Daripada 20 pasukan yang mewakili lima negara, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah muncul sebagai juara Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied (BP SARA) 2026 pada 11 Jun lalu.

Ia menewaskan pasukan dari Pondok Modern Darussalam Gontor, dari Indonesia, yang meraih gelaran naib juara dalam perbahasan bahasa Arab yang diadakan secara dwitahunan oleh Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Kejayaan itu lebih manis buat pasukan Madrasah Alsagoff, yang dianggotai empat pelajar berusia 18 tahun — Cik Nur Hijanah Mohamed Hisham, Cik Fathimatuzzahra’ Fadhlur Rahman, Cik Toybah Munawwarah Muhammad A’li dan Cik Nur Insyirah Mohamed Faizal — kerana ia merupakan pengalaman pertama mereka beraksi di pentas debat yang disertai pelajar Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan India.

Selaku pencadang, pembahas Madrasah Alsagoff berjaya mengutarakan hujah bernas bagi mempertahankan mauduk bertajuk Melanjutkan Pengajian Di Luar Negara Lebih Berkesan Dalam Mempersiapkan Individu Untuk Menyumbang Kepada Pembangunan Negara.

“Kami rasa sangat bersyukur dan bangga dengan diri kami kerana kami telah meluangkan banyak masa dan melaburkan banyak usaha untuk pertandingan ini.

“Kami berlatih hampir setiap hari selepas sekolah dan banyak mengorbankan masa untuk membuat persediaan,” kata Cik Fathimatuzzahra.

Saingan peringkat akhir yang berlangsung di Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu begitu sengit memandangkan Pondok Modern Darussalam Gontor hanya kalah tipis sebanyak 0.07 mata.

Pertandingan ini menjadi wadah menyerlahkan kefasihan berbahasa Arab, pemikiran kritis dan keyakinan diri.

Cik Fathimatuzzahra menambah kejayaan yang dikecapi bukan hasil usaha pasukan semata-mata kerana ia didorong sokongan kuat jurulatih dan alumni madrasah.

“Kami merakamkan penghargaan kepada jurulatih kami, yang sentiasa memastikan kebajikan dan perkembangan pasukan sepanjang tempoh latihan.

“Kami juga banyak dibantu alumni sekolah yang pernah menyertai pertandingan perbahasan antarabangsa. Beliau berkongsi pelbagai tip dan pengalaman yang sangat berguna sepanjang pertandingan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kekangan masa merupakan cabaran terbesar yang perlu ditempuhi.

Dengan peperiksaan dan komitmen akademik lain, pasukan itu hanya mempunyai kira-kira dua bulan untuk membuat persiapan.

“Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih secara bersemuka. Banyak sesi dilakukan selepas waktu sekolah atau secara dalam talian. Jadi kami perlu belajar dan meningkatkan kemahiran dengan cepat,” tambah Cik Nur Toybah.

Walaupun pernah terlibat dalam aktiviti perbahasan dan pembentangan di sekolah, pengalaman menyertai BP SARA memberi peluang kepada mereka memperkukuh kemahiran berbahasa Arab serta bekerjasama sebagai sebuah pasukan.

“Ia menjadikan kami lebih rapat. Kami belajar untuk saling mempercayai dan bekerja bersama bagi mencapai matlamat yang sama,” jelasnya.

Kepada pelajar yang bercita-cita menyertai pertandingan itu pada masa depan, mereka menasihatkan agar tidak mudah berputus asa.

Naib Juara Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied (BP SARA), Pondok Modern Darussalam Gontor, tetap bersyukur kerana dapat ikut serta dalam pertandingan debat ini.
Naib Juara Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied (BP SARA), Pondok Modern Darussalam Gontor, tetap bersyukur kerana dapat ikut serta dalam pertandingan debat ini. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Tiada yang mustahil. Percayalah pada diri sendiri dan rakan sepasukan anda. Jangan takut menggunakan bahasa Arab di luar bilik darjah kerana ia satu kelebihan yang sangat berharga. Pada akhirnya, matlamat kami adalah mengharumkan nama sekolah, bukan untuk diri sendiri,” ujar Cik Nur Hijanah.

Acara itu turut dihadiri Mufti Dr. Nazirudin Mohd Nasir. Beliau memuji usaha gigih para pelajar dan mengingatkan mereka bahawa meski tidak membawa pulang trofi hari ini, mereka sebenarnya sudah pun menang menerusi kerja keras masing-masing.
Acara itu turut dihadiri Mufti Dr. Nazirudin Mohd Nasir. Beliau memuji usaha gigih para pelajar dan mengingatkan mereka bahawa meski tidak membawa pulang trofi hari ini, mereka sebenarnya sudah pun menang menerusi kerja keras masing-masing. - Foto BH oleh KHALID BABA

Pondok Modern Darussalam Gontor, yang muncul sebagai naib juara, bagaimanapun, membawa pulang Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan.

Encik Angora Budi Nurcahyo, 17 tahun, menyifatkan keyakinan diri sebagai formula jaya dipilih sebagai pembahas terbaik.

“Kita harus berani dan percaya diri,” katanya.