Tahun 2019 adalah kali terakhir Madrasah Aljunied Al-Islamiah bertembung Institusi St Joseph (SJI) di pentas akhir Bahas Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).
Ketika itu, pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Nur Sholeha Salleh, dan rakan-rakan lain sekadar menjadi penonton menyaksikan kekalahan sekolah mereka.
Pada 2025, madrasah itu kembali bertemu SJI di pentas akhir Bahas 4PM.
Nur Sholeha, 18 tahun, kini tampil sebagai pembahas dan berjaya menebus kekalahan pada 2019 apabila pasukan madrasah itu diumumkan sebagai juara Bahas 4PM.
Malah, beliau turut dinobatkan sebagai pembahas terbaik pada peringkat separuh akhir bagi pertandingan 2025 itu.
Dengan hanya dua minggu persiapan, pasukan itu meluangkan masa pada sebelah malam dengan mengadakan perbincangan menerusi Zoom untuk meneliti konsep, berlatih hujah balas dan memperkemas penyampaian.
Dengan sokongan rakan sekolah yang bersorak padu di auditorium, mereka mempersembahkan hujah berteraskan kepercayaan, kesatuan dan ketabahan, sebelum akhirnya berjaya merampas kembali gelaran juara.
Seorang lagi anggota pasukan itu, Muhammad Suhail Sulaiman, 18 tahun, berkata:
“Selepas enam tahun, akhirnya, kami mendapatkan kembali takhta juara.
“Pengorbanan kami amat berbaloi. Alhamdulillah, semua usaha keras ini membawa kemenangan,” kata Muhammad Suhail, pembahas pertama pasukannya yang menggambarkan perjalanan itu sebagai penuh liku namun bermakna.
Kali terakhir Madrasah Aljunied meraih piala juara ialah pada 2018.
Kekalahan kepada SJI pada 2019 menjadi pembakar semangat mereka untuk bangkit semula.
“Ia sangat bermakna kerana kami akhirnya berjaya menewaskan lawan yang sama setelah enam tahun.
“Namun, kami juga menghormati SJI kerana hujah mereka mantap, dan Aiman, pemenang pembahas terbaik, memang layak dinobatkan Pembahas Terbaik,” tambah Muhammad Suhail.
Perlawanan akhir 2025 berlangsung dengan usul: “Kebergantungan pada sektor perkhidmatan memperkukuh kemampanan ekonomi Singapura”.
“Ini merupakan topik paling sukar kerana kami kurang arif tentang ekonomi.
“Dalam masa dua minggu, kami terpaksa belajar daripada awal dengan bimbingan guru kami,” jelas seorang lagi anggota pasukan itu, Nor’Aqilah Marsya Muhammad Syafie, 18 tahun.
Bagi mereka, kejayaan itu lebih daripada sekadar kejuaraan – ia adalah simbol kekuatan pasukan, sokongan guru, keluarga dan masyarakat.
“Syukur, bukan sahaja atas keputusan, tetapi juga perjalanan, persahabatan dan sokongan yang kami terima,” kata Nor’Aqilah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg