Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Rayuan: Penjara, AGC dedah surat banduan secara tidak sah

Oct 12, 2024 | 2:40 PM
Surat terbabit ditulis oleh 13 banduan yang sedang berdepan dengan hukuman gantung dan mereka telah memfailkan kes sivil terhadap Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Julai 2021.
Surat terbabit ditulis oleh 13 banduan yang sedang berdepan dengan hukuman gantung dan mereka telah memfailkan kes sivil terhadap Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Julai 2021. - Foto ST

Mahkamah Rayuan mendapati bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) telah bertindak secara tidak sah dan tidak amanah berhubung pertukaran sejumlah surat milik 13 banduan yang sedang berdepan dengan hukuman gantung.

Mahkamah itu – yang dibentuk Ketua Hakim Sundaresh Menon, Hakim Kanan Judith Prakash dan Hakim Steven Chong – pada 11 Oktober menegaskan pentingnya hak milik banduan ke atas suratnya serta haknya, selagi mengikut undang-undang, untuk memastikan komunikasinya kekal rahsia kepada dirinya.

Dalam penghakiman bertulis, mahkamah itu menarik perhatian bahawa AGC dan SPS, yang di bawah Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), telah mengambil langkah untuk membetulkan keadaan.

Surat terbabit ditulis oleh 13 banduan yang sedang berdepan dengan hukuman gantung dan mereka telah memfailkan kes sivil terhadap AGC pada Julai 2021.

Kebanyakan mereka merupakan pesalah dadah, dengan salah seorang daripada mereka ialah bekas pegawai polis, Iskandar Rahmat, yang didapati bersalah pada Disember 2015 kerana membunuh sepasang bapa dan anak di Kovan pada 2013.

13 banduan itu telah menghantar surat kepada pelbagai pihak termasuk polis dan peguam mereka.

Menurut Mahkamah Rayuan, kebanyakan dokumen itu melibatkan prosiding yang lepas, akan datang atau yang sedang dipertimbang berhubung hukuman dan sabitan kesalahan mereka, serta keputusan menolak rayuan mereka.

Dokumen itu termasuk aduan terhadap peguam yang membela mereka sebelum ini, permohonan bagi bantuan guaman atau berhubung permohonan bagi pengampunan.

Menerusi afidavit, Timbalan Peguam Negara Tai Wei Shyong berkata apabila dokumen itu dikongsi, SPS and MHA secara umumnya akan memaklumkan kepada AGC tentang perkembangan banduan yang sedang menanti hukuman gantung dilaksana.

Tambahnya, mereka juga akan mendapatkan nasihat AGC sama ada terdapat prosiding akan datang yang relevan atau isu yang boleh menyebabkan prosiding demikian berlaku, yang memerlukan hukuman gantung itu diketepikan buat sementara waktu.

“Memandangkan pegawai SPS dan MHA yang menguruskan hal sedemikian tidak dilatih dari segi perundangan, jika mereka berurusan dengan dokumen yang melibatkan perundangan, mereka akan menghantarnya kepada AGC untuk mendapatkan nasihat,” ujar Encik Tai.

Amalan itu menyebabkan mereka menghantar semua surat banduan itu secara menyeluruh kepada AGC tanpa menilai sama ada terdapat apa-apa dalam surat itu yang memerlukan AGC memberi nasihat perundangan kepada SPS.

Menurut hakim, undang-undang membenarkan pegawai penjara membaca semua surat daripada atau kepada banduan dan membuat salinan surat tersebut.

Namun, SPS tidak dibenarkan membuat salinan surat yang dikirimkan kepada atau daripada peguam, atau memberi salinan sebarang surat kepada sesiapa, termasuk AGC.

Hakim berkata mereka akur bahwa kandungan surat banduan itu mungkin memerlukan SPS mendapatkan nasihat daripada pihak lain untuk memastikan keselamatan penjara dan orang awam, tetapi SPS dan AGC tidak menyatakan bahawa surat milik 13 banduan itu memerlukan nasihat sedemikian.

Dalam keadaan yang memerlukan perhatian segera, mahkamah berkata SPS harus menyatakan dengan jelas kepada AGC bahawa langkah berkongsi surat itu dengan AGC hanya bagi tujuan mendapatkan nasihat segera.

Hakim berkata AGC juga perlu ada sistem untuk memastikan dokumen yang dikongsi dengan mereka bagi tujuan ini kekal rahsia, dengan dokumen itu hanya dikongsi kepada pegawai yang bertanggungjawab memberikan nasihat yang diperlukan kepada SPS.

Namun, mahkamah berkata kes ini melibatkan kecuaian dan bukan percubaan oleh AGC untuk memperoleh kelebihan dalam prosiding mahkamah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg