Mahkamah Belia akan mengambil pendekatan baru dalam kes yang ditangani termasuk membabitkan pesalah muda.
Ia akan memberi tumpuan pada isu asas yang tersembunyi, sehingga membawa individu itu ke mahkamah,
Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan Mahkamah Keadilan Keluarga (FJC) akan menugaskan pasukan tetap berbilang disiplin, seperti hakim dan kaunselor yang sama, untuk menguruskan kes itu dari awal hingga akhir dengan pendekatan keadilan terapeutik.
Ini akan memberi pasukan tersebut pemahaman yang lebih mendalam tentang setiap kes dan isu yang terlibat, membina kepercayaan dan memberikan sokongan lebih holistik kepada individu atau keluarga tersebut.
Ketua Hakim Negara (CJ), Encik Sundaresh Menon, mengumumkan perkara itu pada 23 Julai semasa perasmian bangunan FJC yang dirasmikan Presiden Tharman Shanmugaratnam.
FJC – yang merangkumi Bahagian Keluarga Mahkamah Tinggi, Mahkamah Keluarga dan Mahkamah Belia – kini berpindah ke bangunan ikonik berbentuk oktagon di Havelock Square, yang dahulunya menempatkan Mahkamah Negara.
Pendekatan keadilan terapeutik sudah digunakan dalam kes perceraian, apabila tumpuan diberikan kepada menyelesaikan masalah dan membantu ibu bapa menguruskan konflik serta berkongsi hak penjagaan anak, berbanding pendekatan bersifat konfrontasi sebelum ini.
Menurut Encik Menon, prinsip yang sama akan diterapkan di Mahkamah Belia. Beliau berkata: “Isu asas yang mempengaruhi tingkah laku dan keadaan remaja perlu dikenal pasti dan ditangani bersama isu undang-undang.”
Beliau menambah: “Kanak-kanak dan remaja berhak mendapat sistem sokongan yang menjaga keselamatan, memenuhi keperluan asas dan membantu mereka ke arah masa depan yang lebih baik.”
Selain kes pesalah muda, Mahkamah Belia juga mendengar permohonan untuk penjagaan dan perlindungan kanak-kanak, seperti mereka yang telah didera oleh ibu bapa mereka.
Pada 2024, terdapat 882 kes di Mahkamah Belia.
Encik Menon menambah, pasukan berbilang disiplin dari Mahkamah Keluarga dan Belia akan bekerjasama jika sesebuah keluarga terlibat dalam prosiding di kedua-dua mahkamah bagi memberikan tindak balas yang lebih selaras.
“Pendekatan kolektif ini akan meningkatkan pemahaman antara pasukan, memudahkan pertukaran mengenai kebimbangan keselamatan, dan memastikan rujukan tepat pada masanya kepada khidmat sokongan, sambil menjaga rahsia sesuatu maklumat,” ujarnya.
Di samping itu, Mahkamah Belia juga akan meneroka kaedah – Peta Wawasan – bagi membimbing pesalah muda melalui sesi bermuhasabah secara berstruktur, tentang pilihan masa lalu mereka dan menggalak perubahan.
Encik Menon turut menjelaskan bahawa Mahkamah Belia akan menggunakan pendekatan “seluruh masyarakat”, iaitu kerjasama melibatkan pihak mahkamah, ibu bapa, pekerja sosial, pendidik dan rakan masyarakat untuk menyokong setiap individu muda.
Sebagai contoh, FJC akan meneroka cara mengenal pasti pelajar yang tidak bersekolah – seperti mereka yang digantung atau dibuang – dan bekerjasama dengan pelbagai rakan untuk membantu mereka agar kembali ke sekolah.
Beliau berharap prinsip keadilan terapeutik itu akan melengkapkan amalan yang sudah ada di Mahkamah Belia, yang kini memberti tumpuan pada proses pemulihan.
“Kami mahu setiap kanak-kanak atau remaja yang melalui sistem keadilan kami meninggalkannya dengan peralatan sewajarnya dalam memastikan mereka tidak kembali ke sini.
“Tujuan kami adalah melakukan proses campur tangan sekali sahaja, yang meletakkan mereka pada laluan yang lebih baik.”
Jurucakap Mahkamah Singapura berkata langkah seperti perancangan visi, telah dimulakan.
Pihak mahkamah juga akan bekerjasama dengan kumpulan lain untuk mengembangkan fasa percubaan pendekatan “seluruh masyarakat”.
Pasukan berbilang disiplin, jelasnya, akan segera dikerahkan bagi menguruskan kes-kes terpilih di Mahkamah Belia, dengan lebih banyak butiran terperinci akan diumumkan kelak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg