Mahkamah Syariah sedang memperkukuh sokongan kepada keluarga yang berdepan dengan perceraian menerusi pendekatan proses mediasi bersama, yang melibatkan pengantara dan pakar terapeutik mahkamah.

Dirintiskan pada April 2025, inisiatif itu menyokong pasangan terpilih yang berisiko dengan menangani bukan sahaja pertikaian undang-undang, malah cabaran emosi dan sosial yang menjejaskan keluarga mereka.

Sedang pengantara membantu pasangan mencapai persetujuan berkaitan hal perceraian, pakar terapeutik mahkamah mengenal pasti isu seperti keganasan keluarga, kebimbangan kebajikan anak dan konflik ibu bapa.

Ini semua akan dilakukan sebelum keluarga disalurkan kepada perkhidmatan sokongan yang sesuai.

Menyatakan demikian semasa satu wawancara bersama Berita Harian (BH) di luar Forum Amalan Mahkamah Syariah 2026 yang berlangsung di Grand Hyatt Singapore pada 31 Julai, Pakar Terapeutik Utama Mahkamah, Cik Nur Izzah Amir, berkata maklum balas daripada keluarga amat memberangsangkan.

Beliau menambah bahawa Mahkamah Syariah juga kini sedang menimbangkan untuk memperkenalkan proses pengantaraan bersama di peringkat awal perceraian.

“Kami sedang meneliti dan membangunkan proses untuk bekerjasama dengan Program Kaunseling Perkahwinan (MCP) bagi menjalankan penilaian awal supaya kerentanan dalam sesebuah keluarga dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal.

“Kami juga telah mengadakan beberapa sesi perbincangan kumpulan fokus serta berinteraksi dengan rakan kerjasama MCP, iaitu kaunselor yang lazimnya menjadi individu pertama ditemui pasangan apabila mereka ingin memohon perceraian.

“Inisiatif ini sedang dibangunkan supaya sebarang kerentanan dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal dalam keseluruhan proses itu,” kata Cik Nur Izzah.

Di bawah undang-undang Islam, pasangan yang ingin bercerai lazimnya perlu menghadiri Program Kaunseling Perkahwinan (MCP) yang diwajibkan, sebelum menjalani proses pengantaraan.

Lebih 250 pengamal undang-undang, profesional sains sosial dan asatizah menghadiri forum sehari itu.

Forum tersebut memberi tumpuan kepada usaha penjagaan bersepadu bagi menyokong keluarga yang melalui proses perceraian.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang hadir sebagai tetamu kehormat, menekankan kepentingan memelihara institusi keluarga meskipun sesebuah perkahwinan berakhir.

Kata Encik Zhulkarnain: “Perceraian merupakan antara pengalaman paling sukar yang boleh dilalui keluarga.

“Walaupun ia menandakan berakhirnya sebuah perkahwinan, ia tidak bermakna berakhirnya sebuah keluarga.

“Ibu bapa dan anak-anak tetap meneruskan kehidupan bersama, dan mereka berhak menerima sokongan agar dapat melaluinya dengan bermaruah dan penuh harapan.

“Di luar proses perundangan, mereka memerlukan kefahaman, bimbingan dan sokongan bagi membantu mereka mengharungi tempoh ini serta membina semula kehidupan.”

Tambah beliau: “Mudah untuk kita hanya memberi tumpuan kepada penyelesaian dari sudut undang-undang, namun keadilan, khususnya dalam hal ehwal kekeluargaan, bukan sekadar mencapai keputusan yang betul.

“Ia juga melibatkan bagaimana sesebuah keluarga melalui keseluruhan proses tersebut.

“Proses yang menghormati maruah, mudah diakses dan berlandaskan belas ihsan dapat membantu keluarga mengurus konflik dengan lebih membina serta melangkah ke hadapan dengan lebih yakin.”

Sejak 2017, Mahkamah Syariah telah memperkenalkan pendekatan keadilan keluarga yang lebih terapeutik dan mengutamakan kepentingan kanak-kanak, dengan memastikan suara serta keperluan mereka diberi perhatian dan dilindungi pada setiap peringkat prosiding.

Antara pencapaian di bawah usaha tersebut ialah penggubalan peruntukan yang mewajibkan Program Kaunseling Perkahwinan pada 2017, yang mensyaratkan semua pasangan yang berhasrat untuk bercerai menghadiri sesi kaunseling sebelum memfailkan permohonan perceraian.

Selain itu, Mahkamah Syariah turut melancarkan Rangka Kerja Kaunseling Mahkamah dan Wawancara Anak Bersama pada 2022, diikuti Skim Perwakilan Anak pada 2023.

Cik Nur Izzah, berkata sejak projek rintis itu diperkenalkan, sesi Pengantaraan Bersama telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan, dengan keluarga yang terlibat memaklumkan bahawa kebimbangan mereka didengar dan ditangani sepanjang proses tersebut.

Menurut beliau, Mahkamah Syariah juga merancang untuk bekerjasama dengan agensi kaunseling perkahwinan bagi mengenal pasti serta menangani isu yang dihadapi keluarga pada peringkat lebih awal dalam proses perceraian.

Selain Cik Nur Izzah, tetamu lain yang hadir selaku ahli panel forum tersebut termasuk Presiden Kanan Mahkamah Syariah Singapura (SYC), Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy; Pengarah Pusat Thye Hwa Kwan Moral Charities, Dr Peronna Lee; dan Pakar Terapeutik Mahkamah Kanan SYC, Cik Shifaa Mohamed Amin.

Perbincangan turut menyentuh pelaksanaan Pengantaraan Bersama serta peranan Pakar Terapeutik Mahkamah dalam menilai risiko, kepentingan afidavit yang lebih menyeluruh melibatkan keadaan kanak-kanak, penyediaan pelan keibubapaan secara bersama, serta intervensi awal bagi mengurangkan konflik dan mengelak prosiding mahkamah yang panjang. – Laporan tambahan Luqmanul Hakim Ismail