Pendekatan baru yang menumpukan kepada menangani isu asas mengapa seseorang itu dihadapkan di mahkamah, akan diguna pakai untuk menguruskan pesalah muda dan kes lain di Mahkamah Belia.
Menurut akhbar The Straits Times, Mahkamah Keadilan Keluarga (FJC) akan menugaskan pasukan pelbagai disiplin yang berdedikasi, seperti hakim yang sama dan kaunselor atau ahli psikologi yang sama, untuk menguruskan kes terpilih dari awal hingga akhir, di bawah pendekatan keadilan terapeutik itu.
Ini akan memberi pasukan pemahaman yang lebih mendalam tentang setiap kes dan isu yang terlibat, membina kepercayaan dan memberi sokongan yang lebih holistik kepada individu atau keluarga yang terlibat.
Ketua Hakim Negara (CJ) Sundaresh Menon mengumumkan langkah tersebut di majlis perasmian bangunan FJC pada 23 Julai.
FJC - yang terdiri daripada Bahagian Keluarga Mahkamah Tinggi, Mahkamah Keluarga dan Mahkamah Belia - berpindah ke bangunan oktagon ikonik di Havelock Square yang menempatkan bekas Mahkamah Negeri.
Pendekatan keadilan terapeutik telah pun digunakan untuk kes perceraian dengan tumpuan diberikan kepada penyelesaian masalah dan membantu ibu bapa menguruskan konflik secara bersama - bukannya pendekatan permusuhan seperti sebelum ini.
CJ Menon berkata prinsip yang sama akan membimbing kes Mahkamah Belia.
“Dalam paradigma ini, isu asas yang membentuk tingkah laku dan keadaan orang muda harus dikenal pasti dan ditangani bersama-sama dengan isu undang-undang di hadapan Mahkamah apabila mungkin.
“Kanak-kanak dan golongan muda berhak mendapat sistem sokongan yang memastikan mereka selamat, menangani keperluan asas mereka dan menetapkan laluan ke arah masa depan yang lebih baik - sama ada berkaitan kelakuan jenayah, konflik keluarga atau pengabaian ibu bapa,” tambahnya.
Selain pesalah belia, Mahkamah Belia juga mendengar permohonan untuk menjaga dan melindungi kanak-kanak, seperti kes didera oleh ibu bapa mereka.
Menurut CJ Menon, pasukan pelbagai disiplin dari Mahkamah Keluarga dan Belia akan bekerjasama jika sebuah keluarga mempunyai prosiding serentak di kedua-dua mahkamah untuk memberi respons yang lebih menjurus kepada keperluan keluarga.
Beliau berkata: “Pendekatan kolektif sedemikian akan menggalak persefahaman antara pasukan, memudahkan pertukaran sebarang kebimbangan keselamatan atau risiko, dan menggalak rujukan tepat pada masanya kepada perkhidmatan sokongan terapeutik, sambil memastikan kerahsiaan maklumat tidak terjejas.”
Mahkamah Belia juga akan meneroka alat baru - Peta Berwawasan - untuk membimbing pesalah belia melalui refleksi berstruktur tentang pilihan masa lalu mereka dan menggalakkan perubahan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg