Rahmah dan ihsan, yang merupakan antara prinsip yang digariskan dalam Al-Quran, menjadi asas kepada usaha Mahkamah Syariah Singapura memperkukuh pendekatan keadilan terapeutik.

Nilai itu diketengahkan Presiden Kanan Mahkamah Syariah Singapura (SYC), Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, dalam ucaptama beliau di Forum Amalan Mahkamah Syariah 2026, yang berlangsung di hotel Grand Hyatt Singapore pada 31 Julai.

Beliau menghuraikan pendekatan menyeluruh mahkamah dalam melaksanakan keadilan, khususnya dalam menangani kes perceraian yang melibatkan kanak-kanak.

“Izinkan saya menghuraikan dengan lebih lanjut kerangka keadilan terapeutik dalam undang-undang keluarga Islam.

“Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan menyelesaikan pertikaian, malah membina semula hubungan, memelihara maruah serta menggalakkan kesejahteraan pihak-pihak dan keluarga yang terlibat.

“Apabila kita meneliti tradisi perundangan Islam, kita mendapati aspirasi ini sebenarnya telah lama wujud dan berakar umbi dalam Al-Quran,” katanya.

Prinsip itu turut menjadi asas kepada pelbagai inisiatif yang diperkenalkan Mahkamah Syariah menerusi pendekatan yang lebih terapeutik.

Ia mengutamakan kepentingan kanak-kanak dalam pengendalian kes perceraian, termasuk pelaksanaan Program Kaunseling Perkahwinan (MCP) pada 2017, pelancaran Rangka Kerja Kaunseling Mahkamah serta Wawancara Anak Bersama pada 2022.

Pada 2023 pula, Mahkamah Syariah memperkenalkan Skim Perwakilan Anak, yang bertujuan memastikan pandangan dan kepentingan kanak-kanak diwakili secara bebas sepanjang prosiding.

Dalam ucaptamanya, Ustaz Irwan berkata prinsip Al-Quran itu terus membentuk pendekatan Mahkamah Syariah terhadap keadilan terapeutik, yang mengiktiraf bahawa pertikaian keluarga tidak boleh diselesaikan melalui proses perundangan semata-mata.

Sebaliknya, selain menentukan keputusan dari sudut undang-undang, mahkamah turut memberi perhatian kepada aspek emosi, psikologi dan hubungan kekeluargaan yang terjejas akibat perceraian, khususnya apabila melibatkan kanak-kanak.

Falsafah ini menjadi asas kepada pelaksanaan pengantaraan bersama, iaitu proses pengantaraan yang melibatkan seorang pengantara dan Pakar Terapeutik Mahkamah, serta Skim Perwakilan Anak.

Kedua-dua inisiatif itu bertujuan mengurangkan konflik, memelihara maruah pihak yang terlibat, serta memastikan keluarga menerima sokongan sewajarnya sepanjang proses perceraian.

“Keadilan terapeutik tidak menggantikan keadilan. Sebaliknya, ia melengkapkannya dengan mengiktiraf cara keadilan dilaksanakan sering kali sama pentingnya dengan keputusan yang dicapai,” kata beliau.

Beliau menambah keadilan keluarga tidak boleh dipikul oleh mahkamah sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai disiplin yang melibatkan hakim, peguam, kaunselor, pekerja sosial, ahli psikologi dan asatizah, dengan setiap pihak menyumbang kepakaran masing-masing bagi memberikan sokongan yang lebih menyeluruh kepada keluarga.