KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Singapura diperintah Mahkamah Tinggi Malaysia supaya memulangkan kira-kira RM28 juta ($8.4 juta) kepada 122 pelabur Malaysia yang menyamannya pada 2022 untuk mendapatkan balik pelaburan mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Arief Emran Arifin, berkata operasi Chan Cheh Shin menyalahi undang-undang, lapor laman berita Free Malaysia Today (FMT) pada 15 November.
Chan juga tidak meminta kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk mengumpul dana bagi kegiatan pelaburan.
Hakim Arief mengarahkan Chan memulangkan wang yang dia kumpul daripada pelabur. Pelaburan itu berjumlah kira-kira RM28 juta, menurut FMT.
Beliau juga memerintahkan Chan membayar faedah ke atas jumlah kutipan daripada pelabur pada kadar 5 peratus setahun, dari tarikh pemfailan kes hingga jumlah penghakiman diselesaikan.
Peguam Chan, Encik Ravi Nekoo, berkata anak guamnya akan memfailkan rayuan.
Menurut laporan FMT, Chan menubuhkan sebuah syarikat bernama Fulda Malaysia. Dia pengarah syarikat itu dan mempromosikan beberapa produk pelaburan melalui jerayawara, atau pamera bergerak, dan seminar.
Para pelabur itu mendakwa dia memujuk mereka supaya melabur dalam pelbagai skim pelaburan dengan menjanjikan pulangan berganda.
Mereka berkata Chan meyakinkan mereka bahawa dia akan menguruskan pelaburan mereka secara berhemat dan jika pelaburan itu gagal, dia akan menanggung rugi mereka, tambah laporan FMT itu.
Mulai 2016, para pelabur itu membayar wang kepada Fulda dan sebuah lagi syarikat berpangkalan di Singapura yang dikenali sebagai Palau Capital, dengan Chan juga merupakan pengarahnya.
Bagaimanapun, para pelabur itu tidak menerima pulangan daripada apa yang dikatakan sebagai pelaburan itu.
Mereka memfailkan saman itu dua tahun lalu untuk mendapatkan semula wang pokok mereka.
Ini bukan kali pertama Chan dihadapkan ke mahkamah di Malaysia, lapor The Straits Times.
Pada 2020, dia dan dua adik-beradik lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas dakwaan menipu seorang ahli perniagaan untuk melabur dalam mata wang kripto, yang mengakibatkan kerugian lebih RM2.4 juta.
Setahun kemudian, Chan dan sepasang suami isteri didakwa di mahkamah majistret Ipoh menipu dua orang sebanyak RM12,867.30 dalam sebuah skim pelaburan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg