Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

17 ahli sindiket pelaburan palsu bernilai RM33j ditahan

Sep 25, 2024 | 1:59 PM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (kanan), menunjukkan suspek sindiket penipuan pelaburan yang ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (kanan), menunjukkan suspek sindiket penipuan pelaburan yang ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman. - Foto HARIAN METRO

KUALA LUMPUR: Seramai 17 individu termasuk seorang wanita warga tempatan disyaki terbabit dengan sindiket penipuan pelaburan bernilai RM33 juta ($10.27 juta) dikenali sebagai Pantheon Ventures ditahan dalam beberapa serbuan di seluruh negara baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata semua individu berusia 23 hingga 52 tahun itu berperanan sebagai pengarah syarikat, setiausaha dan ejen pencari akaun keldai bagi sindiket berkenaan.

“Polis turut merampas 13 telefon bijak pelbagai jenama, satu komputer riba, enam keping kad mesin juruwang automatik (ATM), dua set dokumen pendaftaran syarikat, satu unit cop syarikat dan satu penyata akaun bank.

“Polis juga membuka 66 kertas siasatan berkaitan skim pelaburan palsu itu membabitkan kerugian RM32,972,448 sejak Januari lalu.

“Sejumlah 20 akaun bank membabitkan tujuh syarikat, 12 perniagaan dan satu akaun persendirian dikesan digunakan oleh sindiket penipuan ini,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, sindiket itu beroperasi sepenuhnya secara dalam talian dan menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka dunia, Pantheon Ventures untuk mengelirukan mangsa.

“Untuk makluman, Pantheon Ventures adalah sebuah syarikat pelaburan yang sah berpangkalan di Britain dan ditubuhkan sejak 1982,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Ramli berkata bagaimanapun, syarikat itu tidak ada kaitan dengan skim pelaburan Pantheon Ventures yang ditawarkan sindiket penipuan berkenaan.

“Sindiket penipuan itu menggunakan Facebook dan WhatsApp sebagai medium pengiklanan dan komunikasi dengan mangsa.

“Iklan promosi pelaburan dibuat melalui Facebook dengan mengaplikasikan sistem algoritma bagi mencapai hasil optimum,” katanya.

Datuk Ramli berkata tawaran keuntungan yang ditawarkan adalah sekitar 6 hingga 400 peratus sehari bergantung kepada pakej yang ditawarkan.

“Mangsa turut diyakinkan bahawa pelaburan mereka adalah terjamin dengan adanya bimbingan daripada ‘cikgu trader’ yang juga pakar dalam analisis pasaran modal,” ujarnya.

Katanya bagi tujuan pelaburan, mangsa diarahkan untuk mendepositkan wang ke akaun tertentu (atas nama syarikat, perniagaan atau individu) dan memuat turun aplikasi APEX dan NEEQ melalui App Store dan Google Store.

Namun, mangsa akhirnya tidak menerima keuntungan sebagaimana dijanjikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg