Conversations akan dilaksanakan di semua 11 bandar M³@Bandar dan dijangka mendekati lebih 1,000 belia.
Setiap sesi direka lebih ringkas, biasanya berlangsung hanya beberapa jam, menawarkan fleksibiliti dan peluang pembelajaran yang boleh disesuaikan tanpa perlu komitmen jangka panjang.
Acara pada 6 Julai itu disertai lebih 700 belia dari Institut Pengajian Tinggi (IHL), masjid, dan pelbagai pertubuhan belia Melayu Islam.
“Kami harap menerusi Cool Yah, M³ akan dapat meneruskan usaha memupuk kemahiran kepimpinan dalam kalangan belia, memperkasa mereka untuk memainkan peranan aktif dalam masyarakat dan menyokong satu sama lain menerusi interaksi dan pembelajaran sesama rakan,” tambah Cik Rahayu.
Festival Belia M³ turut mengetengahkan 30 reruai meliputi pertubuhan seperti Majlis Ugama Islam (Muis), Gerakan Belia PA, Majlis Belia Kebangsaan serta wadah khusus OMG (Orang Muda Gitew) x Berita Harian, yang merupakan media rasmi pada acara tersebut.
Editor Audiens dan Perkembangan Berita Harian, Cik Norhaiza Hashim, berkata:
“Apabila kami mendapat tahu bahawa M³ menganjurkan acara ini, kami berasa penting untuk OMG menyertai sebagai media rasmi bagi meningkatkan kesedaran mengenai jenama kami kerana acara ini menarik kumpulan audiens kami.
“Selain menjadi rakan media, kami juga mengadakan bengkel penciptaan kandungan digital. Berdasarkan maklum balas daripada bengkel penciptaan kandungan kami selama dua jam, kami gembira peserta berpuas hati mendapat kemahiran berguna bagi menjadi pencipta kandungan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg