USTAZAH MASNIA NASSIM
Diam tak diam, kita kini sudah melangkah ke tahun baru 1446 Hijrah. Rasanya begitu sekejap tahun 1445 berlalu dan meninggalkan kita. Dalam masa setahun ini, tentu banyak yang telah kita lalui, pahit manis, suka duka, pencapaian, kegagalan dan sebagainya.
Bagi Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, 1445 Hijrah telah meninggalkan banyak kenangan yang bakal tercatat dalam sejarah kami.
Sekitar sembilan bulan lalu, pihak pengurusan Wak Tanjong memutuskan mahu meluluskan projek baru. Projek ini bertujuan membina bangunan dan lif tambahan bagi menampung keperluan prasarana, dan satu sesi mulai tahun 2025. Ini bermakna semua kelas daripada Darjah 1 hingga prauniversiti akan bermula pada sesi pagi sahaja.
Setelah pembangunan dua bilik darjah tambahan, berserta dua tandas selesai pembinaannya di tingkat lima sekitar Julai 2023, usaha membina bangunan tambahan pula dimulakan.
Pada majlis Zikra Rasul kami, pada September 2023, Madrasah Wak Tanjong telah melancarkan projek Nur Ala Nur 2.0 dalam usaha mengumpul dana sebanyak $4 juta bagi projek tersebut.
Sejak itu, pelbagai proses pentadbiran harus dilaksanakan dan melibatkan pelbagai pihak berkuasa seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Penguasa Tanah Singapura (SLA), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), dan Lembaga Taman Negara (NParks) demi mendapatkan kelulusan bagi projek tersebut.
Kini selepas hampir lapan bulan, kerja pembinaan sudah dimulakan dengan sebahagian kawasan letak kereta dikepung. Pokok-pokok besar di tepi bangunan madrasah ini pula telah ditebang untuk membuka jalan bagi kenderaan berat keluar masuk di kawasan pembinaan ini.
Dalam waktu yang sama, usaha murni mengumpul dana giat kami jalankan seperti projek Ride on Hope (beramal sambil berbasikal), penglibatan kami di beberapa ekspo, rumah terbuka madrasah, iklan di radio sepanjang Ramadan serta iklan kami di Berita Harian, pada setiap bulan dan sebagainya. Selain itu, di laman media sosial, kami juga giat menghebahkan projek kami melalui wadah Facebook (FB) dan Instagram (IG).
Alhamdulillah, sokongan daripada masyarakat Islam Singapura sejauh ini amat menggalakkan, walaupun kami belum mencapai matlamat yang dikehendaki.
Oleh demikian, melalui ruangan ini, kami berharap pembaca terus menyokong projek Madrasah Wak Tanjong, sebagai sebuah institusi pendidikan agama di Singapura yang terus melahirkan pemimpin agama tersohor pada masa depan atau sekurang-kurangnya warga Muslim yang berjaya dan mampu menyumbang kepada masyarakat amnya.
HULUR SUMBANGAN
Untuk sumbangan kepada Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, anda boleh membantu dengan cara berikut:
1. PayNow: UEN S55MM0002D.
2. Penghantaran cek atas nama ‘MADRASAH WAK TANJONG AL ISLAMIAH’.
3. Pembayaran secara Nets dan tunai di pejabat Madrasah Wak Tanjong di 589 Sims Avenue, Singapura 387600.
4. Imbas kod QR yang tertera.
* Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Madrasah Wak Tanjong di talian 6741-0131.
Penulis merupakan mudirah di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg