Penasihat M³@Punggol, Encik Ahmad Firdaus Daud berkata membantu keluarga muda yang berasa terhimpit dengan komitmen mengasuh anak-anak dan menjaga orang tua, merupakan antara tumpuan awal beliau dan pasukannya di sana.
Beliau, seorang peguam, berkata profil demografi unik Punggol memerlukan pendekatan yang lebih khusus bagi memastikan penduduk mendapat sokongan yang sesuai dengan cabaran harian mereka.
“Saya menganggap peranan ini sebagai amanah yang berat dan besar.
Niat saya adalah untuk menguatkan sokongan kepada keluarga, belia dan warga emas masyarakat Melayu/Islam, khususnya keluarga muda atau keluarga sandwic yang agak ramai di Punggol,” katanya ketika ditemui Berita Harian selepas beliau diumumkan sebagai penasihat M³@Punggol pada 22 November.
Keluarga sandwic adalah keluarga yang terhimpit di tengah, selalunya merujuk kepada keluarga muda yang berhadapan cabaran membesarkan anak-anak dan pada masa yang sama perlu menyokong ibu bapa yang semakin berusia.
Encik Firdaus yang juga aktivis Parti Tindakan Rakyat (PAP), menjelaskan keluarga muda di Punggol sering berdepan tekanan, antaranya, menjaga anak yang sedang membesar, menyokong ibu bapa yang semakin berusia, di samping kos sara hidup yang meningkat.
“Ramai memerlukan pertolongan dari segi pendidikan anak-anak mereka, meningkatkan kemahiran bekerja dan kesejahteraan keluarga.
Itu semua menjadi salah satu tumpuan kami,” ujarnya.
M³@Punggol ialah M³@Bandar ke-12 yang ditubuhkan di bawah pergerakan M KuasaTiga (M³).
Sementara itu, Encik Firdaus berkata beliau akan bekerjasama rapat dengan pengerusi M³@Punggol, Encik Johann Johari untuk merancang dan menjalankan program-program yang akan disesuaikan dengan keperluan penduduk di sana.
Antara lain, mereka berhasrat meningkatkan kemahiran kerja bagi pekerja dan penduduk yang menjalankan perniagaan dari rumah (HBB).
Selain itu, pasukan M³@Punggol juga ingin memperkukuh sokongan untuk pendidikan anak-anak, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas dan buat keluarga yang mempunyai warga emas dan para penjaga.
“Kami ingin membina keluarga yang lebih kukuh melalui program yang dapat mengeratkan hubungan dan kesejahteraan keluarga.”
Selain memperkukuh aspek sosial dan khidmat sokongan, Encik Firdaus turut menekankan kepentingan memelihara identiti serta budaya penduduk Melayu/Islam di Punggol.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg