Gerakan M KuasaTiga (M³) telah meluaskan jangkauannya ke Punggol secara rasmi dengan penubuhan M³@Bandar yang ke-12 di sana.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim mengumumkan penubuhan M³@Punggol itu di acara rahat M³@Bandar 2025 pada 22 November.
Menurut Dr Faishal, penubuhan M³@Punggol diperlukan memandangkan Punggol antara kawasan paling cepat berkembang, dengan jumlah penduduk Melayu/Islam yang semakin meningkat.
Justeru, M³@Punggol dilahirkan selepas menstruktur semula M³@Pasir Ris-Punggol menjadi M³@Pasir Ris-Changi.
Dr Faishal berkata: “Sejajar dengan jumlah penduduk Melayu/Islam yang bertambah di Punggol dan Pasir Ris kebelakangan ini, kita perlu menstruktur semula M³@Pasir Ris-Punggol supaya memenuhi keperluan masyarakat dengan lebih baik.
Menambah, beliau berkata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Punggol telah menyuarakan keperluan agar keluarga Melayu/Islam di Punggol dapat memanfaatkan sepenuhnya program-program pemerintah dan inisiatif M³.
“Kalau kita lihat, terdapat banyak perkembangan dalam masyarakat Melayu/Islam di Singapura yang membanggakan.
“Saya rasa bangga bahawa kita memulakan dengan beberapa bandar M³.
“Namun, pada hari ini, dengan pelancaran M³ di Punggol, ia memberikan ruang yang lebih luas bagi kita untuk mendekati masyarakat kita.
“Tambahan pula, dengan adanya sokongan MMO (pertubuhan Melayu/Islam) dan IMO (pertubuhan India/Islam), lebih ramai yang akan turun padang untuk memainkan peranan bersama.
“Saya yakin kita boleh melangkah ke hadapan dengan lebih mendalam dan jauh.
“Walaupun kerja-kerja ini memerlukan sokongan yang banyak, yang penting adalah semangat untuk bekerjasama dan bertolak ansur, demi kemaslahatan masyarakat kita.
“M³@Bandar akan berperanan sebagai pemangkin dalam masyarakat, bekerjasama dengan badan India/Islam (IMOs), badan Melayu/Islam MMO dan rakan masyarakat lain.”
M³@Punggol diterajui peguam, Encik Ahmad Firdaus Daud sebagai penasihat, disokong pengerusi, Encik Johann Johari.
Encik Firdaus, aktivis Parti Tindakan Rakyat (PAP), juga menjadi Penasihat Kedua kepada pertubuhan akar umbi Punggol GRC.
Bercakap kepada Berita Minggu (BM), beliau menekankan bahawa demografi unik Punggol memerlukan pendekatan khusus.
Langkah ini bertujuan memperkukuh sokongan kepada keluarga Melayu/Islam di kawasan Punggol yang berkembang pesat, khususnya keluarga sandwic yang terdiri daripada keluarga muda, yang semakin meningkat bilangannya, kata beliau.
Keluarga sandwic adalah keluarga yang terhimpit di tengah, selalunya merujuk kepada keluarga muda yang berhadapan cabaran membesarkan anak-anak dan pada masa yang sama perlu menyokong ibu bapa yang semakin berusia.
GRC Punggol dibentuk menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dengan menggabungkan Punggol West dan estet perumahan Punggol dari GRC Pasir Ris-Punggol yang ditiadakan.
Pasukan PAP yang diketuai oleh Encik Gan bertanding dan menang di GRC Punggol selepas mendapat 55.17 peratus undi, mengalahkan pasukan dari Parti Pekerja yang diketuai oleh peguam, Encik Harpreet Singh Nehal.
Punggol dikenali sebagai antara bandar yang paling muda di Singapura dan mempunyai antara jumlah tertinggi keluarga muda dan penduduk di bawah usia 45 tahun.
M³@Punggol menambah jumlah M³@Bandar kepada 12.
Selain di Punggol, M³@Bandar kini berada di Toa Payoh, Jalan Besar, Bedok, Geylang Serai, Pasir Ris-Changi, Tampines, Woodlands, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon, Jurong dan Chua Chu Kang.
Penubuhan M³@Punggol diumumkan di rahat M³@Bandar 2025 yang diadakan di Home TeamNS Khatib yang dihadiri 140 peserta yang mewakili M³@Bandar; Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Mesra) Persatuan Rakyat; Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan pelbagai MMO.
Menurut Persatuan Rakyat (PA), antara lain, acara tersebut bertujuan menampilkan usaha dan amalan terbaik di M³@Bandar, termasuk meneroka peluang kerjasama bagi 2026.
“Peserta juga melakar peluang yang ada untuk M³@Bandar mengadakan kerjasama bermakna dengan MMO utama... menunjukkan bagaimana sokongan daripada MMO memperkukuh mesej dan wawasan M³ untuk masyarakat dan memperkuat keupayaan menyokong lima bidang fokus M³,” kata PA dalam kenyataannya.
Lima bidang fokus M³ ialah sokongan bagi perkahwinan, keibubapaan dan pembangunan awal kanak-kanak; sokongan bagi individu dan keluarga rentan; memperkasa dan pementoran belia, pekerjaan dan kesihatan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg